DULI Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, cahaya permata yang diputerakan di Arau, Perlis pada 17 Mei 1943. Baginda telah dimasyhurkan sebagai Raja Perlis pada 17 April 2000, sebagai penyambung warisan pemerintahan Wangsa Jamalullail sekaligus menjadikannya raja pertama yang dilantik selepas penggubalan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis pada 1948. Baginda adalah sosok pemimpin yang telah mencurahkan segala kudrat demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat jelata.
JUBLI PERAK: 25 TAHUN MEMACU PERLIS KE PUNCAK KEGEMILANGAN
Tanggal 17 April 2025 bakal menjadi lembaran emas dalam sejarah Perlis, apabila seluruh negeri sebulat suara sehati sejiwa bersatu menyambut perayaan Jubli Perak Pemerintahan Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Perlis. 25 tahun bukanlah satu perjalanan yang singkat. Ia adalah tempoh yang sarat dengan dedikasi, perjuangan, dan pencapaian dalam memajukan negeri ini seiring peredaran zaman.
Di bawah naungan baginda, Perlis telah menyaksikan perubahan yang membanggakan dalam bidang sosial, pendidikan, ekonomi, dan infrastruktur. Seiring dengan sasaran “Perlis Negeri Bandar Raya Menjelang 2030”, baginda terus mengorak langkah dalam memperkukuh institusi monarki, memastikan perpaduan rakyat terjalin erat, serta mengangkat martabat Perlis ke persada lebih tinggi.
Sambutan ini bukan sekadar perayaan, tetapi satu penghormatan kepada jasa seorang raja yang telah berbakti tanpa jemu. Hubungan “Raja dan Rakyat Berpisah Tiada” menggambarkan betapa eratnya hubungan antara pemerintah dan rakyat, umpama ibarat aur dengan tebing, berpadu teguh dalam mengecapi kejayaan bersama.
Sebagai Pengerusi Pertama (1986-2000) bagi Yayasan Tuanku Syed Putra, baginda senantiasa memastikan pendidikan di Perlis terus berkembang, melahirkan generasi berminda kelas pertama. Bagi menunjukkan sokongan kepada anak-anak Perlis yang tampil cemerlang dalam pelbagai bidang dan melonjakkan nama Perlis, baginda telah menyediakan pelbagai insentif melalui penganugerahan Anugerah Kecemerlangan Pelajar; Anugerah Diraja; dan Anugerah Khas dalam majlis khas yang dianjurkan oleh YTSP.
Malah, melalui penubuhan Tabung Putra Petri yang diilhamkan oleh baginda bagi meraikan bayi yang dilahirkan pada tanggal 17 Mei hingga 17 Julai setiap tahun melalui pendaftaran haji dan pembukaan akaun simpanan di Tabung Haji. Malah, baginda turut mengilhamkan Tuition on Air yang disiarkan di radio Perlis FM untuk diikuti oleh anak-anak dari golongan yang kurang berkemampuan.
Institusi raja bukan hanya sekadar lambang semata-mata, tetapi tunjang kepada kestabilan politik dan sosial negeri. Melalui sambutan Jubli Perak, ini adalah satu peluang untuk memperkukuh kedudukan institusi monarki sebagai tonggak perpaduan dan keharmonian negeri. Sebagai contoh, Forum Seminar Institusi Raja 2024 (SIRaj VII) bertemakan Adat Istiadat Melayu anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah menjadi platform penting dalam memperkukuhkan adat istiadat dan monarki raja-raja Melayu selain sistem pemerintahan beraja menjadi pelengkap serta semak dan imbang kepada sistem pemerintahan demokrasi.
DARI MEDAN PERANG KE TAKHTA GEMILANG
Tuanku Syed Sirajuddin bukan hanya seorang raja, tetapi juga seorang pahlawan. Baginda telah dididik dengan asuhan disiplin ketenteraan di Royal Military Academy Sandhurst (RMAS) iaitu sebuah akademi yang melahirkan pemimpin berkualiti tinggi pada Januari 1964 dan ditauliahkan pada 18 Disember 1965. Setelah tamat latihan, baginda telah kembali ke tanah air dan berkhidmat dalam Rejimen Kedua Kor Peninjau Diraja pada Disember 1965.
Pada 1966, baginda telah ditukarkan ke Sabah dan kemudian ke Sarawak. Tahun-tahun ini merupakan suatu tempoh yang amat mencabar buat Tuanku Syed Sirajuddin di mana negara jiran pada ketika itu telah mengisytiharkan konfrontasi terhadap penyatuan Persekutuan Tanah Melayu dengan negeri Sabah dan Sarawak. Sungguhpun begitu, Tuanku Syed Sirajuddin terus berkhidmat dengan penuh keperwiraan berbekalkan ilmu yang diperoleh di Sandhurst dan darah diraja yang mengalir dalam diri baginda.
SAMBUTAN JUBLI PERAK: KESYUKURAN DAN KEGEMILANGAN
Sebagai simbol kebesaran dan kejayaan pemerintahan baginda, logo rasmi Sambutan Jubli Perak telah direka khas bagi memperingati tempoh pemerintahan Tuanku Syed Sirajuddin yang telah membawa kemajuan dan kesejahteraan kepada negeri Perlis. Reka bentuk logo ini juga telah menampilkan tujuh elemen utama yang melambangkan kedaulatan dan kesejahteraan negeri. Antaranya, Tengkolok Putra Julang Darjat yang melambangkan kedaulatan dan warisan institusi Diraja Perlis.
Bagi memeriahkan sambutan ini, pelbagai program telah dirancang. Antaranya, Perlis bakal menjadi tuan rumah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2025 bermula dari 27 April hingga 2 Mei 2025, menyerlahkan peranan negeri Perlis dalam menegakkan syiar Islam. Ini sejajar dengan Seksyen 6(1) Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis 1948, yang menegaskan bahawa Raja adalah Ketua Agama bagi negeri.
Malah, sambutan Jubli Perak ini nanti sememangnya akan memberi impak besar bagi mengukuhkan lagi hubungan antara rakyat dan institusi monarki serta menggalakkan kerjasama pelbagai lapisan masyarakat, agama, dan kaum, sekali gus mewujudkan keharmonian yang lebih kukuh. Tidak ketinggalan, ia akan memberi impak yang cukup positif dalam meningkatkan pembangunan negeri; menarik perhatian pelancong; dan meningkatkan imej serta reputasi Perlis di persada antarabangsa. Negeri yang kaya dengan adat dan budaya ini terus bersinar, membawa semangat kesetiaan dan patriotisme yang tidak berbelah bahagi.
KEKALNYA KASIH RAJA DAN RAKYAT
Sebagai seorang raja yang dekat di hati rakyat, Tuanku Syed Sirajuddin terus menjadi lambang kasih sayang dan keprihatinan. Baginda tidak kekok menyantuni rakyat, mendengar rintihan mereka, serta memastikan kebajikan rakyatnya sentiasa dijaga dan terpelihara.
Dalam doa dan harapan, rakyat Perlis menzahirkan penghormatan dan kasih yang tidak berbelah bahagi kepada baginda berdua. Didoakan agar Tuanku Raja Perlis dan Tuanku Raja Perempuan Perlis sentiasa dalam lindungan Allah SWT, dikurniakan kesejahteraan dan keberkatan dalam memayungi negeri tercinta.
Jubli Perak ini bukan hanya satu perayaan, tetapi satu ikatan janji setia bahawa raja dan rakyat tetap berpadu, menuju masa depan yang lebih gemilang.
Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! – UTUSAN
Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir ialah Timbalan Komandan PALAPES Universiti Malaysia Perlis dan Pengarah Pusat Komunikasi Korporat, Universiti Malaysia Perlis.










