Pelihara alam semula jadi negara dari kepupusan

Pelihara alam semula jadi negara dari kepupusan

MALAYSIA mempunyai kepelbagaian ekosistem yang unik termasuk hutan hujan tropika, hutan bakau, batu karang, tanah lembap dan lain-lain yang menyumbang kepada kekayaan kepelbagaian biologi negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA bercita-cita tinggi untuk mengadakan sebuah Muzium Sejarah Alam Semula Jadi sebagai rujukan utama pengetahuan saintifik berkaitan kepelbagaian biologi negara. Muzium Sejarah Alam Semula Jadi Malaysia boleh menjadi satu institusi popular dalam bidang kepelbagaian biologi tropika dari segi pameran spesimen, penyelidikan, pendidikan dan pakar rujuk dunia. Dengan kedudukan Malaysia dalam kumpulan negara-negara yang tinggi kepelbagaian biologi di dunia, penubuhan Muzium Sejarah Alam Semula Jadi ini sangat bermanfaat kepada dunia.

Negara-negara yang tinggi kepelbagaian biologi adalah negara yang mempunyai tinggi bilangan spesies dan spesies yang endemik. Malaysia bersama negara-negara lain seperti Brazil, China, India, Indonesia, Mexico, Australia, Peru, Columbia, Ecuador, Amerika Syarikat, Venezuela, Russia, Afrika Selatan, Papua New Guinea, Filipina dan Myanmar diiktiraf sebagai negara yang yang tinggi kepelbagaian biologi. Semua 17 negara ini mempunyai peratusan yang signifikan bagi kepelbagaian biologi planet dan memerlukan sokongan dunia untuk pemeliharaan.

Bilangan spesies tumbuhan dan haiwan yang mewakili 70 peratus kepelbagaian biologi dunia, meningkatkan lagi komitmen negara-negara ini dalam pemuliharaan kepelbagaian biologi.

Pengiktirafan Malaysia sebagai sebuah negara yang tinggi kepelbagaian biologi di dunia, sewajarnyalah mempunyai sebuah Muzium Sejarah Alam Semula Jadi sebelum ada spesies yang mengalami kepupusan akibat daripada kekurangan maklumat dan pembangunan yang tidak terancang. Malaysia mempunyai kepelbagaian ekosistem yang unik termasuk hutan hujan tropika, hutan bakau, batu karang, tanah lembap dan lain-lain yang menyumbang kepada kekayaan kepelbagaian biologi negara. Sehingga kini Malaysia merekodkan lebih 20,000 spesies tumbuhan vaskular, 306 spesies haiwan mamalia, 800 spesies burung, 242 spesies amfibia, 567 spesies reptilia, lebih 2,000 spesies ikan air tawar dan marin, dan lebih 150,000 spesies serangga.

Malaysia komited melindungi kepelbagaian biologi seiring dengan perjanjian antarabangsa melalui pewartaan kawasan-kawasan penting sebagai kawasan perlindungan darat dan lautan. Antara kawasan darat yang penting dilindungi adalah Kompleks Hutan Simpan Belum Temengor, Taman Negara, Taman Negara Endau Rompin, Kompleks Hutan Simpan Ulu Muda, Hutan Bakau Matang, dan lain-lain termasuk di Sabah dan Sarawak. Malaysia juga mengiktiraf bersama-bersama BirdLife International, 55 kawasan berkepentingan burung dan kepelbagaian biologi (IBA, Important Bird and Biodiversity Areas) sebagai tempat-tempat penting burung tempatan dan hijrah yang terancam di dunia. Terdapat 18 kawasan IBA di Semenanjung Tanah Melayu dan 37 di Sabah dan Sarawak.

Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), telah menubuhkan Pusat Kepelbagaian Biologi Malaysia (MBC, Malaysian Biodiversity Centre) bagi merealisasikan penubuhan Muzium Sejarah Alam Semula Jadi Malaysia. Mesyuarat Majlis Biodiversiti Negara (MBN) telah bersetuju penubuhannya pada tahun 2023. Komitmen ini sejajar dengan hasrat kerajaan mempertingkatkan pengurusan, pemeliharaan dan pembangunan sumber biologi hutan negara secara berkekalan.

Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) telah menganjurkan siri ekspedisi saintifik kepelbagaian biologi hutan terutamanya di kawasan hutan simpan kekal. JPSM bertanggungjawab dalam mengurus, merancang, melindungi dan membangunkan hutan simpanan kekal.

Melalui ekspedisi yang dianjurkan, pelbagai disiplin terlibat termasuk kepelbagaian biologi flora dan fauna, aspek fizikal ekosistem hutan, ekopelancongan, ekologi dan sosioekonomi. Penglibatan institusi pendidikan tinggi negara, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), jabatan dan agensi kerajaan serta lain-lain membantu menjayakan ekspedisi yang didokumenkan untuk rujukan.

Ekspedisi seperti ini mesti diteruskan dan sudah tentu melibatkan peruntukan kewangan yang besar. Penglibatan pihak korporat diperlukan. Penglibatan universiti sangat penting bukan sahaja untuk aktiviti ekspedisi tetapi juga untuk pembangunan bakat baharu. Institusi pendidikan tinggi seperti UM, UKM, UPM, dan USM telah lama melatih bakat baharu dalam bidang kepelbagaian biologi. Akhir-akhir ini, empat universiti ini nampak kurang aktif dalam bidang asas kepelbagaian biologi. Universiti lain seperti UiTM, UTHM, UMT, UMS dan Unimas pula telah menunjukkan peningkatan pembangunan bakat dalam kepelbagaian biologi. Institusi seperti FRIM dan IMR juga turut terlibat dalam ekspedisi dan menjalankan kajian asas yang lebih fokus kepada peranan institusi mereka.

Empat universiti senior mesti kembali aktif dalam kajian dan pendidikan berkaitan kepelbagaian biologi terutamanya kajian sistematik tumbuhan dan haiwan. Penilaian kepelbagaian biologi, ekosistem hutan tropika dan lautan perlu dilakukan secara berterusan. Universiti-universiti ini sudah tentu ada koleksi spesimen dan kajian asas oleh ahli akademik terdahulu. Semua koleksi spesimen ini sangat berharga dan mesti dipelihara dengan baik.

Dalam usaha menubuhkan Muzium Sejarah Alam Semula Jadi, bakat baharu mesti dilatih. Pakar dan pemimpin dalam bidang alam semula jadi mesti diaktifkan dan membantu dalam pembangunan bakat baharu dan kajian berkaitan alam semula jadi. Perkembangan teknologi AI (kecerdasan buatan) sangat memerlukan bakat baharu berpengetahuan dan berkemahiran tinggi serta maklumat lengkap kepelbagaian biologi.

Aktiviti CEPA (Communication, Education and Public Awareness) yang dijalankan oleh pihak kerajaan dan NGO memerlukan maklumat lengkap tentang kepelbagaian biologi untuk program pendidikan yang efektif. Kerjasama semua pihak termasuk orang asli dan penduduk tempatan penting dalam mendapatkan sokongan pengurusan sumber semula jadi berasaskan komuniti dan meningkatkan kekuatan NGO menjayakan polisi dan amalan.

Sempena sambutan Hari Kepelbagaian Biologi Antarabangsa bulan Mei nanti, semua agensi mesti bersedia untuk bertindak segera secara sistematik bagi menjayakan hasrat murni kerajaan. Komitmen dan kejayaan Malaysia selama ini dalam pemeliharaan kepelbagaian biologi negara, selayaknya mempunyai satu Muzium Sejarah Alam Semula Jadi. – UTUSAN

PROFESOR Dr. Ahmad Ismail ialah Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN