PERNAHKAH anda terperangkap dalam kesesakan di plaza tol lebuh raya hanya kerana pengguna terdahulu tidak mempunyai baki mencukupi dalam kad pembayaran, Touch ‘n Go mereka?
Tentunya pengalaman sebegini pernah dilalui setiap pemandu terutama mereka yang tinggal di Lembah Klang. Keadaan lebih memburukkan jika ada yang bersikap panas baran tidak sabar menghadapi situasi itu. Apatah lagi jika berlaku pelanggaran kenderaan akibat pemandu yang tidak sempat berhenti atau cuba melepasi tol tanpa membayar.
Sistem tol yang masih menggunakan palang mempunyai kekangan yang boleh menjejaskan kelancaran trafik. Walaupun sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) dan Touch ’n Go yang diguna pakai ketika ini mempercepatkan transaksi, pengguna masih perlu memastikan baki mencukupi.
Sistem berpalang memerlukan penyelenggaraan infrastruktur fizikal, termasuk palang tol, lorong khas dan peralatan pembayaran. Kos tenaga kerja juga tinggi kerana masih perlu ada kakitangan untuk bantuan teknikal atau pembayaran manual.
Bagi mengatasi kebergantungan sepenuhnya kepada kaedah bayaran kad Touch n Go, kerajaan melalui Kementerian Kerja Raya (KKR) pada 2023 melakukan transformasi memperkenalkan Sistem Pembayaran Tol Terbuka (SPT) di beberapa lebuh raya terpilih bermula September 2023. Ini bermakna anda tidak lagi hanya tertakluk kepada satu atau dua e-dompet, tetapi boleh menerima kad kredit dan debit.
Bagaimanapun, banyak negara maju sudah pun beralih kepada projek Sistem Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) atau sistem tol tanpa palang yang lebih cekap dan mesra pengguna. Sistem ini telah digunakan di negara Singapura (Sistem ERP), Australia dan beberapa negara Eropah.
Malaysia juga sedang dalam proses peralihan ke sistem ini untuk dilaksanakan tahun ini dengan tujuan meningkatkan keselesaan pengguna lebuh raya.
MLFF kemudiannya merupakan agenda Pelan Pelaksanaan dalam Sistem Pengangkutan Pintar Negara (ITS) (2019-2023) yang diterbitkan pada 2019 bagi mengatasi isu kesesakan di plaza-plaza tol seluruh negara.
Cadangan pelaksanaan MLFF di Malaysia akan menggunakan gabungan teknologi RFID dan kamera pengesanan nombor plat automatik (ANPR) yang berupaya mengesan kenderaan beserta maklumat pengguna bagi tujuan pembayaran tol lebih lancar.
Pelaksanaannya memerlukan persiapan teknologi yang rapi serta penerimaan pengguna.
Reka bentuk lebuh raya baharu juga akan disesuaikan dengan teknologi yang telah bersedia untuk pelaksanaan sistem kutipan tol secara MLFF.
Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, pihaknya akan menyediakan Kertas Jemaah Menteri mengenai pelaksanaan projek itu selepas proses libat urus dengan agensi berkaitan selesai.
Pertengahan bulan lalu, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) memberikan enam syor kepada KKR dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berhubung pelaksanaan MLFF selepas PAC sendiri mengadakan mesyuarat sebanyak enam kali dalam tempoh mulai 26 Februari hingga 19 November 2024.
Jika mengikut saranan PAC, analisis kos faedah yang lebih terperinci perlu dilaksanakan sebelum MLFF beroperasi. PAC juga mesti melihat analisis kos Operasi dan Penyelenggaraan (O&M) untuk kesemua 33 syarikat konsesi lebuh raya di Malaysia yang dianggarkan bernilai hampir RM900 juta setahun.
Kutipan tol di semua 33 konsesi lebuhraya dianggarkan sejumlah RM7 billion setahun dan kos untuk O&M lebuh raya hanya meliputi sejumlah 12.86 peratus (RM900 juta).
Yang penting, sistem itu boleh beroperasi dengan lancar terutama dari sudut pengurusan teknologi.
KAJIAN MENYELURUH
Pensyarah Pengurusan Teknologi dan Organisasi, Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (UKM-GSB), Dr. Mazzlida Mat Deli berpendapat, sebelum dilaksanakan sepenuhnya, sistem MLFF perlu dikendalikan dengan teliti dan berfungsi secara efisien tanpa gangguan untuk memastikan ia kekal relevan dan benar-benar berkesan dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas.
Penyelenggaraan berkala terhadap peralatan sensor, kamera pengimbas dan sistem pengesanan nombor plat adalah penting bagi mengelakkan ralat teknikal yang boleh mengganggu kelancaran tol.
“Integrasi sistem pembayaran yang lebih menyeluruh perlu dilaksanakan bagi memastikan pengguna mempunyai akses yang lebih mudah kepada pelbagai pilihan bayaran tanpa sebarang gangguan,” katanya.
Aspek keselamatan data dan privasi pengguna juga perlu diberi perhatian. Mazzlida berkata, sistem ini mengumpulkan data pergerakan kenderaan secara besar-besaran dan pengurusan yang cekap diperlukan untuk mengelakkan kebocoran maklumat atau penyalahgunaan data.
Penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat terhadap pengguna yang gagal membayar tol juga perlu dilakukan. Ini seperti mekanisme pemotongan automatik dari akaun berdaftar atau penalti bagi mereka yang sengaja mengelak pembayaran.
Presiden Institut Logistik dan Pengangkutan Berkanun Malaysia (CILTM), Profesor Dr. Muhammad Zaly Shah Muhammad Hussein berpendapat, ujian yang jitu terhadap sistem MLFF mesti dilakukan dengan mengambil kira semua kondisi trafik, isipadu kenderaan, kepelbagaian cuaca dan tingkah laku pemandu.
Tanpa ujian-ujian ini, sistem MLFF ini boleh menimbulkan masalah baharu seperti ketirisan perolehan atau pendapatan apabila sistem MLFF tidak dapat mengesan sistem pembayaran dalam kenderaan.
“Aspek perundangan juga perlu dilihat, apakah MLFF boleh menggunakan akta sedia ada untuk pemandu yang tidak membayar, atau perlu ada peruntukan undang-undang baharu,” katanya.
Dengan perancangan yang teliti, pemantauan berkala dan peningkatan sistem secara berterusan, MLFF mampu menjadi penyelesaian utama dalam menangani kesesakan lalu lintas dan meningkatkan pengalaman perjalanan di lebuh raya negara.
Namun, sistem pembayaran terbuka yang diamalkan ketika ini perlu dipastikan semua lorong di plaza tol boleh menerima semua bentuk bayaran yang disediakan, tiada lagi lorong khusus untuk Touch N Go, SmartTag atau RFID. Satu lorong, all-payment.
Selagi ada lorong khas bagi kaedah pembayaran tertentu, selagi itulah masalah kesesakan di plaza tol tidak akan selesai.
Jadi, sudah tiba masa MLFF ini disegerakan di ketika negara lain sudah jauh ke depan. Malaysia perlu bersedia dan tidak boleh lagi ketinggalan. – UTUSAN
PENULIS ialah koresponden Utusan Malaysia Putrajaya.










