Orang Melayu dan Natrah seolah-olah tidak dapat dipisahkan. Sekurang-kurangnya untuk generasi berumur 60-an ke atas. Sinonimnya Natrah dengan orang Melayu berkait rapat dengan sejarah kasih terhadap iman Natrah yang berumur 13 tahun ketika kisahnya meletup di dada akhbar nasional dan antarabangsa pada tahun 1950 di Singapura.
Jiwa kasih orang Melayu kepada Natrah, anak gadis kecil Belanda yang dipelihara selama lima tahun oleh ibu Melayu bernama Che Aminah adalah murni dan sepenuh hati.
Itulah kesan pertama yang saya dapati tentang rasa hati orang Melayu apabila saya sebagai wartawan majalah Dewan Masyarakat ditugaskan oleh Ketua Editor majalah DBP, 37 tahun lalu (1988) supaya saya mencari Natrah.
Mengimbau kembali kenangan lalu ketika saya berumur 30 tahun ketika mendapat tugasan itu, macam tidak percaya apa yang saya lalui.
Satu hari sekitar bulan September 1988, sahabat saya Khalid Jaafar mencadangkan pada pada boss saya, supaya wartawan majalah DBP mencari Natrah. Boss minta saya cari. Mulanya saya agak keberatan – saya katakan “Apa nak cari dia tu boss, cerita zaman tok nadok dah…mana orang ingat dia?” Johan Jaafar (boss JJ – kini Tan Sri) menjawab “Hang buat ja lah, jangan cakap banyak, hang pi cari dia”.
Bermula di Arkib Negara Malaysia
Saya mulakan langkah mencari Natrah, dengan mencari bahan bertulis tentang beliau di Arkib Negara Malaysia di jalan Duta dulu. Bahan bertulis adalah bahan secondary kalau dari sudut ilmu akademik sejarah. Bahan primary adalah wawancara daripada orang yang terlibat dan orang yang rapat dengan subjek.
Bahan secondary selalunya dalam bentuk buku, majalah, akhbar, manuskrip, laporan, tesis, diary atau apa saja bahan bertulis. Kita bersyukur kerana akhbar menjadi pencatat sejarah yang mudah dan revolusi industri tahun 1800 di Eropah mempercepatkan lagi percetakan akhbar. Sekarang, lebih canggih lagi bila ada ‘pak cik google’.
Di Arkib Negara saya dapatkan akhbar tahun 1950. Pada Zaman 80an itu akhbar kertas bersaiz besar 4 kaki x 3 kaki masih boleh dipegang oleh pengkaji. Sekarang hanya dalam bentuk microfilm. Terkejut saya apabila saya dapati kisah mahkamah hak penjagaan Natrah mendapat liputan khas dan luas! Dua halaman penuh akhbar The Straits Times ! Dan banyak kali menjadi headlines! Cukup banyak gambar besar Natrah, Che Aminah dengan cerita mereka di mahkamah.
Balik ke pejabat saya katakan pada boss JJ – “ Ok boss, kita dah boleh mulakan pencarian Natrah. Ini bukan sebarang budak, ini bukan sebarang cerita, ini kisah luar biasa seorang budak kecil anak penjajah dengan ibu angkat Melayu!”
Boss JJ jawab “ haa .. baru kau tahu! Masa itu saya yakin separuh mati saya boleh mencari Natrah, walaupun masa itu saya pun tidak tahu macam mana dan bagaimana saya hendak mencari dia.
Bertemu keluarga Che Aminah di Kemamam
Setelah mendapat bahan secondary yang penting daripada buku nipis Tangled Between The Two World tulisan Dr. Tom Eames Hughes, Pegawai Kebajikan Masyarakat yang menjaga Natrah di
Girl Home Craft Centre, dan liputan akhbar The Straits Times dan Utusan Melayu, saya terus menyusun untuk mendapatkan bahan primary berbentuk wawancara dengan orang yang terlibat dengan sejarah Natrah ini.
Allah ilhamkan saya bermula dengan pencarian di kampung halaman Che Aminah di Kemaman Terengganu dengan menelefon pejabat daerah Kemaman dalam usaha mencari alamat rumah kediamannya. Memang benar, pejabat daerah Kemaman memang sebaik-baik tempat untuk saya mendapatkan maklumat Che Aminah. Zaman 80-an tiada hotel di Kemaman. Saya terpaksa tidur di Rumah Rehat kerajaan di Kemaman walaupun agak menyeramkan – susah mahu tidur, kerana bangunannya dari zaman penjajah lagi.
Pegawai Daerah dan staf pejabat Daerah Kemaman memberi bantuan yang sangat baik. Mereka memang mengetahui rumah Che Aminah dan menghantar saya ke sana. Puan Kamariah (kini allahyarhamah) anak angkat Jepun Che Aminah bersama suaminya menyambut saya dengan senyum manis dan ramah.
Malang sekali, Che Aminah watak utama yang mengambil Natrah sebagai anak angkat meninggal dunia pada 1976. Sekiranya Che Aminah masih ada, pastinya intisari kisah sejarah Natrah ini akan lebih baik. Allah saja yang tahu mengapa Che Aminah watak utama ini dimatikan sebelum saya dapat wawancara beliau.
Puan Kamariah menceritakan tentang Natrah yang dibawa balik oleh Che Aminah daripada Bandung ke Kemaman (lihat wawancara saya bersama Puan kamariah – Dewan Masyarakat Februari 1989) dan bagaimana Natrah ditemui oleh Arthur Locke – Residen Inggeris di Kemaman. Beliau Juga menceritakan bagaimana beliau sekeluarga tidak sedap hati bila mendengar Che Aminah hendak membawa Natrah ke Singapura mengikut arahan Residen Inggeris itu.
Puan Kamariah semacam dapat menjangkakan sesuatu yang tidak baik akan berlaku pada mereka berdua di Singapura. Saya mendengar dengan penuh minat. Ini kisah zaman penjajah sedangkan pada masa itu kita sudah merdeka 31 tahun. Alangkah banyak bezanya berada pada zaman penjajahan dan selepas penjajahan.
Selepas temu bual dengan Puan Kamariah, saya kembali ke pejabat bagi mengatur perjalanan seterusnya, iaitu ke Singapura untuk mencari orang yang rapat dengan Mansor Adabi bekas suami pertama Natrah. – UTUSAN
Puan Sri Fatini Yaacob adalah bekas Wartawan majalah DBP yang mewancara Natrah di Nevada, Amerika Syarikat dan membuat penyelidikan sejarah ini (1988-1989). Beliau kini Pengerusi Eksekutif Yayasan Kasih Tauhid yang diasaskan sebagai pemegang amanah Sejarah Natrah.
Minggu hadapan wawancara pertama dan terakhir dengan Mansor Adabi










