Beli Sekarang, Bayar Kemudian mampu milik atau perangkap hutang?

Beli Sekarang, Bayar Kemudian mampu milik atau perangkap hutang?

BELI Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL) boleh menjadi alat kewangan yang berguna jika dikendalikan secara bertanggungjawab.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAEDAH pembayaran Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL) semakin mendapat sambutan, khususnya dalam kalangan generasi muda. Perkhidmatan ini memudahkan pengguna memiliki barangan serta-merta dengan bayaran secara ansuran tanpa faedah. Ia kini dilihat sebagai pilihan alternatif kepada kad kredit.

BNPL digunakan secara meluas bagi pembelian pelbagai jenis barangan, daripada barangan mewah hingga keperluan harian. Antara platform popular yang menawarkan perkhidmatan ini termasuk Atome, Grab PayLater, Shopee SPayLater dan ShopBack PayLater.

Kebolehan menangguh pembayaran menjadikan BNPL pilihan utama dalam persekitaran digital yang semakin berkembang.

Setakat Disember 2024, terdapat 5.1 juta pengguna aktif BNPL di Malaysia. Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, majoriti pengguna terdiri daripada mereka yang berumur antara 21 hingga 45 tahun dan berpendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan. Sebanyak 12 syarikat kini menawarkan perkhidmatan ini di pasaran tempatan.

Beliau turut memaklumkan jumlah pinjaman BNPL ketika ini mencecah RM2.8 bilion, namun ia hanya mewakili 0.2 peratus daripada keseluruhan keberhutangan isi rumah negara.

Meskipun peningkatan transaksi BNPL dilihat memberangsangkan, kadar penggunaannya yang semakin meluas tetap menimbulkan kebimbangan terhadap kestabilan hutang isi rumah jangka panjang. Tambahan pula, jumlah tunggakan BNPL kekal terkawal pada RM82.6 juta, iaitu bersamaan 2.9 peratus daripada nilai keseluruhan kredit BNPL.

Sebagai contoh, seorang pengguna di Klang, Selangor membeli televisyen berharga RM7,200 menggunakan BNPL. Namun beberapa bulan kemudian, dia gagal membayar bil elektrik, menyebabkan pemotongan bekalan oleh Tenaga nasional Berhad (TNB). Dalam kes lain, seorang eksekutif muda dari Petaling Jaya menanggung hutang sebanyak RM3,000 di beberapa platform BNPL dan hanya menyedari beban sebenar selepas mengalami kesukaran mengurus kewangan.

Jumlah transaksi BNPL meningkat kepada RM7.1 bilion pada separuh kedua 2024, berbanding RM4.9 bilion pada separuh pertama 2023. Lonjakan ini menunjukkan peningkatan ketara dalam jangka masa singkat dan memerlukan langkah pemantauan yang berterusan.

Penggunaan BNPL biasanya menunjukkan lonjakan yang ketara apatah lagi ketika musim Sambutan Hari Raya Aidilfitri. Ramai pengguna mengambil peluang ini untuk membeli pakaian baharu, barangan elektrik, perabot serta pelbagai kelengkapan rumah bagi menceriakan suasana perayaan.

Kemudahan ansuran tanpa faedah memberi kelegaan kepada pengguna yang ingin menyambut lebaran dengan penuh bergaya tanpa perlu membayar sekali gus.

Dalam banyak kes, BNPL mendorong pengguna untuk membuat pembelian yang lebih besar daripada bajet asal kerana komitmen bayaran ditangguh atau dipecahkan kepada jumlah kecil. Ini termasuklah barangan seperti televisyen pintar, set sofa baharu atau pakaian berjenama untuk seisi keluarga. Kemampuan untuk menaik taraf gaya hidup dengan segera meskipun tanpa tunai mencukupi meningkatkan kecenderungan untuk berbelanja lebih.

Perkhidmatan BNPL juga telah diintegrasikan dalam kebanyakan platform e-dagang yang giat menjalankan kempen promosi besar-besaran sempena Ramadan dan Hari Raya. Ini termasuk tawaran ansuran tanpa faedah, diskaun tambahan serta pembelian eksklusif apabila menggunakan BNPL. Kesan psikologi terhadap pengguna ialah mereka merasakan ia adalah peluang keemasan yang sukar dilepaskan.

Dari sudut sosial, terdapat tekanan budaya untuk meraikan Aidilfitri dengan sempurna seperti balik kampung, berpakaian baharu, rumah dihias indah serta jamuan istimewa untuk tetamu. BNPL memberikan ilusi mampu milik kepada ramai individu, yang akhirnya menyedari beban sebenar apabila tempoh bayaran balik bermula selepas perayaan.

Pihak kerajaan dan agensi berkaitan seperti Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK) telah menekankan keperluan untuk meningkatkan celik kewangan rakyat, khususnya semasa musim perayaan. Penggunaan kalkulator kemampuan kewangan serta pemahaman terhadap terma BNPL sebelum membuat pembelian adalah langkah penting untuk mengelakkan pengguna daripada terperangkap dalam hutang pasca raya.

UNDANG-UNDANG LEBIH KETAT

Sebagai respons kepada fenomena ini, kerajaan sedang merangka Akta Kredit Pengguna (RUU Kredit Pengguna), yang dijangka mula berkuat kuasa pada tahun ini. Undang-undang ini akan menyediakan rangka kerja pengawalseliaan yang menyeluruh dan bersepadu terhadap industri pemberi kredit bukan bank, termasuk BNPL.

Menurut Amir Hamzah, akta ini akan menetapkan piawaian pelakuan dan etika yang mesti dipatuhi oleh penyedia BNPL, termasuk ketelusan dalam mengenakan yuran dan caj, penyediaan terma kredit yang adil dan penghantaran peringatan berkala kepada peminjam mengenai bayaran yang perlu diselesaikan.

Dalam masa yang sama, AKPK melancarkan kempen pendidikan kewangan digital peringkat nasional, memfokuskan kepada kesedaran pengguna terhadap perbelanjaan digital dan pengurusan kewangan peribadi. Kempen ini turut memperkenalkan penggunaan kalkulator kemampuan kewangan serta mempromosikan struktur pembayaran BNPL yang lebih telus.

Beberapa pertubuhan pengguna seperti Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) juga menyuarakan keperluan untuk meningkatkan perlindungan pengguna. Mereka menyarankan agar kawal selia diperketat supaya rakyat tidak terperangkap dalam kitaran hutang yang berpanjangan tanpa pemahaman yang mencukupi terhadap komitmen yang mereka tanggung.

BNPL boleh menjadi alat kewangan yang berguna jika dikendalikan secara bertanggungjawab. Namun tanpa perancangan teliti dan disiplin kewangan, ia berpotensi membawa kepada tekanan kewangan yang serius.

Sebelum menggunakan BNPL, pengguna wajar bertanya kepada diri sendiri, adakah saya mampu membayar penuh sekiranya tiada pilihan ansuran disediakan?

Dalam dunia digital yang terus berkembang, BNPL wajar dilihat secara kritis. Dengan keseimbangan antara perlindungan pengguna serta celik kewangan, kemudahan ini mampu menyokong kestabilan kewangan individu dan bukan menambah beban kewangan jangka panjang.-UTUSAN

PROFESOR Dr. Norazah Mohd. Suki ialah Profesor Pemasaran & E-Dagang, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN