Martabat wanita harus diangkat

Martabat wanita harus diangkat

WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

PERTEMUAN bersama DATUK SERI DR. WAN AZIZAH WAN ISMAIL walaupun singkat tetapi sarat perkongsian tentang hidup yang memberi inspirasi kepada wanita dalam menghadapi dugaan. Ini kerana wanita perlu serba-serbi kuat dalam kehidupan, kerjaya, status sebagai isteri, ibu mahupun anak.

Kekentalan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu mengharungi asam garam kehidupan menyedarkan kita bahawa mengalah bukan jawapan, sebaliknya percaya setiap yang berlaku, pasti ada hikmahnya. Ia terbukti hari ini.

Dalam temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan ASLINDA NASIR, beliau yang juga merupakan isteri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpandangan, pencapaian wanita dalam pelbagai bidang cukup memberangsangkan, malah dengan kelebihan teknologi baharu membolehkan golongan itu terus maju tanpa toleh ke belakang.

Pada pertemuan itu yang turut disertai jurugambar, MUHAMMED ISKANDAR ISHAK dan juruvideo, ABDUL RAHMAN RAZALI, sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa yang berlangsung pada 8 Mac lalu, beliau mahu wanita bukan sahaja memainkan peranan sebagai pemimpin malah terlibat sama dalam membuat keputusan, penggubalan dasar dan inisiatif kerajaan.

Pandangan berhubung pembangunan wanita setelah hampir 68 tahun negara merdeka?

Alhamdulillah, Malaysia mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang dan semestinya wanita terlibat dalam membawa negara ke tahap sekarang.

Sambutan Hari Wanita Antarabangsa yang diadakan tempoh hari merupakan bukti penghargaan dan pengiktirafan sumbangan serta pencapaian wanita, lebih-lebih lagi dengan adanya pelbagai teknologi baharu.

Semasa saya kecil, tidak semua gadis berpeluang untuk berpelajaran tinggi, tidak semua gadis diberi pendidikan atau pendedahan. Tetapi kemudiannya, ia menjadi kebiasaan. Kini, lebih ramai wanita menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT).

Mereka juga berada pada kedudukan melepasi ‘siling’. Kita mempunyai wanita pertama dalam bidang yang dahulunya dimonopoli lelaki seperti Ketua Hakim Negara, Gabenor Bank Negara, Laksamana Muda Angkatan Tentera dan sebagainya.

Wanita kini lebih terbuka dan lebih dilibatkan dalam pelbagai aspek pembangunan negara. Pun begitu, tanggungjawab terhadap keluarga tidak boleh dipinggirkan walau sesibuk mana pun bekerja. Pesanan ini juga buat para lelaki atau suami di luar sana. Keluarga adalah tanggungjawab bersama.

Kita perlu saling menyokong, bertoleransi dan mempunyai kefahaman tinggi untuk sama-sama bertanggungjawab membentuk keluarga yang utuh. Ini kerana keluarga adalah unit asas pembentukan negara.

Kelebihan seorang wanita melahirkan anak adalah satu keajaiban. Jika melihat kisah Rasulullah, para syeikh atau imam, ibu yang mengasuh, mendidik dan menjadikan mereka sebagai insan yang begitu baik. Ibulah yang banyak mempengaruhi kehidupan kita hari ini.

Walaupun saya diberi kesempatan menggalas amanah sebagai ketua pembangkang wanita pertama tetapi perlu ingat, peranan dan tanggungjawab membesarkan anak-anak itu lebih utama. Itu lebih dihormati.

Pandangan mengenai Dasar Wanita Negara 2025-2030, bagaimana boleh ditambah baik?
Saya melihat Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mempunyai tanggungjawab menjaga kumpulan sasar yang meliputi seluruh keluarga dan masyarakat yang terdiri daripada wanita, kanak-kanak, OKU (orang kurang upaya), warga emas, gelandangan dan sebagainya.

Saya berpeluang berada di KPWKM untuk seketika. Ini masa tepat untuk Malaysia mempunyai dasar serta pelan tindakan terkini dalam memacu agenda pemerkasaan dan pembangunan wanita.

Kita sedang hadapi banyak perubahan dari sudut kemajuan teknologi, politik, ekonomi, hubungan antarabangsa dan sebagainya terutama selepas pandemik Covid-19.

Negara mempunyai Dasar Wanita pertama pada 1989 dan pada 2025, kita mempunyai dasar baharu yang disemak dan digubal semula.

Dengan tema ‘Memartabat Wanita, Memperkukuh Negara’ merupakan seruan kepada pelbagai pihak bahawa melalui pengukuhan kedudukan wanita, bukan sahaja keadilan sosial akan dipertingkat, malah negara berpotensi untuk terus berkembang pesat dan mencapai kesejahteraan lebih menyeluruh.

Jika menghormati wanita, (bermakna) kita memperkasakan negara. Itu adalah perkara betul untuk dilakukan kerana golongan ini merupakan aset negara.

Seperti mana diriwayatkan dalam hadis Rasulullah, “seorang ibu (wanita) diberikan keutamaan tiga kali berbanding seorang ayah.” Kelebihan dan pengiktirafan ini diberi sebagai cerminan tanggungjawab, sifat sabar, dedikasi, komitmen dan pengorbanan seorang wanita sepanjang hidup.

Saya rasa itu antara sebab wanita mampu memperkasakan negara dalam dunia yang semakin mengecil. Saya yakin, dasar dan pelan tindakan baharu ini lebih baik, lebih kemas dan mengambil kira pelbagai faktor dan keperluan wanita.

Pandangan tentang pembangunan wanita di era Malaysia Madani?
Seperti mana dinyatakan Perdana Menteri dalam ucapan perasmian sambutan Hari Wanita tempoh hari, Malaysia Madani mementingkan nilai-nilai positif, meletakkan asas keyakinan dan meningkatkan kesedaran mengenai nilai kemanusiaan, ehsan, rahmah dan perkara-perkara ini banyak dilaksanakan wanita melalui peranan sebagai ibu yang mengasuh dan mendidik anak-anak. Agenda Membangun Malaysia Madani sangat dekat dengan contoh dibawa Rasulullah yang mementingkan pembawaan nilai-nilai positif dan akhlak terpuji.

Saya yakin Malaysia Madani akan mampu meningkatkan lagi martabat dan memperkasakan peranan wanita dalam setiap bidang. Kita menjangkakan melalui dasar dan pelan tindakan Pembangunan Wanita 2025-2030 lebih ramai wanita akan menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara. Lebih ramai wanita akan memimpin dan menjadi agen perubahan negara ke arah lebih sejahtera, maju dan bertamadun.

Saya percaya langkah-langkah yang diambil untuk memperkasa dan membangunkan wanita mestilah mengambil kira kepentingan nilai-nilai positif dan akhlak terpuji ini, bukan pembangunan fizikal dan ekonomi semata-mata. Anda boleh menjadi orang yang berjaya tetapi akhlak dan nilai positif itulah yang membezakan kita.

Perspektif mengenai kekuatan wanita mengharungi cabaran khususnya bagi ibu yang bekerja dalam memastikan institusi kekeluargaan kekal bertahan?
Tanggungjawab memastikan keluarga kekal utuh dan bertahan terletak di bahu kedua-dua isteri dan juga suami. Namun, ibulah yang selalunya memainkan peranan lebih besar di rumah untuk mengasuh dan mendidik anak-anak, menguruskan rumah tangga dan lain-lain. Wanita dan lelaki sememangnya dijadikan berbeza tetapi ditakdirkan untuk saling melengkapi dan sayang menyayangi antara satu sama lain.

Dalam keadaan tertentu terdapat keluarga yang perlu menjaga dua generasi dalam masa yang sama (sandwich family). Menjaga ibu bapa dan juga anak yang masih kecil. Selalunya, dalam situasi ini beban lebih kepada wanita dan ibu.

Saya melihat konsep Admiralty Village di Singapura. Mereka mempunyai sistem sokongan yang boleh mengurangkan beban ini dengan menjaga kebajikan sosial ibu bapa yang berusia.

Wanita apabila menjadi anak, dia mampu berbakti kepada kedua orang tua. Apabila menjadi isteri, mampu membawa kebahagian dan sinar buat suami dan keluarga. Apabila menjadi ibu, mampu menjadi idola kebaikan dan kecemerlangan buat anak-anak.

Apabila menjadi pemimpin, wanita memainkan peranan utama dalam penggubalan dasar dan pelaksanaan inisiatif kerajaan secara lebih holistik, inklusif dan memberi kesejahteraan kepada wanita lain yang dinaungi. Inilah kekuatan wanita beraspirasi yang mempunyai karier dan keluarga yang kukuh serta bahagia.

Saya yakin, sebuah keluarga akan menjadi kuat dan harmoni dengan adanya ibu atau isteri yang memainkan peranan dengan baik, semestinya dengan sokongan dan bantuan dari pasangan masing-masing.

Adakah sasaran mencapai 60 peratus tenaga buruh wanita terlalu tinggi?
Sasaran itu adalah realistik dan semestinya mengambil kira semua faktor yang berkaitan perkembangan ekonomi, kesediaan tempat, majikan, sistem sokongan untuk keluarga dan lain-lain. Saya yakin peningkatan penyertaan wanita dalam pasaran tenaga buruh akan memberi kesan signifikan yang positif kepada ekonomi negara khususnya melalui peningkatan pendapatan keluarga. Amat penting supaya wanita memiliki sumber ekonomi sendiri demi kesejahteraan mereka dan juga keluarga. Semua orang mahu menyediakan kehidupan lebih baik untuk anak-anak dan keluarga.

Berdasarkan data PDRM (Polis Diraja Malaysia), suri rumah dan wanita yang tidak bekerja merupakan mangsa keganasan rumah tangga paling tinggi. Bukan mahu meletakkan kesalahan dibahu wanita, mereka adalah mangsa. Saya percaya wanita yang bekerja, mempunyai pendapatan sendiri lebih yakin dan mempunyai sistem sokongan bukan hanya keluarga tetapi juga rakan sekerja untuk mengelakkan daripada menjadi mangsa.

Saya rasa sasaran ini boleh dicapai kerana ketika ini kita berada pada 56.2 peratus.

Kami tertarik dengan ​Program Perantisan Kepimpinan Wanita (Perantis). Apakah cabaran untuk memastikan kejayaan inisiatif ini?
Perantis merupakan satu inisiatif yang bagus oleh KPWKM. Program ini selari dengan dasar kerajaan yang mahukan lebih ramai penyertaan wanita dalam membuat keputusan. Ia merupakan langkah penting dalam memperkukuh peranan golongan itu sebagai pemimpin dalam pelbagai bidang, sekali gus membentuk generasi wanita yang lebih berdaya saing, berpengaruh dan berwawasan.

Cabaran utama dalam pelaksanaan inisiatif ini ialah bagaimana untuk memastikan setiap ilmu, pengalaman, maklumat dan tip berguna daripada tokoh wanita yang terpilih dapat diturunkan atau diajar kepada peserta dengan berkesan. Kemudian, bagaimana mereka mahu mengaplikasikan ajaran tersebut.

Saya yakin KPWKM melalui JPW (Jabatan Pembangunan Wanita) akan melaksanakan pemantauan dan bimbingan yang berterusan bagi memastikan objektif utama dapat dicapai dan semestinya dengan dukungan dan sokongan padu daripada seluruh pihak.

Wanita harus boleh membuat keputusan, bijak, mempunyai pendedahan, memikirkan bagaimana untuk memperbaiki keadaan. Kita harus berdaya saing, kita sepatutnya boleh bersaing.

Pendapat tentang isu keganasan rumah tangga yang masih berlaku?
Isu keganasan rumah tangga merupakan satu perkara buruk yang harus dibendung jika mahu lihat wanita dan keluarga terus maju. Saya yakin, banyak usaha dan inisiatif dilaksanakan kerajaan. Usaha untuk meningkatkan kesedaran dan membendung keganasan rumah tangga turut didukung oleh pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat di peringkat komuniti.

Saya berharap statistik peningkatan kes adalah disebabkan peningkatan kesedaran mangsa atau keluarga untuk membuat aduan supaya tindakan boleh diambil. Namun, usaha berterusan perlu dilakukan. Apa yang penting, dapatkan bantuan atau buat laporan segera, jangan tunggu sehingga keadaan menjadi lebih teruk.

Apabila kita berkahwin, kita harus anggap ia ibarat kontrak atau perjanjian bersama pasangan. Tetapi jika berlaku keganasan rumah tangga, dapatkan bantuan segera. Kita tidak mahu keadaan menjadi teruk sehingga melibatkan kecederaan fizikal, mental ataupun mengancam nyawa. Salah satunya, hubungi talian bantuan seperti Talian Kasih 15999 yang menyediakan bantuan 24 jam. Kita cuba selesaikan perkara ini termasuk mendapatkan khidmat kaunseling.

Bagaimana Datuk Seri mengimbangi masa antara tugas sebagai ahli Parlimen dan isteri memandangkan jadual yang padat?
Alhamdulillah, saya mendapat bantuan daripada pegawai yang bertugas di Pejabat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan juga pegawai yang membantu saya melaksanakan tugas-tugas rasmi di bawah tanggungjawab sebagai isteri kepada Perdana Menteri. Jika saya tidak berada di pejabat kerana menghadiri program rasmi lain, pegawai akan pastikan masalah atau aduan daripada penduduk diambil perhatian dan diselesaikan segera. Kita turut mengadakan pelbagai program untuk manfaat penduduk seperti program kesedaran dan saringan kesihatan, program pembangunan dan keusahawanan wanita dan sebagainya.

Saya tidak mencampuri urusan rasmi di Pejabat Perdana Menteri. Kebanyakan masa, saya mengiringi beliau untuk program-program rasmi apabila ada keperluan. Saya turut terlibat dengan beberapa tugas rasmi yang diletakkan di bawah tanggungjawab isteri kepada Perdana Menteri antaranya Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Puspanita Kebangsaan, Pergerakan Puteri Islam Malaysia dan Kasih Malaysia. Saya turut pastikan meluangkan masa bersama anak dan cucu. Ini pun sudah cukup buat saya gembira kerana ia adalah masa yang istimewa dan berharga. Yang penting, mempunyai keluarga yang harmoni.

Siapa idola Datuk Seri yang memberi impak paling besar dalam hidup?
Salah seorangnya adalah ibu saya walaupun dia tidak mempunyai pendidikan yang tinggi.

Kedua, ibu saudara yang menjaga saya. Saya membesar bersama ibu saudara. Dialah yang mengajar saya mengaji al-Quran dan solat. Banyak yang saya pelajari daripada mereka berdua.

Saya membesar seperti orang lain, saya lahir daripada keluarga kelas pertengahan. Saya dididik supaya menghormati orang disekeliling. Saya diajar supaya hormat menghormati, bersopan dan berbudi bahasa. Mungkin ini yang membentuk karakter saya dan anak-anak. Pun begitu, dalam sesetengah perkara, kita perlu tegas dan tetap pendirian terutama membabitkan soal agama.

Rahsia untuk terus bertahan, menjadi tulang belakang kepada Anwar terutama ketika beliau ditimpa ujian berat?

Saya tidak mempunyai rahsia. Jika anda berkahwin, itu adalah satu hubungan yang memerlukan kita menjaga antara satu sama lain. Kita lebih mengenali suami atau isteri. Anda tahu kekuatan dan kelemahan mereka, begitu juga kekuatan dan kelemahan anda.
Kita perlu memberi dan menerima, saling bertoleransi, sabar dan reda. Kita perlu faham syaitan amat sukakan perpisahan. Jadi, bersabar apabila ditimpa masalah, cari jalan penyelesaian, sentiasa berdoa dan tawakal kepada Allah.

Ketika Anwar di penjara, pastinya hilang tempat mengadu, siapa menjadi pengganti ketika itu?
Hanya Allah tempat saya mengadu. Saya menangis ketika membaca al-Quran. Saya tidak bercerita kepada sesiapa kerana takut mereka turut terpalit dan disoal siasat.

Saya tidak tunjuk kepada orang tentang perasaan sebenar. Saya perlu nampak kuat di depan anak-anak, ahli keluarga dan penyokong kuat Anwar.

Apa yang saya lakukan ini juga sebahagian daripada latihan sebagai doktor, jika seseorang pesakit rebah, doktor tidak boleh rebah atau mengalah, sebaliknya perlu kuat bagi membantu pesakit itu.

Sudah lakukan yang terbaik

Bagaimana dengan parti? Adakah suara wanita didengari?
Semestinya suara wanita didengari. Kita boleh bersuara dan berkongsi pendapat. Tetapi pada akhirnya kita semua adalah satu pasukan. Kita perlu hormat dan faham setiap keputusan yang diambil, jangan berpecah atau membelakangi keputusan parti.

Datuk Seri menyebut terlibat dalam politik secara tidak sengaja, apakah saat paling mencabar dan paling indah yang tidak boleh lupakan?
Saat paling mencabar ialah ketika Anwar masuk penjara semula (2015). Saya masih ingat kami ke mahkamah untuk perbicaraan. Ia adalah pendengaran selama 30 minit. Setelah selesai, kami diberikan masa selama kira-kira 10 minit untuk ucapkan selamat tinggal sebelum Anwar dibawa ke penjara.

Saya kata, “Ya Tuhan, saya rasa sukar.”

Ada masanya saya sedih, saya menangis. Tetapi saya tahu sepanjang tempoh itu, saya ada Allah. Dia yang lebih berkuasa memberi saya ‘laluan’ untuk terus kuat, jalani hidup tanpa Anwar disisi. Dialah yang memberi saya kekuatan ini.

Maaf jika bertanya, adakah Datuk Seri menangis setiap kali mengingati peristiwa ini?
Dahulu, tidak. Ketika itu saya tidak boleh menangis, saya tidak boleh ‘lepaskan’ kerana ia akan mematahkan semangat, kekuatan saya akan pecah. Apabila melihat anak-anak yang masih kecil, saya perlu kuat. Saya tidak boleh tunjukkan kesedihan di depan mereka.

Saya adakalanya menangis apabila mengenang apa yang telah dilalui. Sekarang, tidak perlu tahan menangis lagi. Alhamdulillah saya telah datang sejauh ini dan melakukan yang terbaik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN