Cabaran ekonomi 2025

Cabaran ekonomi 2025

IMF menyemak turun pertumbuhan ekonomi negara kepada 4.1 peratus tahun ini. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHUN 2025 dijangka tahun yang mencabar bagi pertumbuhan ekonomi negara. Ketidaktentuan ekonomi global akan menjadi cabaran buat negara mencapai pertumbuhan melebihi lima peratus pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Konflik di Timur Tengah yang makin meluas, konflik Ukraine-Russia yang masih belum selesai serta dasar pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang kemungkinan akan meningkatkan tarif dan melaksanakan langkah-langkah sekatan perdagangan merupakan isu-isu yang boleh mempengaruhi prospek ekonomi dunia 2025. Pastinya negara kita juga akan menerima tempiasnya.

Timbul kebimbangan sekiranya rancangan dasar fahaman perlindungan dan tarif global, terutamanya tarif lebih tinggi ke atas sesetengah negara yang dilaksanakan Trump boleh mencetuskan perang dagangan yang jika tidak diatasi dengan baik boleh menyebabkan banyak negara mengalami pertumbuhan yang perlahan, permintaan merosot dan menjejaskan kebanyakan perniagaan. Paling dibimbangi ia akhirnya boleh membawa kepada kemelesetan pada 2025.

Memang pada asasnya negara mempunyai prospek yang stabil dengan ekonomi negara mendapat manfaat daripada aliran masuk pelaburan yang berterusan, penggunaan domestik yang teguh dan berdaya tahan serta penyatuan fiskal yang berdaya tahan yang bukan sahaja dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi tetapi juga pasaran ekuiti negara bagi 2025. Antara aktiviti yang dijangka rancak ialah sektor perkhidmatan, pelancongan, eksport dan aktiviti berkaitan ICT.

Namun, negara perlu menyediakan langkah-langkah strategik yang berkesan untuk menghadapi cabaran yang tidak dijangka kerana apa-apa jua konflik besar yang berlaku di pentas dunia boleh memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi global, sekali gus turut memberi kesan kepada negara kita.

Walaupun Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) meramalkan bahawa prospek ekonomi Malaysia untuk 2025 diunjurkan pada kadar pertumbuhan KDNK yang stabil antara 4.5 peratus dan 5.5 peratus, namun ia bergantung kepada kombinasi peluang dan cabaran yang akan dihadapi oleh negara.

MIER dalam laporan berhubung rumusan Belanjawan 2025 menyebut bahawa selain inflasi yang berkurangan, permintaan dalam negeri serta eksport, faktor lain yang turut mempengaruhi ialah keyakinan pelabur dan kestabilan politik yang akan terus memacu pertumbuhan. Yang penting ialah dasar serta pendekatan yang diambil oleh kerajaan berupaya mempengaruhi pertumbuhan dan kemajuan ekonomi negara.

Sepanjang dua tahun berlalu, pentadbiran kerajaan Madani telah memfokuskan kepada pembaharuan struktur dan penstrukturan semula serta penekanan kepada kemajuan dalam sektor teknologi dan kecerdasan buatan (AI). Pembaharuan struktur dan penstrukturan semula untuk memastikan kesan pertumbuhan positif ekonomi negara, manakala penekanan kepada sektor teknologi, pendigitalan dan kecerdasan buatan bertujuan untuk memupuk inovasi dan kecekapan yang dapat meningkatkan produktiviti.

Yang penting pelaksanaan dasar-dasar tersebut mestilah jelas dan benar-benar terarah. Selain itu, dasar dan disiplin fiskal yang berkesan, keterangkuman ekonomi, penggunaan inovasi teknologi dan AI untuk meningkat dan mengekalkan pertumbuhan mesti dilaksana dengan berkesan dan berstrategik. Persekitaran politik yang stabil dan pengukuhan perundangan negara juga turut mempengaruhi prospek ekonomi tahun ini.

Kerajaan harus sedar bahawa isu-isu politik yang tercetus dalam negara yang boleh menggugat kestabilan politik boleh memberi kesan tidak baik kepada keyakinan pelabur. Sama ada kerajaan mahupun pembangkang mestilah mengurang atau menjauhi permainan politik yang boleh merugikan negara.

Pada dasarnya, pelabur sangat mengharapkan suasana politik yang stabil dan kepimpinan negara yang boleh diyakini, terutama dalam melaksana dasar-dasar ekonomi yang luwes atau anjal yang memudah dan menguntungkan pelaburan mereka. Justeru, politik negara yang stabil tanpa sebarang isu-isu yang dapat menggugat kestabilan negara akan dapat meningkatkan lagi tarikan pelabur, terutamanya pelaburan langsung asing (FDI).

Aliran masuk pelaburan yang kukuh, penggunaan domestik yang stabil serta persekitaran inflasi yang diurus denagn baik penting kerana ia mampu menggukuh kedudukan ringgit. Menurut sesetengah penganalisis, ringgit juga dijangka mendapat keuntungan daripada dolar AS yang lebih lemah jika dinamik ekonomi global seperti pemulihan ekonomi China dan potensi kerjasama dengan AS menjadi kenyataan.

Kita juga mengharapkan prospek perniagaan tahun 2025 akan berkembang lebih luas lagi dengan keupayaan untuk meneroka dan mengembangkan sayap di pasaran luar negara. Namun, antara kekangan besar yang dihadapi oleh sektor perniagaan ialah tekanan kos yang semakin meningkat dan juga ketidaktentuan global. Faktor tekanan kos termasuklah kenaikan kos yang dikaitkan dengan tenaga kerja dan sewa.

Semua ini menjadi sebahagian cabaran kepada kemampanan operasi perniagaan dan pertumbuhan perniagaan yang positif. Perniagaan dengan asas kukuh amat penting kerana ia boleh meningkat pertumbuhan sektor tersebut, sekali gus dapat menyumbang kepada KDNK negara.

Justeru, sektor perniagaan harus mampu merancang strategi untuk menembusi segmen baharu dalam negara dan juga pasaran baharu dalam rantau ini. Sektor perniagaan juga harus mengambil peluang memanfaatkan AI dan automasi untuk mengoptimumkan operasi dan mempertingkat produktiviti mereka.

Ramai yang melihat bahawa sektor perniagaan dan perkhidmatan akan turut mendapat manfaat daripada pengguna yang dijangka meningkat ekoran daripada kenaikan gaji minimum dan kenaikan gaji penjawat awam. Pun begitu, disisi yang lain ia tetap tidak memberi apa-apa makna sekiranya kenaikan harga barang pengguna dan sektor perkhidmatan terus melonjak naik sehingga rakyat merasakan masih sukar untuk mereka menabung untuk masa depan.

Apa pun, kerajaan beriltizam untuk memastikan negara mencapai pertumbuhan yang mampan dengan terus melaksana dasar dan reformasi ekonomi dalam kerangka ekonomi Madani. Hasrat kerajaan ialah untuk mencapai kemajuan yang signifikan demi kesejahteraan rakyat. – UTUSAN

PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN