Dasar Inovasi Sosial ubah sosioekonomi komuniti setempat

Dasar Inovasi Sosial ubah sosioekonomi komuniti setempat

DASAR Inovasi Sosial (DIS) 2025-2030 serta inisiatif program Ruang Daya Cipta (RDC) membawa harapan besar dalam memperkasa masyarakat dan membangun ekonomi negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INOVASI sosial menjadi elemen penting dalam menangani pelbagai cabaran sosioekonomi dihadapi masyarakat moden. Ia bukan sekadar penyelesaian baharu yang lebih berkesan dan efisien, tetapi juga satu pendekatan holistik dalam membangunkan kesejahteraan sosial secara menyeluruh.

Kerajaan melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memperkenalkan Dasar Inovasi Sosial (DIS) 2025-2030 yang dilancarkan pada Disember tahun lalu sebagai komitmen dalam memperkasakan masyarakat dengan penyelesaian inovatif. Ia dapat meningkatkan taraf hidup dan merapatkan jurang ketidaksamaan.

Dasar ini menekankan pentingnya inovasi sosial dalam pembangunan negara, dengan objektif utama untuk mengurangkan ketidaksamaan sosial, meningkatkan kualiti hidup masyarakat serta memperkasakan komuniti melalui penerapan Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE).

Pendekatan ini terbukti berjaya di pelbagai negara. Di India misalnya, Yayasan Inovasi Nasional (NIF) menjadi pemacu inovasi sosial dengan mengenal pasti, mendokumentasikan dan mempromosikan idea-idea inovatif dari masyarakat luar bandar.

Inisiatif akar umbi setempat yang dicipta petani, tukang dan pengusaha kecil seperti mesin pemotong rumput berkuasa tangan yang murah serta penapis air kos rendah di Gujarat dan Rajasthan memberi manfaat yang besar kepada golongan miskin dan komuniti terpinggir di sana.

Di Malaysia, pendekatan inovasi sosial diterapkan dalam pelbagai bentuk, termasuk program keusahawanan sosial, pendidikan vokasional serta teknologi untuk luar bandar, cuma ia tidak diinstitusikan dengan dasar yang lengkap dan komprehensif.

Justeru, melalui DIS 2025-2030, kerajaan berusaha mengukuhkan lagi pendekatan ini dengan memberi penekanan kepada pembangunan teknologi akar umbi, pemerkasaan usahawan sosial dan penyelidikan yang berorientasikan impak masyarakat.

Antara teras utama DIS 2025-2030 adalah memperluaskan akses kepada teknologi inovatif, memperkasakan individu dan komuniti dengan kemahiran baharu serta membangunkan ekosistem yang menyokong inovasi sosial secara menyeluruh.

Konsep ini melibatkan proses, perkhidmatan dan model yang bertujuan untuk menangani isu-isu seperti kemiskinan, pendidikan, kesihatan dan persekitaran dengan cara yang lebih berdaya tahan dan lestari.

Melalui inovasi sosial, komuniti bukan sahaja dibantu untuk keluar dari kancah kemiskinan tetapi diberikan peluang untuk berkembang dan berdikari.

Dalam usaha merealisasikan matlamat DIS, program Ruang Daya Cipta (RDC) diperkenalkan sebagai inisiatif yang berfungsi sebagai hab inovasi dan teknologi bagi masyarakat akar umbi.

RDC diperkenalkan untuk menyediakan ruang bagi komuniti setempat mengembangkan idea dan kemahiran mereka.

Program ini bukan sahaja menyediakan infrastruktur dan teknologi yang diperlukan, tetapi juga menawarkan latihan, sokongan teknikal serta peluang pengkomersialan bagi produk inovasi yang dihasilkan oleh komuniti.

RDC berfungsi sebagai platform untuk belia B40 dan M40, sama ada yang mempunyai kemahiran atau tidak untuk mempelajari dan membangunkan inovasi melalui pendekatan pembelajaran secara langsung serta pemikiran reka bentuk.

RDC dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti pencetak 3D, teknologi robotik, sudut seni dan kraf serta studio mini bagi membantu peserta mengembangkan kreativiti mereka.

Objektif utamanya bagi membolehkan komuniti menjana pendapatan melalui inovasi, meningkatkan kemahiran digital dan teknikal serta merapatkan jurang sosioekonomi melalui pendidikan selain teknologi.

Selain itu, RDC juga memanfaatkan model ‘lingkaran pelbagai pihak’ iaitu kolaborasi antara akademia, agensi kerajaan, penyelidik dan masyarakat sivil bagi memastikan inovasi yang dibangunkan mempunyai impak lestari.

Sebanyak 20 RDC diwujudkan di seluruh negara dan terkini, RDC Lahad Datu bakal dilancarkan pada Ahad ini, menjadikan ia RDC keempat di Sabah selepas RDC Universiti Malaysia Sabah (UMS), Keningau dan Sandakan.

RDC Lahad Datu dikenal pasti sebagai lokasi strategik kerana potensinya dalam sektor pertanian, perikanan, dan keusahawanan sosial yang akan membawa pelbagai manfaat dan transformasi besar kepada warganya .

Salah satu bidang utama yang boleh dimajukan ialah teknologi pertanian pintar. Selain itu, teknologi ini juga dapat membantu mengurangkan kos operasi pertanian dan memastikan penggunaan sumber yang lebih lestari.

BINA PRODUK
Dengan kemahiran yang dipelajari, usahawan tempatan boleh memasarkan produk bukan sahaja di peringkat tempatan, malah antarabangsa melalui platform e-dagang dan pemasaran digital.

Industri kraf dan kreatif juga berpotensi untuk berkembang. Komuniti setempat terutamanya wanita dan belia boleh meneroka industri ini dengan menggunakan teknologi seperti pencetakan 3D serta reka bentuk digital untuk menghasilkan produk yang unik dan bernilai tinggi. Ini bukan sahaja membantu mengekalkan warisan budaya tempatan tetapi juga memberikan peluang pekerjaan baharu.

Selain itu, RDC juga menawarkan latihan dalam bidang kemahiran digital dan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), pengaturcaraan serta reka bentuk 3D. Ini membolehkan belia meningkatkan kebolehpasaran dalam industri teknologi yang semakin berkembang.

Dengan kemahiran ini, mereka boleh mencari peluang pekerjaan dalam bidang teknologi maklumat atau membangunkan produk digital mereka sendiri.

Sebagai kesimpulan, DIS 2025-2030 serta inisiatif RDC membawa harapan besar dalam memperkasa masyarakat dan membangun ekonomi negara. Melalui pendekatan inovatif yang menggabungkan STIE, RDC berupaya merapatkan jurang sosial dan mengurangkan ketidaksamaan melalui platform untuk masyarakat mengembangkan idea, meningkatkan kemahiran serta menjana pendapatan melalui inovasi.

Selain itu, RDC berperanan dalam meningkatkan kualiti hidup dengan menyediakan peluang pembelajaran, latihan kemahiran dan platform ekonomi di samping menjadi ‘langkah ke hadapan’ dalam memastikan komuniti luar bandar tidak ketinggalan dalam arus pemodenan dan digitalisasi.

Dengan sokongan berterusan daripada kerajaan, sektor swasta, institusi akademik dan masyarakat sivil, RDC mampu menjadi pemacu utama kepada perubahan sosial yang inklusif dan mampan.

Dalam jangka panjang, inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh daya saing negara dalam era digital tetapi juga membentuk ekosistem inovasi yang mampu meningkatkan kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh.-UTUSAN

 

DATUK Mohammad Yusof Apdal ialah Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN