Malaysia perlu jadi negara berpengaruh di pentas dunia

Malaysia perlu jadi negara berpengaruh di pentas dunia

Lawatan ke luar negara adalah untuk memastikan bahawa Malaysia mendapat perhatian yang seharusnya oleh kuasa ekonomi besar dunia, termasuk gabungan dan organisasi kerjasama ekonomi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAWATAN kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke empat negara serta misi memperdalam hasil rangkaian pulangan ekonomi di Eropah merupakan inisiatif kritikal dan strategik dalam memperkasa kapasiti friendshoring secara ekonomi dan diplomatik dalam memperluas rangkaian kebergantungan ekonomi dan pasaran negara, selari dengan usaha untuk mempertingkat pilihan yang dapat memberikan jaminan baharu.

Ini menjadi perangsang kepada dua faktor utama iaitu mempertahankan fundamental struktur ekonomi asas negara yang berlandaskan kepada sektor pembuatan, elektronik dan sumber asli yang memerlukan pasaran yang lestari dan konsisten, dan juga keduanya, mencari sumber pelaburan dan jaminan sokongan teknologi dan kepakaran dalam usaha transisi ekonomi negara ke arah ekonomi digital dan berteknologi tinggi yang berpaksikan kepada sektor kritikal termasuk kecerdasan buatan, semikonduktor, tenaga baharu, big data dan sumber mineral kritikal seperti nadir bumi, di sebalik pentas geopolitik yang kian getir, tidak menentu dan mencabar.

Hasil lawatan setiapnya memberikan pulangan tersendiri, dari segi jaminan kerjasama baharu dari segi peralihan tenaga baharu dan tenaga hijau serta kerjasama tenaga konvensional minyak dan gas, sehinggalah kepada usaha bersama dalam menangani perubahan iklim dan juga kemelut konflik di Timur Tengah dan mengekalkan kestabilan global.

Usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai hab antarabangsa dalam sektor kritikal ini termasuk ekonomi digital dan juga dalam hasrat sebagai Lembah Silikon di Timur memerlukan kebijaksanaan dalam navigasi persaingan kuasa luar dan juga kepentingan dalam menjamin kemasukan wang, kepakaran dan pekerja berkemahiran tinggi untuk memastikan keupayaan dalaman untuk meraih suntikan luar ini untuk membangunkan industri tempatan dan juga kapasiti modal insan tempatan yang akan memberikan impak positif berangkai kepada pembangunan negara, selari dengan objektif untuk mempertingkat mobiliti sosial, kualiti kehidupan dan pendapatan total bagi pasaran tempatan.

Lawatan ini untuk memastikan bahawa Malaysia mendapat perhatian yang seharusnya oleh kuasa ekonomi besar dunia, termasuk gabungan dan organisasi kerjasama ekonomi yang membolehkan susunan dan gabungan modal kewangan, perancangan polisi pelaburan dan usaha sinergi yang lebih tersusun dan holistik, dalam merancakkan jumlah dan sasaran polisi pelaburan dan skop kerjasama ekonomi yang akan mendatangkan manfaat kepada negara.

Usaha transformasi ekonomi negara memerlukan suntikan modal dan kepakaran luar, dan juga kebergantungan kuasa dan pasaran luar juga mesti dipertingkatkan untuk memastikan kapasiti masa depan perdagangan negara kekal terjamin. Sebagai negara maritim dan perdagangan, sandaran sepenuhnya diletakkan kepada kestabilan dan keterbukaan pasaran dan kuasa ekonomi luar dalam menerima eksport utama negara terutamanya komoditi dan sumber asli untuk memastikan kesinambungan industri tempatan dan pulangan kepada pekerja dan rakyat tempatan.

Dua faktor utama iaitu keinginan dan keyakinan pelabur luar daripada industri dan sektor swasta dan juga keyakinan dan jaringan diplomatik dan kebergantungan ekonomi yang kukuh dengan kuasa ekonomi utama dunia, menjadi nadi utama dalam memastikan sinergi keseluruhan jentera peningkatan pulangan ekonomi dan sektor lestari untuk negara.

Dengan adanya suntikan luaran dari segi modal dan kepakaran, dinamik dalaman juga akan dirancakkan dengan impak berangkai terhadap pembangunan modal insan berkemahiran tinggi dan pemerkasaan infrastruktur serta pengurangan jumlah pengangguran dan peningkatan pekerjaan berkualiti tinggi dan berpendapatan tinggi.

Pragmatik dan Strategik
Untuk memastikan pulangan holistik, adalah perlu untuk memperkukuh pertalian erat konvensional, dan juga membuka peluang dan haluan baharu untuk memikat pemimpin industri gergasi dunia dan juga memperdalam hubungan dengan pelaku negara dan kuasa ekonomi baharu akan datang.

Dalam era persaingan geopolitik dan persaingan sengit ekonomi dan pelaburan terutamanya melibatkan sektor kritikal yang menjadi landasan utama bagi pelaku negara untuk melonjak kepentingan nasional, usaha friendshoring dalam sektor ekonomi dan pertahanan ini menjadi watak utama untuk mendapatkan keyakinan dan kepercayaan dengan industri dan jaringan utama dunia dengan menggunakan kelebihan dan tarikan unik negara yang menyediakan faktor pulangan termasuk geografi, infrastruktur dan jaringan pengangkutan lengkap, kelebihan demografi dan pangkalan modal insan, dasar dan insentif kerajaan yang menyokong pelaburan dan perniagaan yang menjadi faktor pelengkap, usaha tegar lonjakan ekonomi baharu termasuk fokus terhadap sektor teknologi tinggi dan ekonomi digital, ekonomi biru dan ekonomi tenaga baharu, serta kelebihan dalam menggunakan platform ASEAN dan Kepengerusian ASEAN untuk menjadikan Malaysia sebagai hab utama rantau ini sebagai tarikan utama pelaburan berteknologi tinggi.

Kapasiti termasuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan juga komposisi bersama tarikan pasaran ASEAN yang luas serta jalinan kerjasama dalaman ASEAN menjadi modal untuk digunakan Malaysia dalam memastikan Malaysia muncul sebagai middle power yang berpengaruh dan boleh memainkan peranan lebih penting di pentas ekonomi, diplomasi dan geopolitik dunia dan bukan sahaja terbatas kepada platform ASEAN semata-mata. Dalam usaha ini, perluasan pengaruh melalui jalinan dan jaringan dengan pelaku-pelaku negara strategik dan organisasi serantau dan antarabangsa yang relevan menjadi rencana utama untuk memastikan tahap keberadaan dan kerelevanan Malaysia dalam percaturan geopolitik dan kuasa global kekal dinamik dan berdaya tahan.

Pemerkasaan Sandaran Masa Depan
Bagi meletakkan Malaysia dalam platform tertinggi global serta untuk memastikan negara kekal terjamin dari segi pemeliharaan kestabilan dan keselamatan, tidak mudah untuk merangka pelan tindakan atau sasaran yang boleh berjaya sepenuhnya atau bebas risiko. Kesemuanya memerlukan kebijaksanaan dan legasi pengalaman lepas dan juga keupayaan dan kapasiti pimpinan tertinggi dalam mengemudi haluan baharu dan menelusuri cabaran era baharu yang berlandaskan kepada mantra ‘Tiada kawan atau musuh yang kekal dalam hubungan antarabangsa, hanya kepentingan yang kekal.’

Membina Kebolehpercayaan dan Keyakinan
Pertalian erat antara pemimpin juga menjadi faktor sandaran kritikal dalam memastikan segala kegusaran, isu-isu dalaman yang timbul serta potensi konflik dapat dikesan awal dan diberikan perhatian yang lebih mendalam, dalam usaha pemimpin untuk mengawal dan mengelakkan cabaran dan isu tersebut daripada melarat dan mengancaman pertalian dua negara. Peranan ini hanya boleh digalas dan dimainkan oleh pemimpin tertinggi dan disinilah pentingnya hubungan erat secara peribadi oleh Anwar dengan rakan seperjawatannya. Tahap kebolehpercayaan dan kapasiti sandaran berdasarkan ini menjadi faktor penting dalam percaturan polisi pelaku lain terhadap Malaysia. – UTUSAN

COLLINS Chong Yew Keat ialah Penganalisis Strategi, Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa di Universiti Malaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN