MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, dalam ceramah politiknya di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara, Kampung Bendahara, Selayang, pada 11 Julai 2023 membuat kenyataan yang menyentuh dua raja Melayu.
Kenyataan yang pertama berbunyi “Sultan Kedah adalah sultan hebat, satu-satunya sultan yang ada susur jalur yang tak pernah putus, tak akan pilih menteri besaq ‘cokia’ macam (Datuk Seri Amirudin Shari) menyentuh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Kenyataan yang kedua berbunyi “Tiada siapa di dunia ini mendengar Yang di-Pertuan Agong menitahkan supaya ditubuhkan Kerajaan Perpaduan kecuali Datuk Seri Anwar Ibrahim” pula menyentuh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Ekoran itu Muhammad Sanusi dihadapkan ke mahkamah kerana didakwa melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja.
Perbuatan ini merupakan kesalahan di bawah seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan jika disabit kesalahan hukumannya ialah beliau boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Anwar selaku Perdana Menteri Malaysia ke-10 menyebut pada waktu itu tiada apa yang perlu ditakuti oleh Muhammad Sanusi kerana jika beliau yakin tidak melakukan sebarang kesalahan, beliau boleh membuktikan perkara itu di mahkamah dan mahkamah Malaysia adalah bebas.
Keputusan mahkamah tinggi untuk melepaskan dan membebaskan Muhammad Sanusi daripada dua pertuduhan ini menimbulkan persoalan mengenai sejauh mana wujudnya pengaruh politik dalam sistem kehakiman negara.
Hakikat pembebasan ini berlaku tanpa sebarang gangguan membuktikan penegasan Anwar mengenai kebebasan mahkamah, di mana beliau tidak campur tangan dalam urusan pendakwaan dan penghakiman, adalah tepat.
PEMBEBASAN TUDUHAN MENGHASUT SULTAN SELANGOR
Pada 10 Disember 2024, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Aslam Zainuddin, melepaskan dan membebaskan Muhammad Sanusi daripada pertuduhan menghasut berkaitan Sultan Selangor.
Keputusan ini dibuat selepas pihak pendakwaan melalui Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Datuk Masri Mohd. Daud, menarik balik pertuduhan dan memaklumkan kepada mahkamah mereka tidak bercadang untuk meneruskan kes tersebut.
Tindakan Sultan Selangor menerima permohonan maaf Muhammad Sanusi pada 26 September tahun lalu turut memperlihatkan isu ini diselesaikan secara muhibah, sekali gus memberi ruang kepada pihak pendakwaan untuk menilai semula keperluan meneruskan pertuduhan.
Sultan Selangor masa sama menasihati Muhammad Sanusi agar sentiasa menjaga tutur kata serta tatasusila, jangan terlalu beremosi dan menggunakan perkataan-perkataan yang tidak baik dalam memberi syarahan kepada rakyat jelata terutama sekali apabila berada di Selangor.
Hakikat kes ini akhirnya ditarik balik tanpa sebarang halangan daripada kerajaan membuktikan sistem kehakiman negara berfungsi secara bebas dan tidak dipengaruhi oleh campur tangan eksekutif.
PEMBEBASAN TUDUHAN MENGHASUT YANG DI-PERTUAN AGONG KE-16
Pada 24 Februari 2025, Aslam sekali lagi membuat keputusan untuk melepaskan dan membebaskan Muhammad Sanusi daripada pertuduhan menghasut terhadap Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Keputusan ini dibuat selepas pihak pendakwaan melalui Masri sekali lagi memaklumkan kepada mahkamah bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) menerima representasi Muhammad Sanusi dan tidak bercadang untuk meneruskan kes tersebut.
Dalam prosiding tersebut, pihak pendakwaan pada asalnya mencadangkan supaya Muhammad Sanusi dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA). Namun, selepas pihak pembelaan berhujah mahkamah perlu membebaskannya secara penuh kerana pendakwaan tidak berhasrat meneruskan kes, hakim akhirnya bersetuju dan memberikan perintah lepas dan bebas (DNA).
Sekali lagi, keputusan ini menunjukkan tidak wujud campur tangan politik dalam sistem kehakiman. Jika ia wujud maka, sudah tentu tentu pendakwaan akan diteruskan kerana jika Muhammad Sanusi bersalah maka beliau boleh hilang jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Menteri Besarnya.
Paling tidak, sekurang-kurangnya DNAA akan dikekalkan bagi membolehkan kes dibuka semula di masa hadapan tetapi ini tidak berlaku di mana AGC menghentikan pendakwaan manakala mahkamah pula setuju membebaskan Muhammad Sanusi sepenuhnya.
Pembebasan Muhammad Sanusi daripada kedua-dua pertuduhan ini membuktikan sistem kehakiman Malaysia memang bebas. Mahkamah membuat keputusan berdasarkan bukti dan fakta kes, tanpa sebarang tekanan politik daripada kerajaan.
Keputusan untuk menerima representasi Muhammad Sanusi dalam kes kedua membuktikan bahawa AGC berfungsi secara profesional dan bebas tanpa adanya sebarang campur tangan politik dalam menggunakan kuasa budi bicara dan menilai pertuduhan berdasarkan merit kes.
Sekiranya kerajaan ingin menggunakan sistem keadilan untuk menekan lawan politik, mereka pasti akan memastikan pertuduhan terhadap Muhammad Sanusi diteruskan sehingga ke peringkat akhir.
Namun, hakikat Muhammad Sanusi dibebaskan menunjukkan pendakwaan dilakukan secara objektif dan profesional, tanpa sebarang campur tangan politik.
Pembebasan Menteri Besar Kedah itu daripada dua pertuduhan menghasut membuktikan Perdana Menteri tidak campur tangan dalam urusan pendakwaan dan penghakiman, malah keputusan mahkamah dibuat berdasarkan merit dan bukti yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan serta pembelaan.
Ini membuktikan Kerajaan Perpaduan benar-benar menghormati pemisahan kuasa antara badan eksekutif, badan perundangan dan badan kehakiman, selaras dengan prinsip demokrasi dan keluhuran undang-undang di Malaysia.-UTUSAN
PENULIS adalah graduan undang-undang dari Universiti Utara Malaysia (UUM) yang sedang berkhidmat di Tetuan Ibrahim & Fuaadah.










