Bertahan dari krisis ekonomi, perang tarif

Bertahan dari krisis ekonomi, perang tarif

SELAIN daripada langkah pembelian yang bijak, pengguna juga perlu bijak mengurus kewangan secara keseluruhan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM era ekonomi global yang sentiasa berubah, pengguna sering menghadapi cabaran kenaikan harga barang. Salah satu penyumbang utama kepada fenomena ini ialah perang dagang antara kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat (AS) dan China, terutamanya ketika era pentadbiran Presiden Donald Trump. Dalam usaha melindungi industri tempatan, Trump telah mengenakan tarif atau cukai import yang tinggi ke atas barangan dari China dan beberapa negara lain. Langkah ini mencetuskan tindak balas tarif oleh negara-negara terlibat, lalu mengganggu rantaian bekalan global dan menyebabkan peningkatan kos pengeluaran serta harga barang di pasaran antarabangsa, termasuk Malaysia.

Kenaikan harga barang ini boleh berlaku atas pelbagai sebab lain seperti inflasi, kos logistik yang meningkat, atau dasar kerajaan yang berubah. Walaupun kenaikan ini sering di luar kawalan pengguna, masih ada strategi efektif yang boleh diterapkan untuk mengurangkan impak kewangan terhadap kehidupan harian.

Salah satu kaedah terbaik untuk pengguna menangani cabaran ini ialah melalui pembelian secara bijak. Strategi ini melibatkan pengguna memahami sepenuhnya keperluan harian dan berbelanja secara lebih terancang. Contohnya, pengguna boleh membuat senarai belian yang jelas dan mengelakkan pembelian secara spontan. Amalan ini membantu pengguna mengawal perbelanjaan dan memastikan wang hanya dibelanjakan untuk barangan yang benar-benar diperlukan.

Selain itu, memanfaatkan teknologi juga merupakan langkah bijak dalam menangani kenaikan harga barang. Hari ini, pelbagai aplikasi mudah alih yang menyediakan perbandingan harga barang di pasaran boleh dimuat turun secara percuma. Antara aplikasi yang berguna ialah Price Catcher, yang dibangunkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Aplikasi ini membolehkan pengguna membandingkan harga lebih 400 barangan keperluan harian di pelbagai premis perniagaan di seluruh negara. Dengan menggunakan aplikasi ini, pengguna dapat membuat keputusan pembelian yang lebih tepat, menjimatkan masa dan memastikan mereka memperoleh nilai terbaik untuk wang yang dibelanjakan.

Namun begitu, pengguna juga perlu berhati-hati dengan gejala pembelian dalam talian secara impulsif, terutama semasa musim jualan atau ketika menerima mesej promosi. Pembelian impulsif tanpa perancangan boleh mengganggu bajet bulanan dan membawa kepada pembaziran. Begitu juga dengan penggunaan kaedah “Beli sekarang, bayar kemudian” (BNPL) yang kini semakin popular. Walaupun ia kelihatan mudah dan menarik, penggunaan BNPL secara tidak terkawal boleh menyebabkan pengguna terjebak dalam hutang jangka pendek yang tidak disedari, kerana komitmen pembayaran akan tetap datang walaupun barang telah lama digunakan atau tidak diperlukan lagi.

Pembelian secara pukal juga boleh dijadikan strategi efektif dalam menghadapi kenaikan harga. Membeli barang keperluan secara pukal pada harga borong atau semasa promosi dapat menjimatkan wang dalam jangka masa panjang. Namun, pengguna perlu merancang dengan baik supaya pembelian ini benar-benar berbaloi dan tidak menyebabkan pembaziran.

Pengguna juga disarankan untuk sentiasa peka terhadap perubahan harga semasa melalui media sosial, laman sesawang kerajaan atau platform berita yang sahih. Kepekaan terhadap trend harga dapat membantu pengguna merancang pembelian secara lebih efektif. Contohnya, apabila dijangka berlaku kenaikan harga sesuatu barang, pengguna boleh membuat pembelian awal bagi mengelakkan kos yang lebih tinggi pada masa hadapan.

Selain daripada langkah pembelian yang bijak, pengguna juga perlu bijak mengurus kewangan secara keseluruhan. Ini termasuk menyusun belanjawan harian, mingguan, dan bulanan secara sistematik. Apabila belanjawan diurus dengan baik, pengguna dapat mengelakkan pembelian yang tidak perlu dan memastikan setiap sen digunakan dengan efisien.

Dalam jangka masa panjang, pengguna juga digalakkan untuk mempertimbangkan cara menjana pendapatan tambahan sebagai salah satu strategi menghadapi tekanan kewangan akibat kenaikan harga barang. Ini boleh dilakukan tanpa perlu mengubah gaya hidup secara drastik – contohnya melalui perniagaan kecil-kecilan secara atas talian, menjadi ejen atau dropship produk, atau menawarkan perkhidmatan berdasarkan kemahiran sedia ada seperti mengajar, menterjemah atau mereka bentuk grafik. Pendapatan tambahan ini dapat membantu meningkatkan daya tahan kewangan tanpa perlu mengorbankan masa dan keselesaan secara berlebihan.

Dalam menghadapi tekanan kenaikan harga barang, pengguna juga disarankan untuk menyusun keutamaan perbelanjaan berdasarkan prinsip Maqasid Syariah, iaitu dimulakan dengan daruriyat (keperluan asas), diikuti oleh hajiyat (kehendak) dan seterusnya tahsiniyat (barangan mewah). Daruriyat merangkumi keperluan yang tidak boleh ditinggalkan seperti makanan, tempat tinggal, kesihatan dan pendidikan asas yang perlu diutamakan dalam apa jua keadaan. Hajiyat pula melibatkan keperluan yang memudahkan kehidupan seperti peralatan rumah atau kemudahan pengangkutan. Manakala tahsiniyat melibatkan perkara-perkara yang melengkapkan gaya hidup seperti barangan mewah, hiasan atau perbelanjaan untuk hiburan. Dengan mengamalkan kaedah perbelanjaan berasaskan keutamaan ini, pengguna bukan sahaja dapat menjaga kestabilan kewangan tetapi juga mengelakkan pembaziran dalam situasi ekonomi yang mencabar.

Peranan kolektif masyarakat juga penting. Komuniti pengguna boleh berganding bahu dengan melaporkan kenaikan harga yang tidak munasabah kepada pihak berkuasa agar tindakan pantas boleh diambil bagi menstabilkan harga di pasaran.

Walaupun pengguna tidak mempunyai kawalan langsung ke atas faktor-faktor yang menyebabkan kenaikan harga barang, mereka masih boleh mengambil langkah bijak dan proaktif untuk mengurangkan kesannya. Dengan mengamalkan strategi perbelanjaan terancang, menggunakan teknologi secara optimum, mengelakkan pembelian impulsif dan penggunaan BNPL secara tidak terkawal, serta meneroka sumber pendapatan tambahan, pengguna boleh memastikan kewangan isi rumah kekal stabil walaupun dalam suasana ekonomi yang mencabar. – UTUSAN

PROFESOR Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali ialah Profesor di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia, Exco Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (MACFEA) dan Bendahari Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN