KETIKA penulisan ini digarap, pihak Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) telah diarahkan oleh Menteri Komunikasi untuk menjalankan siasatan terperinci berkenaan aduan kakitangan stesen radio yang mempersenda upacara agama lain.
Fahmi Fadzil juga dipetik berkata SKMM perlu memanggil kesemua pihak yang terlibat untuk memberikan penjelasan penuh.
Tiada mana-mana individu baik beragama Islam ataupun bukan menyebelahi pelakuan tidak sensitif yang dilakukan penyampai radio ini. Malah dilaporkan juga penyampai radio ini sudah memohon maaf secara terbuka setelah menyedari ketelanjuran yang mereka lakukan.
Pelakuan pelaku ini tidak boleh sama sekali diterima dalam masyarakat majmuk di Malaysia.
Tidak cukup dengan tindakan SKMM, pihak polis juga dilaporkan membuka kertas siasatan terhadap penyampai radio tersebut di bawah seksyen 298 Kanun Keseksaan dan seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 (Akta 588).
Seksyen 298 Kanun Keseksaan menjadikan kesalahan bagi mana-mana orang yang dengan sengaja menyebut sesuatu dengan niat hendak melukakan perasaan agama seseorang lain.
Manakala Seksyen 233 Akta 588 pula menjadikan kesalahan bagi sesiapa yang menggunakan rangkaian internet secara salah termasuklah dengan memuat naik kandungan sumbang yang boleh menyakitkan hati atau mengganggu orang lain.
Peruntukan undang-undang ini pula bukanlah asing kerana kes-kes melibatkan penghinaan agama sebegini secara lazimnya telahpun disiasat malah dibawa pertuduhan di bawah peruntukan ini.
Kes-kes yang melibatkan siasatan di bawah Seksyen 233 Akta 588 kini dilihat semakin menjadi kelaziman kepada masyarakat. Samalah juga ketika kes apabila nama Nabi Muhammad SAW dijadikan bahan lawak dan kandungan sampah di media sosial sebelum ini.
Insiden sebegini juga mengguris hati umat Islam secara keseluruhan. Lantaran itu, nada keseriusan kerajaan haruslah sama, senada dan setaraf dalam setiap kes penghinaan ataupun jenaka yang melibatkan agama.
Kesetaraan ini harus dilakukan dengan jelas supaya terlihat dan dilihat mana-mana penghinaan agama tidak mempunyai tempat di negara ini.
Sebenarnya dalam isu berkenaan tindakan mempersendakan agama, kaum ataupun fizikal seseorang sehingga dijadikan bahan dalam konten media sosial bukanlah perkara yang baharu.
Namun gaya ini memualkan dan memberikan tanggapan seolah-olah penggiat seni di negara ini ketandusan idea dalam memberikan hiburan.
Mungkin ada yang berselindung atas nama kebebasan dalam ekspresi, seni mahupun hiburan semata-mata.
Perlu ditekankan perbuatan yang tidak bermoral seperti ini tidak pernah dibenarkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Malah menerusi Perkara 10(2) Perlembagaan Persekutuan, Parlimen boleh memperkenalkan undang-undang untuk mengehadkan kebebasan bersuara demi kepentingan keselamatan negara, ketenteraman awam atau prinsip moral.
Selain itu, masyarakat massa juga perlu memberi isyarat jelas kepada mana-mana penggiat hiburan yang mempersendakan agama, kaum, fizikal ataupun dengan jelik memperagakan jantina yang berbeza supaya ditolak dengan keras, tegas dan tuntas.
Apa-apa sahaja kebebasan yang dilaungkan mempunyai batasan demi ketenteraman awam. Sebarang hantaran atau kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama semestinya akan menimbulkan rasa amarah malah lebih parah perasaan marah ini akan membawa kepada respon melampau hingga wujud buli siber ataupun ugutan jenayah.
Kelembutan undang-undang dalam membendung dan mengatasi hantaran yang menghina agama ataupun kaum akan menimbulkan pelbagai reaksi yang dikhuatiri membawa kepada kegiatan jenayah lain.
Provokasi yang keterlaluan oleh pelaku dalam kes-kes sebelum ini seperti menghina agama Islam ataupun Nabi Muhammad tidak boleh mengharap reaksi tenang masyarakat massa.
Sekalipun atas nama kebebasan berkarya, penghinaan kepada mana-mana agama termasuklah agama Islam akan menimbulkan reaksi yang telah dijangka. Lantaran itu, usah mulakan ataupun membiarkan masyarakat selesa untuk terus menjolok sarang tebuan.
Perkara berkenaan agama, kepercayaan dan kaum sama sekali perlu dielakkan daripada dipersenda sama ada secara langsung atau tidak langsung.
PUPUK KEFAHAMAN AGAMA, BUDAYA
Dalam melangkah ke masa hadapan, membendung dan memupuk kefahaman agama dan budaya perlu dipergiatkan di peringkat sekolah selain daripada penguatkuasaan undang-undang yang berkaitan.
Sekolah kebangsaan adalah penting untuk mendidik dan memahamkan garis sempadan dalam berjenaka, berkarya serta sensitiviti bila menyentuh perihal agama.
Murid-murid yang membesar dan bergaul bersama berkemungkinan mempunyai kefahaman berkenaan dengan sensitiviti ini dengan lebih baik.
Perlakuan memperlecehkan agama yang datang daripada penganut yang sama pula bukanlah satu bentuk pengesahan bahawa kelakuan itu boleh dibenarkan.
Tuntasnya, isu berkenaan dengan pelecehan agama ini bukanlah perkara yang boleh dibanggakan meskipun lazim dilakukan kerana kes seperti ini melambangkan masyarakat kita masih belum matang.
Apapun masyarakat sememangnya mengharapkan tiada lagi kes yang mengguris hati perasaan mana-mana penganut agama terutama Islam dan adalah menjadi harapan supaya rujukan serta pertuduhan di mahkamah boleh dilakukan terhadap mereka yang menghina agama Islam dan agama-agama lain untuk menunjukkan keseriusan menangani isu tersebut. – UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang, Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA) dan Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).










