Setiap daripada kita memiliki ruang untuk kekalkan keamanan

Setiap daripada kita memiliki ruang untuk kekalkan keamanan

SEMUA pihak perlu memainkan peranan dalam memastikan negara kekal aman dan makmur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK salah mencari momentum baharu dalam suasana yang lebih segar, selesa dan harmoni sempena berada di tahun baharu, 2025.

Alangkah baiknya jika dapat diatur semula gerak dan tingkah, iringan gendang gemersik lagu, tentu mampu mewarnai suasana riang ceria yang lebih mententerami jiwa.

Hakikatnya 2024 banyak mengajar tentang perlunya bersikap terbuka, berlapang dada, cukup dengan hidup bersandar kesedaran bahawa Malaysia ini bumi permai, unik berperaturan berpaksi Perlembagaan, berstruktur jelas berpijak acuan.

Walau dalam apa jua percubaan mengubah pendekatan, elaklah menyentuh atau mempertikaikan hal-hal berkaitan kedudukan istimewa raja-raja Melayu, Islam dan orang Melayu (3R).

Ada yang menyebut, 2024 sebagai ‘tahun provokasi dan meminta maaf’. Ada juga yang menyifatkan ‘tahun menjolok dan mencuba’. Bukan sukar untuk faham apabila istilah-istilah sinis seumpama ini digunakan.

Penjurusannya adalah untuk memperihalkan betapa bosan dan mualnya masyarakat dengan tindakan, kata-kata yang berulang kali cuba ‘mengacah’ mahupun menyentuh sensitiviti agama dan kaum.

Kemudian dengan semudah itu meminta maaf secara terbuka apabila ia tercetus menjadi isu dan polemik umum.

Tidak perlu dipetik dan dihurai satu persatu rentetan yang berlaku. Namun, memadai dirumuskan secara umumnya, ada banyak provokasi yang menjentik emosi dan mengganggu perasaan.

Dari isu tentang peraturan pensijilan halal, sehingga membawa kepada tercatatnya dalam bahan bercetak dan pengedaran risalah mengenai penyebaran agama bukan Islam secara terbuka.

Timbul juga isu papan tanda yang tidak memadai dengan penggunaan bahasa Melayu. Diseret pula isu membawa Kampung-Kampung Baru Cina ke Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi mendapat pengiktirafan berstatus Warisan Dunia.

Tidak cukup dengan itu, dicuba pula dengan perbuatan seolah-olah mahu menyamakan kedudukan antara agama lain dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara.

Betul, negara membenarkan kebebasan beragama, namun ada kaedah dan peraturan agar Islam tetap berada pada status keutamaan tersendiri, tanpa diperlekeh atau diremehkan.

Syukur, banyak pihak termasuk raja-raja Melayu sendiri tampil memberi titah teguran terhadap tindakan yang bersifat negatif dan membimbangkan ini.

Bimbang jika trend demikian dibiar berterusan akan menimbulkan huru-hara dan mencetus sengketa antara kaum. Sedangkan, semua pihak sering melaung-laungkan semangat memupuk perpaduan dan menghimpunkan harmoni.

PERANAN PENTING
Justeru, ke arah mempastikan senario yang lebih segar dan jernih pada 2025 ini, semua pihak perlu memainkan peranan secara serius dan tegas.

Di pihak kerajaan, pastikan undang-undang berkaitan 3R dikuatkuasakan secara tegas dan adil. Ada yang mencadangkan, dibentuk sebuah Tribunal Khas bagi menangani isu provokasi dan fitnah secara pantas.

Mungkin boleh melancarkan kempen-kempen kesedaran untuk memupuk semangat saling menerima dan menghormati. Perbanyakkan forum awam yang melibatkan semua lapisan masyarakat untuk berkongsi pandangan dan kebimbangan.

Sementara di sekolah, mungkin boleh ditambahbaik kurikulum Pendidikan Moral dan Nilai Murni, sivik dan aspek bertoleransi.

Jangan anggap klise jika kerap disarankan supaya mata pelajaran Sejarah dititikberatkan dalam sistem pembelajaran.

Ada yang menyarankan supaya bukan sahaja memberi fokus mengenai asas kewujudan tanah air serta cabaran menuntut kemerdekaan daripada tangan penjajah, bahkan perlu diperjelaskan tentang pahit getir perjuangan pihak keselamatan untuk mengekalkan keamanan negara.

Dalam hubungan ini, tentulah boleh dikaitkan dengan ancaman gerakan bawah tanah seperti komunis dan petualang-petualang bangsa yang menjadi cabaran dalam mewujudkan ketenteraman tanah air.

Para pendidik digalakkan bersedia berinteraksi dengan pelajar ke arah memupuk kesedaran membina negara bangsa yang murni dan mendamaikan.

Guru boleh mainkan berperanan dalam mencetuskan minat pelajar bagi menghormati serta menghargai kepelbagaian budaya dan seni yang terangkum dalam sebuah negara Malaysia yang makmur sejahtera.

Parti-parti politik perlu menjauhi politik provokasi. Jangan menjadikan ‘isu ungkitan kaum’ sebagai modal meraih sokongan politik.

Dan, yang dikatakan kecenderungan mengungkit hal-hal melibatkan kaum itu bukan pun dalam kalangan rakyat biasa, tetapi pemimpin politik.

Negara perlukan suasana politik yang stabil untuk membina kelangsungan kemajuan dan kemakmuran.

Barangkali boleh diwujudkan Piagam Politik Beretika bagi mengawalselia sebarang kenyataan atau tindakan yang boleh mencetuskan kegusaran rakyat dan keharmonian negara.

Ia boleh dilakukan dengan menjalin kerjasama dengan parti-parti politik tanah air untuk diberi peringatan supaya dapat mengelak daripada menyemarakkan politik perkauman, mengganggu kesucian Islam, mempersoalkan keistimewaan orang Melayu dan bumiputera serta menyentuh kedaulatan raja-raja Melayu.

Sedia maklum, semua hal ini sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Di samping itu, mereka terutamanya yang bergelar pemimpin dalam parti-parti politik perlu meletakkan diri pada kedudukan kepimpinan melalui teladan. Mereka perlu bersedia menjadi contoh dalam segenap tutur kata dan tingkah laku supaya boleh diteladani oleh masyarakat umum atau rakyat.

Antaranya, elak dari bertindak menyerang peribadi secara keterlaluan sehingga boleh menggambarkan budaya tidak sihat.

Sebaliknya, apa salahnya jika mereka pada masa sama boleh menyokong mana-mana dasar dan perancangan kerajaan yang memerintah demi kebaikan semua.

Pendek kata, pihak-pihak lain seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan komuniti setempat, institusi agama serta agensi-agensi kerajaan boleh turut berperanan menyumbang dalam mewujudkan suasana aman makmur sejahtera.

Masing-masing memiliki ruang kapasiti untuk merangka serta bertindak demi mengekalkan keamanan dan kemakmuran negara sebagaimana dicita-citakan bersama.

Kerap disebut pepatah ‘tidak kenal maka tidak cinta.’ Persoalannya, sejauh mana pula rakyat Malaysia sendiri terutama golongan muda mengenal dan mencintai Malaysia?-UTUSAN

DATUK Sayuti Mukhtar ialah Profesor Adjung Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN