KOMITMEN yang dinyatakan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor untuk merangka pelan jangka pendek, sederhana dan panjang bagi menyelesaikan masalah kewujudan tapak pelupusan sampah haram wajar diberi perhatian khususnya apabila melibatkan Selangor dengan julukan negeri maju di negara ini.
Bukanlah menidakkan komitmen yang diberikan terdahulu, tetapi sekurang-kurangnya pihak berkuasa perlu mengakui tindakan diambil selama ini ibarat ‘mencurah air di daun keladi’, langsung tidak menggerunkan orang atau syarikat untuk membuang sampah secara haram.
Bukan satu atau dua tapak pelupusan sampah haram di negeri yang berkeluasan 8,104 kilometer persegi ini, pada 2016 pernah dilaporkan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor mempunyai 128 tapak pelupusan sampah haram di keseluruhan kawasan sembilan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Kemudian pada November 2023, kerajaan negeri memaklumkan sebanyak 57 tapak pelupusan sampah haram dikesan aktif di Selangor, paling banyak adalah di dalam kawasan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) iaitu sebanyak 18 tempat diikuti Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) iaitu 13.
Kemudian terdapat satu hingga lapan tapak haram dikesan iaitu di Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Perbandaran Klang (MPK), Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).
Bagaimanapun, pada Oktober tahun lalu, Menteri Besar memberitahu komitmen kerajaan negeri untuk melaksanakan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam dasar Selangor Bebas Karbon 2050.
Selain itu, dasar kerajaan negeri juga berkait rapat dengan pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) apabila menjadi negeri pertama menghantar laporan SDG kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) seperti dalam laporan akhbar, sebulan kemudian.
Malah, komitmen kerajaan untuk memelihara dan memulihara alam sekitar selain mengelak pencemaran atau pembuangan sisa terjadual secara terbuka atau haram turut ditunjukkan melalui pelaksanaan Dasar Pelepasan Sifar (ZDP) yang dikuatkuasakan pada Januari tahun ini.
Jadi, kelihatan ironi apabila ESG, SDG, ZDP dan sampah haram, secara teknikalnya semua ada di negeri kaya ini.
Persoalannya bila isu sampah haram akan selesai, bila hendak bertepatan dengan amalan ESG, SDG dan ZDP untuk memelihara dan memulihara alam sekitar.
Satu soalan lagi yang timbul, adakah dengan meratifikasi Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) seperti yang dihasratkan oleh kerajaan negeri pada tahun lalu akan memberi jaminan untuk menyelesaikan isu pelupusan sampah haram?
Ia agak membingungkan apabila Menteri Besar sendiri memberitahu peningkatan denda atau hukuman terhadap pihak yang terlibat dalam pelupusan sampah secara haram didakwa tidak menyelesaikan masalah tersebut.
Ini kerana mengikut akta tersebut, pelaku yang disabitkan kesalahan membuang sampah secara haram boleh didenda antara RM10,000 hingga RM100,000, kalau di peringkat undang-undang PBT pula, denda RM1,000.
Tidak mengapa kalau tertawa dengan denda RM1,000. Bayangkan tapak pelupusan sampah haram yang dijaga atau dikawal oleh individu tertentu yang mengutip bayaran untuk setiap lori yang masuk sebagai contoh dekat Kampung Seri Sentosa apabila keluasan tapak tersebut menjangkau 52 hektar. Berapa dikutip dan berapa pula denda, untung? Bayar sahajalah!
Sebab itulah Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim kena ‘tembak’ sampai 23 kali dekat dalam Sidang DUN bulan lepas apabila isu sampah dibangkitkan ketika penggulungan beliau.
Dalam penggulungan sama juga beliau menyatakan komitmen kerajaan untuk meratifikasi Akta 672 bagi menyelesaikan isu tapak pelupusan sampah haram kerana dendanya sampai RM100,000 dan penjara sekurang-kurangnya lima tahun.
Cuma bila hendak ratifikasi itu belum tahulah, sebab tahun lepas Menteri Besar kata rundingan akan dimuktamadkan seawal akhir tahun lalu atau awal tahun ini. Exco pula cakap, ia masih di peringkat rundingan.
Tidak mengapalah, kalau itu langkah-langkah penguatkuasaan undang-undang yang hendak diambil oleh kerajaan negeri, yang penting rakyat hendak tahu keberkesanannya terhadap isu tapak pelupusan sampah haram.
Kerana tapak yang ada di negeri ini bukan ‘kecil-kecil alang’, semua ‘makan hektar’ sampai ada pemilik tanah yang geleng kepala sebab tanahnya ‘hilang’ dilitupi sampah haram seperti berlaku di Bukit Kapar.
Yang penting, setiap penahanan, pendakwaan dan jatuh hukum mesti ditunjukkan dalam penguatkuasaan Akta 672 terhadap pihak yang melupus sampah secara haram sehingga lebarnya lebih separuh keluasan Istana Negara seperti di Kampung Seri Sentosa, Ijok.
Kemudian, barulah kita bercakap soal ESG, SDG dan ZDP dan memberi pemahamannya, kepentingannya kepada rakyat. Sabarlah dahulu kalau raya nanti masih bau sampah. – UTUSAN
PENULIS ialah koresponden Utusan Malaysia Selangor.










