DIANGGARKAN sekitar 900 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di Johor tidak menduduki peperiksaan tersebut yang berakhir minggu lalu, menurut Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor.
Di peringkat Persekutuan pula, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pada bulan lalu melaporkan sekitar 10,000 pelajar tidak menghadiri peperiksaan penting itu.
Di manakah silapnya sehingga peperiksaan SPM tidak lagi dianggap penting oleh sebilangan pelajar di negara ini yang mendaftar untuk menduduki peperiksaan tersebut? Hal ini sudah tentu amat membimbangkan kerana tanpa ilmu pengetahuan, manusia akan mudah hanyut, tertipu, diperkotak-katikkan dan diperalatkan oleh mereka yang berkepentingan.
Kalau bercakap, hanya ibaratnya tin kosong. Kita bukan sahaja tidak dihormati, malah hujah yang tidak berasas akan memakan diri sendiri. Jaras dikatakan raga jarang.
Bayangkan, jika dahulu, nenek moyang bermati-matian berjuang supaya seluruh anak bangsa mendapat peluang menuntut ilmu ke peringkat yang lebih tinggi, namun hari ini ada di antara kita memilih untuk tidak menduduki peperiksaan SPM.
Begitu mudahnya mempersia-siakan segala usaha dan jerih perih perjuangan mereka yang mahu melihat nasib kita terbela. Kini kita lebih tertarik untuk mendapatkan kekayaan secara mudah dalam hanya sekelip mata.
Amat menyedihkan apabila peluang menyambung pelajaran yang luas terbuka di depan mata di sia-siakan hanya dengan alasan-alasan dengkel seperti tidak lagi berminat untuk belajar. Lebih teruk lagi, ada yang berpendapat menyambung pelajaran itu ialah satu kerugian, dengan alasan hanya akan membazirkan wang ringgit dan masa.
Ramai di antara mereka lebih tertarik untuk menyertai ekonomi gig yang dianggap dapat menghasilkan pendapatan lumayan dan pada masa sama memberikan kebebasan mengatur jadual kerja berdasarkan kesesuaian masa mereka.
Di Johor, tarikan untuk bekerja di Singapura menjadi antara punca masalah ini. Dengan kadar mata wang Singapura yang tinggi, mereka boleh menikmati pendapatan lebih besar tanpa memerlukan sijil SPM. Ini kerana dalam sesetengah sektor pekerjaan, sijil SPM tidak diperlukan sebagai syarat kelayakan untuk diterima bekerja.
Hal ini membawa kepada persoalan sama ada ibu bapa mereka maklum akan keputusan yang dibuat oleh pelajar tersebut untuk tidak menduduki peperiksaan SPM? Seterusnya pula, adakah keputusan pelajar tersebut direstui dan disokong ibu bapa?
Hal ini memandangkan tindakan untuk tidak menduduki peperiksaan SPM bukanlah satu pilihan yang bijak dan ia harus dielakkan demi kebaikan mereka dan masa hadapan keluarga. Ilmu tidak dapat dibeli dengan wang ringgit dan harta benda.
Negara memerlukan rakyat yang berilmu supaya mampu bersaing di pentas dunia. Kita memerlukan tenaga kerja mahir dan berkebolehan di pelbagai bidang untuk memacu kemajuan negara. Biduk kalau tidak berkemudi, bagaimana ia akan laju?
Bagi remaja yang mengambil keputusan untuk tidak menduduki peperiksaan SPM, peluang masih ada untuk mereka memperbetulkan keadaan walaupun tidak lagi berada di bangku sekolah. Mungkin ia dirasakan lebih sukar tetapi di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
Ibu bapa harus memainkan peranan masing-masing bagi memberi kesedaran tentang kepentingan menuntut ilmu kepada anak-anak mereka. Anak-anak juga harus dipantau dan dibimbing agar tidak leka atau terlibat dalam aktiviti yang tidak sihat serta melalaikan.
Kesedaran tentang kepentingan dan kemuliaan ilmu harus disemai dan disemarakkan dalam segenap lapisan masyarakat. Ibu bapa yang berilmu juga akan dapat membantu anak-anak mereka untuk belajar dengan lebih baik.
Hubungan keluarga yang baik serta nasihat dan bimbingan berterusan daripada ibu bapa penting bagi memastikan remaja tidak melakukan tindakan yang tidak wajar seperti ponteng sekolah di luar pengetahuan ibu bapa mereka.
Pengaruh persekitaran turut memainkan peranan penting dalam pembentukan sahsiah diri remaja. Maka, pergaulan dalam lingkungan yang sihat akan memberikan kesan yang baik serta menghindari mereka daripada terjebak ke dalam hal-hal yang bermasalah.
Kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan, insentif dan bantuan agar pelajar bukan sahaja dapat menghabiskan pendidikan menengah, malah menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Bagi yang kurang berminat untuk mendalami bidang akademik, mereka boleh menerokai bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Kita semua harus sedar pendidikan itu amat penting untuk membimbing seseorang menjadi insan cemerlang secara holistik dan bukannya semata-mata sebagai syarat untuk mendapatkan pendapatan yang lumayan.
Kealpaan tentang hal ini menyebabkan ada dalam kalangan kita yang tidak lagi berminat untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dengan alasan segulung ijazah tidak lagi dapat menjanjikan kerjaya yang baik serta gaji lumayan.

AI AMBIL ALIH PERANAN MANUSIA
Berada di zaman teknologi kecerdasan buatan (AI) yang berkembang pesat, kita terdedah kepada saingan dalam daripada AI di pasaran kerja. Kita semua sedar AI boleh dikawal selia dengan kos yang lebih murah daripada menggaji manusia. Maka, untuk mengalahkan AI, kita harus mengatasi kebolehan teknologi itu.
Kalau dahulu banyak pekerjaan yang asalnya dilakukan oleh manusia telah digantikan dengan penggunaan mesin yang lebih cekap, kini dengan lahirnya teknologi AI, saingannya menjadi bertambah sengit.
Maka, kita harus menjadi lebih bijak dan kreatif serta mempunyai daya saing yang tinggi. Kalau dahulu cuma bersaing sesama kita, kini dalam dunia tanpa sempadan, pentas saingan kita ialah dunia.
Untuk berjaya dan dihormati, kita harus berilmu, bersikap inovatif dan terbuka untuk mempelajari sesuatu yang baharu. Menyauk kering-kering, membeli habis-habis. Jauhari juga yang mengenal manikam.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










