INDUSTRI padi dan beras merupakan salah satu sektor strategik dalam memastikan keselamatan makanan negara. Malaysia, sebagai sebuah negara yang masih bergantung kepada import untuk memenuhi keperluan beras domestik, telah lama menyediakan pelbagai bentuk subsidi bagi menyokong pesawah dan industri padi tempatan.
Salah satu langkah utama kerajaan dalam mengawal kestabilan industri ini ialah dengan menetapkan harga lantai belian padi sebanyak RM1,500 per metrik tan (MT). Namun, apabila dibandingkan dengan anggaran subsidi yang diberikan kerajaan, yang berjumlah antara RM2,740 hingga RM4,825 per MT, timbul persoalan sama ada dasar ini benar-benar memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat atau sekadar menyelamatkan industri daripada ‘jatuh’.
Harga lantai RM1,500 per MT bertujuan untuk menjamin pendapatan minimum pesawah agar mereka tidak mengalami kerugian akibat turun naik harga pasaran. Namun, realiti di lapangan menunjukkan kos pengeluaran sebenar bagi setiap MT padi boleh mencecah antara RM1,080 hingga RM3,250, bergantung kepada pelbagai faktor seperti penggunaan teknologi, keadaan tanah dan akses kepada sumber air. Ini bermakna bagi sesetengah pesawah yang mempunyai kos pengeluaran rendah, harga lantai ini memberi keuntungan. Namun, bagi mereka yang menghadapi kos pengeluaran tinggi, harga lantai ini masih tidak mencukupi tanpa campur tangan kerajaan melalui subsidi.
Bagi memastikan industri padi terus berdaya saing dan pesawah tidak meninggalkan sektor ini, kerajaan terpaksa menyediakan subsidi dalam pelbagai bentuk merangkumi bantuan benih, baja, racun perosak, pengairan, mekanisasi, insentif harga padi, skim insurans, bantuan musim tengkujuh serta subsidi kepada kilang penggilingan dan pengedaran beras. Semua ini menjadikan jumlah subsidi yang ditanggung kerajaan jauh lebih tinggi berbanding harga lantai itu sendiri.
Subsidi kerajaan tidak hanya memberi manfaat kepada pesawah semata-mata, tetapi turut memberi kesan kepada keseluruhan rantaian bekalan industri padi dan beras di Malaysia. Setiap pihak yang terlibat dalam sektor ini menerima manfaat dalam pelbagai bentuk, bergantung kepada peranan mereka dalam ekosistem industri tersebut.
Dengan adanya subsidi ini, pesawah dapat mengurangkan kos operasi dan meningkatkan hasil tanaman mereka. Selain itu, pengusaha sawah juga mendapat manfaat melalui skim insurans dan subsidi pengairan, yang membantu mereka menghadapi risiko bencana alam serta menjamin bekalan air untuk tanaman padi.
Di peringkat seterusnya, kilang penggilingan turut menerima subsidi dalam bentuk insentif pengeluaran dan subsidi tenaga elektrik. Ini membolehkan mereka menampung kos pemprosesan padi dengan lebih efisien dan memastikan bekalan beras terus stabil di pasaran. Selain itu, pengedar dan peruncit juga mendapat manfaat daripada subsidi pengedaran serta kawalan harga, membantu mengekalkan kestabilan harga beras selain mengelakkan lonjakan harga yang membebankan pengguna.
Pengguna merupakan penerima manfaat subsidi yang tidak langsung, di mana harga beras kekal lebih rendah daripada harga sebenar pengeluaran. Jika dibandingkan dengan harga pasaran semasa, beras tempatan dijual dalam lingkungan RM2.60 per kilogram (kg). Tanpa subsidi kerajaan, harga beras boleh meningkat sehingga RM5.00 hingga RM7.00 per kg, yang pastinya akan memberi tekanan ekonomi kepada rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah.
Jika harga lantai belian padi dinaikkan dalam masa sama jumlah subsidi dikekalkan, ia mungkin akan meningkatkan pendapatan pesawah, tetapi memberi kesan kepada kos pemprosesan dan harga beras di pasaran. Ia akan mengakibatkan beban kewangan yang lebih tinggi kepada kerajaan serta kenaikan harga beras kepada pengguna. Sebaliknya, menetapkan harga lantai pada RM1,500 dengan subsidi yang mencukupi membolehkan kerajaan mengawal harga beras tanpa meningkatkan perbelanjaan awam secara drastik.
Dalam menilai sama ada harga lantai wajar dinaikkan, perlu ada keseimbangan antara memastikan kesejahteraan pesawah dan mengekalkan kestabilan harga beras untuk rakyat. Penyelesaian yang lebih mampan mungkin bukan sekadar menaikkan harga lantai, tetapi juga meningkatkan produktiviti pertanian melalui teknologi moden, penyelidikan benih berkualiti tinggi serta penambahbaikan dalam sistem subsidi agar lebih berkesan dan tidak membebankan kewangan negara.
KETIDAKTENTUAN BEKALAN BERAS
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia berdepan dengan ketidaktentuan bekalan beras yang sering dikaitkan dengan aktiviti sabotaj oleh pihak tertentu dalam industri. Antara taktik yang digunakan termasuklah menyorok bekalan beras untuk mewujudkan persepsi negara mengalami krisis makanan, sekali gus memberi tekanan kepada kerajaan untuk meningkatkan subsidi atau melonggarkan kawalan terhadap industri. Taktik ini bukan sahaja menyebabkan kenaikan harga beras, tetapi menguntungkan segelintir pemain industri yang mampu memanipulasi harga dan bekalan.
Lebih membimbangkan, terdapat dakwaan sesetengah pengilang beras mengambil kesempatan dengan mencampurkan beras tempatan yang disubsidi dengan beras import sebelum menjualnya sebagai beras import pada harga lebih tinggi, sekitar RM3.50 per kg. Tindakan ini bukan sahaja menjejaskan kepercayaan pengguna terhadap kualiti dan ketulenan beras yang dijual di pasaran, tetapi juga memberi kesan kepada pesawah tempatan yang semakin sukar mendapatkan harga yang adil bagi hasil tuaian mereka.
Apabila beras tempatan dicampurkan dengan beras import dan dijual sebagai produk premium, kerajaan kehilangan kawalan terhadap pasaran beras dan subsidi yang diberikan kepada industri ini menggunakan dana awam menjadi sia-sia. Ini bermakna, walaupun kerajaan menyalurkan berbilion ringgit subsidi untuk memastikan beras tempatan kekal murah serta mencukupi untuk rakyat, sebahagian bekalan ini akhirnya diproses semula dan dijual dengan harga lebih tinggi, memberi keuntungan besar kepada pengilang dan pemborong, tetapi membebankan pengguna.
Jika isu ini tidak ditangani segera, rakyat akan terus berdepan dengan harga beras yang semakin meningkat, manakala pesawah akan terus bergantung kepada subsidi tanpa mendapat manfaat penuh daripada harga pasaran yang sepatutnya lebih stabil.
Oleh itu, penguatkuasaan yang lebih ketat diperlukan bagi memastikan ketelusan dalam pengedaran beras serta untuk mengelakkan eksploitasi yang boleh mengganggu keseimbangan bekalan dan permintaan dalam industri ini.-UTUSAN
DR. Abu Sufian Abu Bakar ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Wang dan Bank Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Ahli Forum Ekonomi Manusiawi.










