Kuasai kecerdasan buatan, bantu urus organisasi lebih berkesan

Kuasai kecerdasan buatan, bantu urus organisasi lebih berkesan

PENTADBIR, baik dalam sektor pendidikan, kerajaan, atau sektor swasta, juga perlu menyedari akan kepentingan AI dan perlu mendalami ilmu ini agar dapat menguruskan organisasi dengan lebih berkesan dan efisien.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM dunia yang semakin berpusatkan teknologi, kecerdasan buatan (AI) bukan lagi satu bidang yang hanya perlu difahami oleh ahli teknologi atau pengaturcara sahaja.

Malahan pentadbir, baik dalam sektor pendidikan, kerajaan, atau sektor swasta, juga perlu menyedari akan kepentingan AI dan perlu mendalami ilmu ini agar dapat menguruskan organisasi dengan lebih berkesan dan efisien.

AI bukan sekadar mengenai automasi atau robot, tetapi ia menawarkan peluang besar untuk meningkatkan kecekapan pengurusan, mempercepatkan keputusan strategik, dan menjadikan pentadbiran lebih responsif kepada perubahan.

Di tengah-tengah perkembangan teknologi yang pesat, pentadbir yang tidak menguasai pengetahuan asas mengenai AI mungkin akan ketinggalan, berisiko kehilangan kelebihan daya saing dalam pengurusan dan akan berada dalam dunia sendiri serta tidak seiring dengan teknologi semasa.

Oleh itu, memahami AI dan bagaimana cara ia berfungsi menjadi kunci utama dalam memastikan organisasi terus kekal relevan dan berdaya saing bukan sahaja di peringkat nasional malahan peringkat antarabangsa.

KEPENTINGAN AI
Pertama: Melalui AI juga dapat mampu membantu pentadbir membuat keputusan yang lebih cepat dan tepat melalui analisis data yang lebih mendalam dan terperinci seiring dengan keperluan tugasan. Sebagai contoh, dalam sektor pendidikan tinggi negara, AI dapat digunakan untuk menganalisis prestasi pelajar secara masa nyata, membantu pentadbir membuat keputusan yang lebih tepat dalam hal pengurusan tadbir urus mencakupi sumber daya manusia.

Kedua: Kompleksiti tugas pentadbiran yang bersifat berulang dan rutin, seperti pengurusan data, pengolahan borang, atau jadual, yang boleh diautomasi menggunakan AI. Ini membolehkan pentadbir dapat memberi tumpuan kepada kerja-kerja yang lebih berfokus kepada strategik, merancang inisiatif baharu atau menangani masalah yang lebih kompleks.

Ketiga: Meningkatkan pengalaman pelanggan atau stakeholder yang mana dalam era globalisasi yang semakin bergantung kepada teknologi terkini, pelanggan atau pemegang taruh akan sentiasa mengharapkan kualiti kerja serta produktiviti kerja sentiasa berada pada tahap yang memuaskan.

AI boleh membantu pentadbir dalam menyediakan perkhidmatan yang lebih baik, terutamanya melalui sistem sokongan pelanggan berasaskan chatbot yang boleh menjawab pertanyaan 24 jam sehari atau sistem penilaian yang menggunakan AI untuk memahami keperluan pelanggan secara lebih mendalam dan memastikan kepuasan pelanggan terhadap perkhidmatan yang ditawarkan.

CABARAN PENTADBIR DALAMI ILMU BAHARU DALAM PROGRAM AI
Penerapan AI merupakan aspek yang perlu diberikan perhatian yang sewajarnya, namun dengan kepakaran dan tahap pendidikan tinggi yang dimiliki pentadbir sudah pasti ia mampu diterapkan sebaik mungkin seiring dengan hala tuju kerajaan melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang menyasarkan lebih 21 strategi dan 62 pelan tindakan dalam mencapai NIMP 2030.

Dalam penggunaan AI juga, pelbagai perkara yang perlu diberikan perhatian yang sewajarnya terutamanya melibatkan data peribadi. Justeru, sebagai seorang pentadbir, ia perlu berhati-hati dalam memastikan bahawa teknologi ini digunakan secara beretika selain mematuhi segala Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709).

Isu privasi data dan potensi penyalahgunaan teknologi AI boleh memberi kesan buruk kepada organisasi jika tidak dikendalikan dengan betul. Pentadbir perlu memastikan dasar yang jelas mengenai pengumpulan, penggunaan, dan perlindungan data.

LANGKAH-LANGKAH UNTUK MEMASTIKAN PENTADBIR SEDIA MENGHADAPI AI
Pertama: Pentadbir perlu diberi latihan asas tentang konsep dan aplikasi AI. Kursus-kursus dalam talian dan seminar AI boleh memberi pemahaman yang lebih baik mengenai bagaimana teknologi ini berfungsi dan bagaimana ia boleh diterapkan dalam organisasi. Sumber seperti Coursera, edX, dan Udemy menawarkan kursus berkualiti mengenai AI yang boleh dimanfaatkan oleh pentadbir.

Kedua: Pentadbir yang tidak mempunyai latar belakang teknikal dalam AI boleh bekerjasama dengan pakar AI atau pengembang untuk mendapatkan pandangan yang lebih mendalam tentang bagaimana teknologi ini boleh digunakan untuk kepentingan organisasi. Kerjasama ini juga boleh membantu dalam merancang dan melaksanakan projek-projek AI dengan lebih berkesan.

Ketiga: Pentadbir perlu mengembangkan dasar dan protokol yang jelas tentang penggunaan AI dalam organisasi. Ini termasuk garis panduan tentang bagaimana data dikumpul dan digunakan, serta langkah-langkah yang diambil untuk memastikan teknologi digunakan secara beretika dan selamat.

Keempat: Penerapan AI tidak perlu dilakukan secara besar-besaran dari awal. Pentadbir boleh memulakan dengan aplikasi AI yang lebih kecil dan mudah, seperti sistem automasi atau perkhidmatan chatbot, sebelum berkembang kepada aplikasi yang lebih kompleks seperti analisis data besar atau pembelajaran mesin (machine learning). Ini akan memudahkan proses adaptasi dalam organisasi.

Kecerdasan buatan (AI) sudah menjadi satu keperluan dalam dunia pentadbiran moden.

Pentadbir yang memandang remeh perkembangan teknologi ini mungkin akan ketinggalan dalam menghadapi cabaran dan peluang yang dibawa oleh AI.

Oleh itu, adalah sangat penting bagi pentadbir untuk mempersiapkan diri dengan mendalami ilmu baharu ini agar mereka dapat menguruskan organisasi dengan lebih cekap, berkesan, dan bertanggungjawab.

Melalui penerapan AI yang bijak, pentadbir tidak hanya dapat mempercepatkan proses keputusan tetapi juga meningkatkan mutu perkhidmatan dan kualiti hidup masyarakat secara keseluruhannya.- UTUSAN

MUHAMAD Azuan Mohamad Nasir ialah Pengarah Pusat Komunikasi Korporat, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN