ASM: Menghubungkan saintis dengan agensi polisi, pelaksanaan

ASM: Menghubungkan saintis dengan agensi polisi, pelaksanaan

FELO di Akademi Sains Malaysia (ASM) mempromosikan kecemerlangan saintifik melalui kepimpinan, kepakaran, penyelidikan serta komitmen untuk mengembangkan ilmu sains sebagai teladan dan mentor kepada generasi ahli sains akan datang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AKADEMI Sains Malaysia (ASM) telah lama memainkan peranan dalam mengembangkan pengetahuan, memberi inspirasi kepada penemuan baharu serta menangani cabaran-cabaran dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI).

Peranan ASM adalah melalui pengiktirafan penyelidik yang hebat dan menyumbang kepada pembangunan sains, teknologi dan inovasi serta perlantikan felonya. Felo ASM dilantik dalam kalangan ahli sains yang diiktiraf cemerlang, menyumbang kepada masyarakat dan negara serta membantu menyelesaikan masalah masyarakat melalui STI.

Akademi Sains mulanya diasaskan di Itali pada 1603 dan pada 1660 The Royal Society of London ditubuhkan sebagai hab kepada penemuan saintifik yang menyumbang kepada kemajuan dunia moden daripada bidang-bidang fizik kepada perubatan.

ASM secara rasminya ditubuhkan pada 1 Februari 1995 selepas 10 tahun kerja-kerja asas penubuhannya. ASM diiktiraf sebagai badan saintifik untuk meningkatkan persaingan dalam kalangan ahli sains tempatan, jurutera, doktor perubatan, yang mencadangkan idea kepada akademi ini.

ASM yang bermula dengan 50 felo asas dan 10 kakitangan terus berkembang kepada lebih 500 felo dalam lapan kategori selain lebih 100 kakitangan yang aktif dengan pelbagai projek membantu kerajaan dalam peningkatan idea mahupun penyelesaian masalah.

Setelah 30 tahun, dengan kekuatan lebih 1,000 pakar di seluruh negara sebagai felo kanan, felo, penyelidik cemerlang, jaringan saintis muda dan ahli bersekutu, perkembangan ASM menjadi lebih signifikan. Melalui felo yang terdiri daripada ahli sains terbilang, ASM memainkan peranan penting menyumbang kepada pembentukan polisi sains negara, promosi kecemerlangan sains dan memupuk kerjasama antara bidang untuk perkembangan sains bagi manfaat masyarakat.

Melalui ASM, Felo menyediakan ilmu kepakaran kepada kerajaan dan pemegang taruh tentang STI bagi memastikan polisi diterangkan secara saintifik serta amalan terbaik.

Felo juga mempromosikan kecemerlangan saintifik melalui kepimpinan, kepakaran, penyelidikan serta komitmen mereka untuk mengembangkan ilmu sains, sebagai teladan dan mentor kepada generasi ahli sains akan datang.

Kerjasama pakar merentas disiplin, institusi peringkat kebangsaan dan antarabangsa, membantu ASM menangani isu-isu sains, mempromosikan perkembangan sains serta menyumbang kepada penyelesaian masalah secara saintifik yang dapat menambah baik kualiti hidup manusia mahupun persekitarannya.

Felo ASM yang dipilih berdasarkan pencapaian sains dan kesarjanaan melalui proses yang ketat, sudah tentu mendapat pengiktirafan sewajarnya selain mampu menyumbang kepada kerajaan dan masyarakat umumnya.

Melalui pendekatan merentas bidang, institusi dan kepakaran, ASM menyumbang kepada pembangunan STI sebenar mencakupi sosiologi serta ekonomi. Melalui Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE), ASM memberi keyakinan kepada umum tentang pembangunan dan kelestarian alam sekitar di samping menggalakkan persaingan sihat dalam inovasi untuk kesejahteraan manusia selari dengan pertumbuhan ekonomi.

Misalnya fokus ASM kepada kepelbagaian biologi yang sesuai dengan kedudukan Malaysia dalam kalangan 12 negara teratas kaya dengan kepelbagaian biologi di dunia.

Perhatian kepada kepentingan dan pemuliharaan kepelbagaian biologi sangat penting bagi Malaysia terutamanya apabila permintaan tinggi dalam pembangunan ekonomi negara, penerokaan unsur nadir bumi semula jadi untuk teknologi baharu dan isu-isu global lain seperti perubahan iklim serta kehilangan kepelbagaian biologi.

Cabaran ini memerlukan sumbangan felo secara bersepadu dan penyelarasan yang sistematik oleh sekretariat ASM untuk dimanfaatkan semua pihak dan menyokong polisi Kepelbagaian Biologi 2022-2030.

Komitmen ini merupakan idea daripada felo kepada pembentukan polisi kerajaan, yang dilaksanakan melalui penyelidikan untuk ilmu baharu dan mencadangkan pelaksanaan polisi kerajaan.

Sumbangan felo bukan sahaja di peringkat kebangsaan tetapi juga global dan ASEAN dengan melibatkan semua pihak termasuk industri.

Begitu juga dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 yang merupakan komitmen kerajaan dalam memanfaat, mengguna, memajukan sains serta teknologi ke arah memacu pertumbuhan sosioekonomi negara.

DSTIN 2021-2030 memperkenalkan konsep STIE bagi menunjukkan kepentingan STI sebagai asas dalam menyokong pertumbuhan ekonomi serta mencapai matlamat menjadi negara berteknologi tinggi.

STIE akan dapat mewujud dan memperkukuhkan asas untuk berinovasi serta mengaplikasikan sains dan teknologi bagi manfaat pelbagai peringkat masyarakat dan negara.

Felo ASM mesti mengikuti DSTIN ini dan mencari peluang menyumbang untuk menjayakannya.

CABARAN BAHARU
Kecerdasan buatan (AI) sudah menjadi cabaran baharu dalam STI. Keadaan masa hadapan menjadi lebih rumit yang memerlukan pandangan dan bantuan daripada felo ASM.

Oleh kerana perkara ini baharu dalam kalangan masyarakat, program latihan peringkat pelajar dan guru sekolah sangat diperlukan agar seluruh masyarakat faham serta dapat menggunakan AI dengan baik.

ASM mesti mempunyai satu strategi yang jelas untuk membantu negara dengan melibatkan felo dalam bidang masing-masing. Dalam keadaan dunia yang tidak stabil, AI adalah cabaran baharu yang kompleks.

AI adalah sebuah bidang ilmu komputer yang berfokus kepada pengembangan sistem untuk melakukan tugas-tugas biasa yang boleh dilakukan manusia.

AI mampu membuatkan mesin belajar, menganalisis maklumat dan membuat keputusan sebagai panduan atau dilaksanakan oleh manusia.

Ahli sains mesti membantu dalam menyediakan data untuk diproses oleh sistem AI dalam membuat keputusan atau cadangan yang tepat.

Bidang pendidikan, kesihatan, perniagaan mahupun teknologi memerlukan perkhidmatan AI yang pintar.

Sumbangan felo dalam bidang-bidang sains, teknologi, sains sosial dan kemanusiaan sangat penting selain menjuarai bidang masing-masing sambil membangunkan generasi muda sebagai pengikut.-UTUSAN

PROFESOR Dr. Ahmad Ismail ialah Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×