Malaysia mampu berperanan aktif di pentas global

Malaysia mampu berperanan aktif di pentas global

MEMPERKUKUHKAN perpaduan nasional dan membina daya tahan yang teguh merupakan benteng utama dalam melindungi negara daripada sebarang pengaruh serta ancaman luar. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dunia kini berada pada fasa transformasi kritikal yang mencorakkan landskap geopolitik global. Menurut Laporan Risiko Global 2024 oleh Forum Ekonomi Dunia, ketegangan geopolitik dan ketidakstabilan ekonomi dikenal pasti sebagai antara risiko utama yang mengancam kestabilan dunia.

Kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN membuka peluang strategik untuk memacu transformasi serantau dan memperkukuh kedudukan ASEAN di persada dunia.

Sebagai blok ekonomi kelima terbesar di dunia dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kolektif melebihi AS$3.6 trilion, ASEAN berada dalam kedudukan unik untuk memainkan peranan lebih signifikan dalam arena global.

Potensi besar ini disokong kepelbagaian etnik dan budaya ASEAN yang merangkumi lebih 650 juta penduduk dengan pelbagai bahasa, agama dan tradisi.

Keunikan ini menggambarkan keupayaan dalam mengekalkan keharmonian meskipun cabaran berkaitan perpaduan dan hak asasi manusia masih wujud.

Namun, masih terdapat ruang penambahbaikan, khususnya dalam aspek hak asasi manusia. Sebagai komuniti serantau yang berpengaruh, ASEAN perlu bersikap lebih tegas dan proaktif dalam menangani isu-isu hak asasi manusia bagi memastikan kestabilan, keadilan dan kemakmuran dapat dicapai secara holistik di seluruh rantau ini.

Selain itu, kerjasama antara ASEAN, China dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) adalah langkah signifikan ke arah menghubungkan Asia Timur, Asia Tenggara dan Asia Barat.

Hubungan yang kukuh dalam aspek ekonomi, budaya dan strategi ini dapat memperkukuh kedudukan ASEAN sebagai model kerjasama serantau yang mampan dan efektif.

ASEAN harus bergerak sebagai satu komuniti yang makmur dan inklusif, dengan setiap negara anggota mendapat manfaat bersama tanpa mengira saiz atau kapasiti ekonomi.

Langkah ini bukan sahaja memperkukuh ASEAN sebagai blok ekonomi dunia yang signifikan, tetapi juga meningkatkan daya saing rantau ini dalam menghadapi tekanan geopolitik dan ekonomi global.

BRICS
Sebagai sebuah kumpulan yang kini mewakili 26.2 peratus KDNK global dan hampir 40 peratus populasi dunia, BRICS menawarkan platform strategik bagi Malaysia untuk memperluas pengaruh ekonomi dan diplomatiknya ke tahap yang lebih tinggi.

Dalam landskap global yang sedang beralih kepada multipolar membuka ruang bagi negara membangun seperti Malaysia untuk menerajui perbincangan penting dalam mencorakkan masa depan ekonomi global dengan lebih adil dan telus.

Dalam pada itu, kerjasama dalam BRICS turut menyediakan peluang luas dalam aspek perkongsian teknologi, pendidikan dan pembangunan infrastruktur.

Kesemua bidang ini bukan sahaja berpotensi untuk merangsang pertumbuhan ekonomi Malaysia, tetapi juga meningkatkan daya saing negara dalam pelbagai sektor strategik.

Penyertaan Malaysia dalam BRICS bukan sekadar langkah ekonomi, tetapi juga manifestasi komitmen negara untuk memainkan peranan aktif dalam membentuk ekosistem global yang lebih mampan, saksama dan berpaksikan kerjasama sejagat.

PERANAN OIC
Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) memerlukan pembaharuan radikal dalam melaksanakan amanahnya dengan memainkan peranan yang lebih proaktif dalam memperjuangkan kesatuan ummah. Namun, sehingga kini, OIC dilihat hanya lantang bersuara tanpa diiringi tindakan konkrit dalam menangani kemelut di Palestin, Syria dan negara-negara Islam lain.

Malaysia dan Indonesia, sebagai dua negara Islam yang berpengaruh di rantau ini, berpotensi memainkan peranan penting dalam membawa suara ummah ke peringkat antarabangsa dengan lebih berkesan dan berwibawa.

Dengan kekuatan ekonomi dan pengalaman luas dalam membangunkan ekonomi Islam, termasuk penglibatan aktif dalam industri halal global yang kini mencecah nilai trilion dolar Amerika, Malaysia dan Indonesia memiliki keupayaan untuk memacu agenda pembaharuan dalam OIC.

Usaha ini bukan sahaja dapat memantapkan pembangunan ekonomi dunia Islam, tetapi juga memperkukuh solidariti serta keberkesanan OIC dalam menangani isu-isu global yang melibatkan ummah.

PERPADUAN NASIONAL
Keutamaan pastinya terletak pada usaha memupuk perpaduan antara kaum dan agama disertai dengan komitmen mengekalkan kestabilan politik serta memperkukuh asas ekonomi yang inklusif dan lestari.

Hubungan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak seharusnya terus diperkukuh melalui pendekatan yang menyeluruh dan inklusif.

Jurang sosioekonomi, ketidakseimbangan pembangunan dan perbezaan persepsi antara wilayah memerlukan perhatian yang berterusan dan bijaksana.

Laut China Selatan seharusnya menjadi lambang penyatuan melalui semangat saling menghormati dan mengasihi.

Kestabilan politik domestik memainkan peranan penting sebagai benteng kepada daya tahan negara dalam menghadapi cabaran yang semakin kompleks.

Namun hakikatnya, polarisasi pandangan politik dalam kalangan masyarakat semakin ketara, membuka jurang yang memerlukan perhatian bersama. Ini kerana, ia bukan sahaja berpotensi melemahkan perpaduan nasional, tetapi juga menghakis kepercayaan masyarakat.

Kepimpinan negara harus menumpukan perhatian kepada agenda pembangunan yang merangkumi segenap lapisan masyarakat dan memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara.

Budaya politik yang bertujuan menggoyahkan kestabilan pentadbiran negara wajar dielakkan sama sekali. Sebaliknya, barisan pembangkang yang berwibawa dan berhemah memainkan peranan dalam semak dan imbang.

Selain itu, kepelbagaian aliran pemikiran dalam kalangan umat Islam turut menambah cabaran dalam mengekalkan kesatuan. Dalam menangani perbezaan ini, pendekatan berhemah dan bijaksana amat diperlukan.

Ruang untuk dialog terbuka dan perbincangan yang membina wajar sentiasa dibuka, sambil mengelakkan pendekatan konfrontasi yang hanya akan merumitkan keadaan.

Dalam konteks ini, institusi agama Islam dan para asatizah mempunyai peranan penting sebagai pemangkin kesatuan umat.

Mereka bukan sahaja berperanan dalam menangani perbezaan aliran pemikiran, tetapi juga menjadi benteng dalam menghalang pihak yang cuba mengambil kesempatan atas perpecahan yang wujud kerana boleh melemahkan kedudukan Malaysia di mata dunia selain membuka ruang kepada pihak luar untuk mengambil kesempatan atas kelemahan yang ada.

Tahun ini seharusnya menjadi satu peringatan yang jelas bahawa setiap rakyat Malaysia memiliki peranan penting dalam memastikan perpaduan nasional kekal kukuh.

Melalui langkah yang proaktif, kerjasama yang erat dan usaha bersepadu daripada semua pihak, Malaysia mampu muncul sebagai sebuah negara yang matang, harmoni dan disegani.-UTUSAN

PENULIS ialah Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN