Benarkah wujud campur tangan dalam lantikan hakim?

Benarkah wujud campur tangan dalam lantikan hakim?

TENGKU Maimun Tuan Mat sebelum ini mengakui melalui usaha gigih dan kolektif, Badan Kehakiman Malaysia berjaya mengukuhkan semula kedudukannya sebagai institusi bebas, berpegang teguh kepada sumpah perlembagaan untuk melindungi, memelihara dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK akhir-akhir ini sesetengah media menimbulkan isu pelantikan hakim. Ia bermula apabila Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, dalam ucapannya sempena Pembukaan Tahun Perundangan 2025 (OLY 2025) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 8 Januari berkata:
“Oleh yang demikian, apa yang jelas daripada peruntukan-peruntukan perlembagaan mengenai pelantikan hakim-hakim yang dibaca bersama dengan prosedur tambahan di bawah Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (JACA 2009) adalah tiada mana-mana pihak selain daripada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dan perdana menteri yang boleh mengesyorkan calon-calon untuk pelantikan ke semua jawatan di Mahkamah Atasan.

“Sebarang bentuk usaha untuk memintas atau mengetepikan peruntukan-peruntukan ini boleh menyebabkan pelantikan tersebut menjadi tidak berperlembagaan atau melanggar undang-undang bertulis. Oleh sebab itu, tiada mana-mana pihak, sama ada Presiden Majlis Peguam Malaysia, mana-mana peguam bela dan peguam cara, mana-mana parti politik, Peguam Negara atau mana-mana individu lain sekalipun, berhak mencadangkan nama kepada perdana menteri untuk tujuan pelantikan.

“Kerana jika ini berlaku, bukan sahaja badan kehakiman akan diperkecilkan, malah kebebasannya turut dicabuli dan dikikis. Ia merupakan cubaan untuk mencampuri perjalanan keadilan dengan mempengaruhi operasi badan kehakiman. Apa-apa nama yang dipertimbangkan berdasarkan nasihat yang tidak wajar ini berisiko dicabar melalui semakan kehakiman kerana bertentangan dengan perlembagaan atau melanggar undang-undang. Mana-mana pihak yang didapati melakukan perkara ini juga berisiko dikenakan pertuduhan jenayah.”

Ucapan Tengku Maimun ini dijadikan satu resolusi Agung Tahunan ke-79 Majlis Peguam Malaysia pada 15 Mac. Resolusi itu menyatakan kebimbangan serius terhadap kenyataan ini yang didakwa menunjukkan kemungkinan berlakunya campur tangan yang tidak sepatutnya dan/atau tidak wajar dalam proses pelantikan kehakiman oleh pihak luar daripada kerangka perundangan dan perlembagaan.

Ia seterusnya mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk campur tangan terhadap kebebasan badan kehakiman oleh pihak eksekutif, legislatif, mana-mana individu atau entiti lain dan mengecam sebarang cubaan oleh mana-mana pihak, sama ada daripada eksekutif, legislatif, Majlis Peguam atau mana-mana individu atau entiti lain, untuk memintas kerangka perlembagaan dan perundangan berkenaan seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan JACA 2009.

Sementara ucapan Tengku Maimun tidak mempersoalkan kuasa perdana menteri untuk mengesyorkan calon-calon untuk pelantikan ke semua jawatan di mahkamah Atasan, sebaliknya hanya mempersoalkan pihak lain selain JAC dan perdana menteri yang berbuat demikian.

Beliau dalam ucapannya sempena Persidangan Undang-Undang Komanwel Ke-24 di Malta pada 8 April mempersoalkan pula prerogatif perdana menteri dalam hal ini dengan berkata:

“Keupayaan Badan Kehakiman untuk berfungsi secara bebas tanpa tekanan daripada badan perundangan dan eksekutif merupakan ciri utama demokrasi berperlembagaan. Salah satu jaminan utama kebebasan Badan Kehakiman ialah proses pelantikan hakim itu sendiri. Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan menetapkan proses rundingan antara perdana menteri, hakim-hakim tertinggi, Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja sebelum sebarang pelantikan kehakiman dibuat. Walau bagaimanapun, peruntukan perlembagaan ini dianggap tidak mencukupi.

“Oleh itu, rangka kerja perlembagaan ini diperkukuhkan lagi dengan penubuhan JAC di bawah JACA 2009.

“JAC berperanan sebagai perlindungan institusi yang meningkatkan ketelusan, integriti dan pemilihan calon berdasarkan merit untuk jawatan hakim. Walaupun pelantikan akhirnya kekal sebagai prerogatif perdana menteri dalam struktur perlembagaan, JAC memainkan peranan penting dalam mengenal pasti dan menilai calon melalui proses penilaian yang berstruktur dan ketat, termasuk menilai integriti, kecekapan, pengalaman serta ketekunan, bagi memastikan hanya individu yang paling layak dipilih untuk jawatan kehakiman.

“Baru-baru ini, terdapat cadangan untuk meminda JACA 2009 dan Perlembagaan Persekutuan bagi menghapuskan peranan perdana menteri dalam pelantikan hakim. Pada pandangan saya, perubahan sebegini akan mengukuhkan lagi ketelusan proses pemilihan, memastikan pelantikan hakim terus berdasarkan merit dan bebas daripada sebarang tanggapan pengaruh politik.”

Tidak dinyatakan pihak manakah yang membuat cadangan untuk meminda JACA 2009 dan Perlembagaan Persekutuan bagi menghapuskan peranan perdana menteri dalam pelantikan hakim ini, tetapi semakan mendapati cadangan ini bersifat pinggiran dari badan seperti Majlis Peguam Malaysia yang dalam satu Kertas Cadangan Reformasi Institusi dan Undang-Undang ada menyebut keperluan untuk memansuhkan kuasa prerogatif perdana menteri dan keputusan muktamad dalam pelantikan hakim mestilah terletak pada JAC sebelum dibawa kepada Majlis Raja-Raja.

Selain itu hanyalah Rakyat Malaysia Menentang Hukuman Mati dan Penyeksaan (MADPET) yang pernah membuat satu kenyataan mendesak JAC diberi kuasa memberikan nasihat secara langsung kepada Yang di-Pertuan Agong.

Lantas ucapan terbaru Tengku Maimun ini menimbulkan kepeningan dalam kalangan rakyat jelata.

CAMPUR TANGAN?

Mengapa perlu dipinda Perlembagaan Persekutuan jika tiada sebarang masalah yang timbul daripada penggunaan prerogatif perdana menteri yang sudah berfungsi sejak sekian lama? Jika ada kemungkinan berlakunya campur tangan yang tidak sepatutnya dan/atau tidak wajar dalam proses pelantikan kehakiman oleh pihak luar, mengapakah tidak ditunggu ia benar-benar berlaku. Apabila berlaku mengapakah tidak digunakan peruntukan Seksyen 34 JACA 2009 yang membolehkan pihak luar didakwa dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya?

Tengku Maimun sendiri mengakui bahawa “Melalui usaha gigih dan kolektif, Badan Kehakiman Malaysia berjaya mengukuhkan semula kedudukannya sebagai institusi yang benar-benar bebas, berpegang teguh kepada sumpah perlembagaan untuk melindungi, memelihara dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Kemajuan ini dapat dilihat menerusi peningkatan ketara Malaysia dalam semua indeks utama berkaitan kedaulatan undang-undang dan kebebasan kehakiman dalam beberapa tahun kebelakangan ini.”

Seperti kata satu peribahasa yang terkenal, If it ain’t broke, don’t fix it (Jika ia tidak rosak, jangan perbaikinya). Apa keperluan untuk mengubah sesuatu yang berfungsi dengan baik?-UTUSAN

Nadia Aziz ialah peguam dari Pertubuhan Peguam Prihatin Keadilan (CLJ)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN