Jadikan madrasah Ramadanbulan didik jiwa menjadi bersih

Jadikan madrasah Ramadan bulan didik jiwa menjadi bersih

BANYAKKAN ibadah sepanjang sebulan Ramadan untuk pembersihan jiwa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TINGGAL beberapa hari sahaja lagi kita akan memasuki ‘madrasah Ramadan’. Ia adalah bulan umat Islam melaksanakan kewajipan berpuasa seperti yang diperintahkan dalam surah Al-Baqarah, ayat 183 yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa”.

Dalam Rukun Islam, ibadah puasa menjadi salah satu daripada lima ‘binaan’ Islam seperti yang dinyatakan Rasulullah SAW yang bermaksud: “Dibina Islam atas lima perkara: Persaksian bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu Rasul Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, haji dan puasa pada bulan Ramadan” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Bulan ini digelar sebagai ‘madrasah’ kerana sepanjang bulan ini umat Islam dididik jiwa (rohani) dan kehidupan sosialnya dengan amalan-amalan mulia supaya menjadi insan soleh yang tinggi takwanya.

Sebagai ‘madrasah’, ia mempunyai kurikulum dan kokurikulumnya sendiri. Ibadah puasa itu sendiri menjadi teras kurikulumnya, manakala pelbagai ibadah sunat, termasuk amalan- amalan kebajikan yang dilakukan dalam bulan ini dianggap sebagai kokurikulumnya.

Melalui kurikulum dan kokurikulum Ramadan inilah maka puasa mampu mendidik jasmani, rohani, emosi dan intelek menjadi insan yang terbaik.

Abdul Malik Karim Amrullah (Hamka) menyebut ibadah puasa mampu mengetuk hati, iman, akidah serta dapat menyatukan akal, perasaan, jiwa dan sanubari. Yang penting ia mestilah dilaksanakan dengan penuh keimanan dan keikhlasan.

Didikan jiwa dapat difahami daripada penghayatan terhadap ibadah puasa yang menekankan kawalan dan didikan terhadap nafsu yang cenderung kepada makan atau minum, hubungan kelamin dan pelbagai lagi.

Ini bertepatan dengan pengertian puasa itu sendiri, iaitu menahan diri daripada makan dan minum serta menahan diri daripada segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa mulai terbit fajar hinggalah terbenam matahari.

Dalam melaksanakan ibadah puasa seseorang itu akan melakukan tazkiah al-nafs, iaitu pembersihan jiwa (hati) dari sifat-sifat mazmumah atau sifat-sifat yang buruk (keji).

Tujuannya adalah untuk mencapai darjat takwa. Oleh sebab itulah, dalam bulan puasa, kita bukan sahaja disuruh melaksanakan kewajipan berpuasa tetapi juga memperbanyakkan pelbagai ibadah sunat seperti solat tarawih, solat witir, membaca al-Quran, iktikaf masjid (10 malam terakhir Ramadan), bersedekah, memberi orang makan dan pelbagai amalan lain.

Untuk mencapai objektif utama ‘madrasah Ramadan’, ia mesti dilakukan secara ikhlas dan penuh disiplin dengan mematuhi peraturan-peraturan berkaitan ibadah puasa supaya memperoleh sifat-sifat mahmudah (sifat-sifat yang baik).
Objektif besar ini dapat dicapai sekiranya kita berusaha sedaya upaya melalui al-mujahadah, atau bersungguh-sungguh melawan hawa nafsu.

PUASA YANG SIA-SIA
Perkara batin yang menjejaskan atau membatalkan puasa harus dijaga, bukan sekadar perkara zahir.

Rasulullah pernah ditanya, “Apakah yang menyebabkan puasa itu menjadi sia-sia?” Lalu baginda menjawab, “bercakap dusta dan mengumpat”.

Ketika melalui proses mujahadah inilah akan berlakunya proses pembersihan diri (takhali) iaitu sifat-sifat keji yang ada dalam hati dibuang dan diisikan dengan sifat-sifat mahmudah. Cara ini akan membawa kita mencapai sifat takwa. Apabila jiwa mencapai atau memiliki sifat takwa maka kita akan sentiasa ingat dan takut (khauf) terhadap balasan akhirat dan pengadilan Ilahi di Padang Mahsyar kelak.

Dari sudut sosialnya, ibadah puasa dapat membentuk menjadi insan yang peka dan prihatin terhadap masyarakat sekeliling. Penghayatan yang betul akan membawa kepada didikan jiwa yang baik menyebabkan kita mengetepikan sifat individualistik dan keduniaan dalam diri.

Kedua-dua sifat buruk itu boleh mendorong kita mengidap penyakit rohani seperti iri hati, hasad, dendam, suka memfitnah, mengadu domba dan permusuhan sesama sendiri.

Ketika berpuasa, semua kehendak nafsu akan terkawal dan akal menjadi lebih rasional. Jika ini dapat dirasai maka secara tidak langsung ia akan dapat mengikis rasa ‘keakuan’ dan keangkuhan diri, sebaliknya akan menyubur rasa kasih sayang dan belas ehsan terhadap orang yang kurang bernasib baik. Orang miskin akan mendapat perhatian dengan pelbagai bantuan dihulurkan oleh mereka yang berkemampuan.

Kesannya akan wujudlah hubungan harmonis antara golongan kaya dan golongan miskin, sekali gus menolak fahaman marxisme yang mengatakan golongan kaya dan miskin akan selalu bertentangan (bermusuhan) antara satu sama lain.

Setiap tahun dunia Islam menyaksikan Ramadan sebagai bulan amalan sedekah, infak dan zakat fitrah, terutamanya dalam kalangan mereka yang berada, malah orang yang kurang berada pun akan berlumba-lumba membantu orang lain.

Hakikatnya, melalui ibadah puasa, Islam mendidik mendidik orang yang berkemampuan dengan sifat kemurahan dan dermawanan, manakala orang miskin pula tidak berasa iri hati terhadap orang berada. Sifat dermawan itu juga dapat memupuk persaudaraan dan perpaduan sesama umat Islam.

Persaudaran yang terjejas dapat dipereratkan kembali melalui amalan mulia ini. Islam mengajarkan untuk mencapai hakikat persaudaraan Islam maka hendaklah menjauhi sifat berburuk sangka, kebencian, permusuhan, hasad dengki, iri hati, mencaci, mengata nista serta sifat marah dan dendam. Justeru, ibadah puasa yang sempurna akan memberi kesan kepada kehidupan orang mukmin dengan perlakuan, tata hidup yang penuh kesopanan, kesusilaan, kebijaksanaan serta amalan-amalan kebajikan yang memberi manfataat kepada orang lain dan masyarakat sekeliling.

Maknanya, ibadah puasa yang dilaksanakan dengan penuh keimanan, keikhlasan dan penghayatan akan dapat menjadikan diri ini sebagai hambaNya yang soleh, akhlak yang mulia sekali gus membawa kita hidup bermasyarakat secara harmoni, tenang serta tenteram.

Kesimpulannya, ‘madrasah Ramadan’ yang dilalui dengan sempurna mampu membawa umat Islam mencapai islah al-basyar atau transformasi kemanusiaan zahir dan batin, seterusnya membawa hati orang beriman itu kepada muraqabah atau mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Yang penting, ibadah puasa itu mesti dilaksanakan dengan penuh keimanan, keikhlasan dan penuh penghayatan.-UTUSAN

PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×