KERAJAAN Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus menunjukkan komitmen kukuh dalam memperjuangkan kesejahteraan rakyat, khususnya golongan pekerja estet.
Majlis Pecah Tanah bagi Projek Program Residensi Rakyat (PRR) Harmoni Madani Bestari Jaya, Selangor yang berlangsung pada 15 Februari lalu merupakan bukti nyata usaha kerajaan dalam memastikan pekerja estet memperoleh kediaman yang selesa dan berkualiti.
PRR itu adalah projek kerjasama antara Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kerajaan Selangor, Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) sebagai agensi pelaksana dan Syarikat Berjaya Corporation Berhad (BCB).
Kos pembangunan keseluruhan berjumlah RM75 juta yang membabitkan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM40 juta dan Kerajaan Negeri Selangor sebanyak RM35 juta. Ia dijangka disiapkan dalam tempoh selama 24 bulan dengan kos seunit rumah dianggarkan RM300,000 dan akan dijual pada harga RM45,000 sahaja.
Pembinaan PRR Harmoni Madani Bestari Jaya ini membuktikan jalinan kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan syarikat swasta dalam usaha menyediakan kediaman selesa dan mampu milik khususnya kepada golongan rakyat yang berpendapatan rendah.
Projek ini menyelesaikan isu perumahan pekerja ladang yang telah berlarutan selama 27 tahun, dengan BCB yang diwakili oleh Pengasasnya, Tan Sri Vincent Tan, menyerahkan tapak tanah berkeluasan 20 ekar di Ladang Sungai Tinggi secara percuma untuk pembangunan perumahan.
Projek ini melibatkan pembinaan rumah teres berkeluasan 1,200 kaki persegi dilengkapi tiga bilik dan dua bilik air yang dijangka memberi manfaat kepada 1,250 penduduk, termasuk 245 keluarga pekerja ladang dari Ladang Mary, Ladang Nigel Gardner, Ladang Bukit Tagar, Ladang Sungai Tinggi dan Ladang Minyak.
Memainkan peranan penting dalam pelaksanaan PRR Harmoni Madani Bestari Jaya ini ialah KPKT di bawah pimpinan Menterinya, Nga Kor Ming, yang merancang dan merealisasikan projek ini.
Hal ini disebut khas oleh Perdana Menteri ketika berucap pada majlis itu dengan berkata: “Projek ini mengambil masa agak panjang untuk dijayakan sehingga Kor Ming berjaya berunding dengan Vincent yang bersetuju menyerahkan sebahagian tanah untuk projek ini. Kor Ming ambil inisiatif runding dengan pihak estet, majlis perbandaran, kerajaan negeri dan bawa kepada Jemaah Menteri sebelum kita putuskan beri peruntukan bagi tujuan pembangunan PRR tersebut.”
Turut memberikan kerjasama ialah Kerajaan Negeri Selangor, melalui Exco Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor, Datuk Borhan Aman Shah, yang menyediakan peruntukan RM35 juta dan sokongan bagi memastikan projek berjalan lancar.
Dalam usaha mempercepat pembangunan projek berkaitan rakyat, Perdana Menteri menekankan kepentingan mempercepatkan proses kelulusan Kebenaran Merancang (KM) bagi mengelakkan pertambahan kos sekiranya tertangguh terlalu lama.
Dalam hal ini, beliau memuji tindakan proaktif Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) yang menyegerakan proses kelulusan KM bagi projek ini dan mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) lain turut mengambil pendekatan sama untuk kesejahteraan rakyat.
“Terima kasih MPKS percepatkan KM, bila semua dah setuju, nak tangguh kenapa? Kalau semuanya mengikut aturan, jangan lengahkan sebab kalau tangguh akan ada kos tambahan. Itu boleh merugikan rakyat dan kerajaan,” kata beliau.
Perdana Menteri menegaskan PBT perlu menyegerakan projek tersebut bagi mengelakkan kelewatan dalam urusan kelulusan projek baharu yang akan memberi kesan kepada rakyat.
Beliau memberikan contoh di Kuala Lumpur, di mana beliau menetapkan tempoh 40 hari bagi kelulusan setiap projek yang dijalankan untuk memastikan tiada penangguhan yang boleh menyebabkan kos tambahan dan membebankan rakyat.
“Saya bagi contoh di Kuala Lumpur, saya bagi masa 40 hari, saya mahu setiap projek yang dijalankan perlu mengikut jadual yang telah ditetapkan. Saya tidak mahu penangguhan projek kerana dikhuatiri akan melibatkan kos tambahan dan ini akan membebankan rakyat,” ujar beliau.
JADIKAN CONTOH
Sesungguhnya PRR Harmoni Madani Bestari Jaya ini bukan sekadar projek perumahan biasa, tetapi juga menjadi contoh kepada inisiatif kerajaan dalam menyelesaikan isu perumahan pekerja estet yang telah berlarutan sekian lama.
Seperti diharapkan oleh Perdana Menteri, projek ini sepatutnya boleh menjadi pemangkin kepada lebih banyak pembangunan perumahan mampu milik bagi pekerja estet di seluruh negara jika kerjasama erat terus terjalin antara kerajaan, sektor swasta dan rakyat dalam memastikan pelaksanaan yang lancar dan mengikut jadual.
Model pembangunan ini diharap dapat diteruskan di kawasan lain bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terbela selaras dengan aspirasi Malaysia Madani. Dengan penekanan kepada keperluan pengurusan yang bersih dan cekap bagi mengelakkan pembaziran serta penyalahgunaan dana, model ini pasti akan berjaya.
Secara keseluruhannya, projek ini mencerminkan keberkesanan model kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta dalam menangani isu perumahan yang sudah lama tertangguh. Dengan harga jualan rumah yang jauh lebih rendah berbanding kos sebenar pembinaan, inisiatif ini membuktikan kerajaan mampu menawarkan penyelesaian perumahan yang adil dan berdaya maju.
Komitmen Perdana Menteri dalam memenuhi janji kepada kaum India, khususnya golongan pekerja estet, terbukti melalui pelaksanaan projek ini. Langkah ini bukan hanya memastikan golongan berkenaan mendapat tempat tinggal yang selesa, tetapi juga menjadi bukti kesungguhan kerajaan dalam memperluaskan pembangunan perumahan rakyat di seluruh negara.
Dengan model pembangunan yang inklusif seperti ini, Kerajaan Perpaduan jelas menunjukkan kebajikan kaum India tidak dipinggirkan, malah diberi perhatian serius demi kesejahteraan jangka panjang mereka.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Mashitah Mohd. Udin ialah Pengarah Program Peningkatan Eksekutif Ghazali Shafie (GSEEP) di Pusat Pengajian Siswazah Kerajaan Ghazali Shafie (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM).










