Berdamailah ahli politik, penjawat awam

Berdamailah ahli politik, penjawat awam

PENJAWAT awam perlu memahami dan bergerak dengan irama yang sama dengan golongan politik bagi memastikan segala manfaat dan kesejahteraan diperoleh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHUN 2024 merupakan tahun kedua Kerajaan Madani mengharung pelbagai onak dan duri. Di tahun pertama adalah masa untuk ‘suai kenal’ antara parti-parti gabungan tetapi ternyata tahun kedua adalah masa untuk pelaksanaan agenda reformasi.

‘Malam pertama’ adalah untuk bersuai kenal, berseronok dan mengenal isi hati tetapi pada ‘malam kedua’, masing-masing sudah mula mencatur mimpi, mengatur jaga keesokan harinya.

Diakui, di tahun kedua ini kemampuan Kerajaan Madani teruji dalam usaha mereka melaksanakan impian masing-masing. Pun begitu, pencapaian yang signifikan dalam aspek ekonomi dan sosial tidak dapat kita nafikan. Satu persatu kejayaan dalam bidang ini berjaya dibawa oleh kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan pertolongan ‘Hang Tuah’ dan ‘Hang Jebat’ Madani, yakni Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Menyorot kembali sepanjang 2024, Kerajaan Madani membawa beberapa pencapaian bergaya buat kita semua. Antaranya, pengukuhan nilai Ringgit sebanyak 14.4 peratus berbanding Dollar Amerika Syarikat (AS$) pada suku ketiga, sekali gus pencapaian terbaik di Rantau Asia.

Pertumbuhan ekonomi juga bertambah baik dengan kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada Januari hingga September 2024 meningkat sebanyak 5.2 peratus, berbanding 3.8 peratus pada tempoh yang sama pada 2023. Jumlah perdagangan sepanjang sembilan bulan pertama di tahun lalu juga meningkat sebanyak 10.2 peratus kepada RM2.139 bilion berbanding tahun sebelumnya.

Pentadbiran kerajaan juga berjaya mengekalkan kadar inflasi pada paras rendah, iaitu pada kadar 1.8 peratus. Selain itu, Indeks Persepsi Rasuah bagi negara kita juga makin bertambah baik dengan menduduki tangga kedua antara negara Asia Tenggara selepas Singapura.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjaya melonjakkan pendapatan pelaburan kepada RM57.57 bilion bagi tempoh sembilan bulan, iaitu meningkat 20 peratus berbanding tempoh sama pada 2023. Amanah Saham Bumiputera (ASB) juga berjaya mengeluarkan dividen tertinggi dalam lima tahun kebelakangan ini, iaitu pada kadar 5.75 sen seunit. Berita gembira lain adalah Syarikat FGV Holdings Berhad pulih daripada kerugian dan mencatat keuntungan bersih RM86 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2024.

Banyak lagi yang boleh kita ceritakan tentang kejayaan manis negara ini. Namun yang paling memberi impak besar adalah penyelarasan gaji penjawat awam di Malaysia yang mengalami kenaikan antara tujuh sehingga 15 peratus bermula Januari 2025.

Untuk tahun ini pula, kita bakal berhadapan beberapa perkara yang besar dan memberi kesan mendalam terhadap ketemadunan masyarakat secara keseluruhannya. Antara yang bakal memberi kesan kepada kita adalah penyelarasan subsidi RON95, media sosial berlesen, pelaksanaan gaji minimum berjumlah RM1,700, Program Latihan Khidmat Negara 3.0 (PLKN 3.0), Kepengerusian ASEAN, tarif baharu elektrik, duti eksais minimum bergula naik 40 sen seliter, Transit Aliran Ringan (LRT) 3 bernilai RM4.7 bilion bakal siap dibina, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, kenaikan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada rakyat.

Ternyata radius kejayaan negara pada tahun lalu akan terus diperluaskan oleh pihak pemerintah melalui beberapa perkara besar yang bakal berlaku sepanjang 365 hari di tahun ini. Sikap tidak hanya berpuas hati dengan kejayaan sedia ada ini mampu memberi kesejahteraan kepada rakyat dengan lebih baik dan secara menyeluruh.

BERSATU PADU
Bagi mencapai impian besar ini, dua kelompok terpenting dalam struktur pentadbiran negara harus saling berganding bahu dan punya hala tuju yang sama. Mereka adalah golongan politik (termasuk anggota pentadbiran kerajaan) dan penjawat awam.

Bermula daripada Ketua Setiausaha Negara (KSN) sehinggalah Pembantu Setiausaha Pejabat Gred N1, haruslah memiliki arah pandang dan tuju yang selari dengan agenda yang dibawa oleh Perdana Menteri dan pasukannya. Begitu juga dengan semua wakil rakyat di peringkat Dewan Rakyat, Dewan Undangan Negeri (DUN), sehingga ke Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) seluruh negara, masing-masing tidak boleh berpecah daripada agenda Malaysia Madani pimpinan Kerajaan Perpaduan.

Andai kata penjawat awam dan jentera politik tidak selari dan sering bertelagah sesama sendiri, mana mungkin kita mampu menerobos segala cabaran yang mendatang bagi tahun ini. Jauh sekali untuk kita membawa negara ini mencipta lebih banyak kejayaan besar dan bersifat memberi manfaat berganda kepada masyarakat di dalam dan luar bandar.

Walau berbuih mulut pemimpin atasan memberi hujah, idea dan kefahaman tentang agenda kita, namun jika penjawat awam tiada selera untuk menyambutnya dengan ikhlas hati, maka rakyat akan tetap menjadi mangsa keadaan. Akhirnya, pada tarikh pilihan raya nanti, rakyat atau pengundi akan membuat pilihan tidak adil berdasarkan penilaian emosi mereka, bukannya berdasarkan ideologi agenda yang diperjuangkan oleh seseorang wakil rakyat tersebut.

Andai penjawat awam memahami dan bergerak dengan irama yang sama dengan golongan politik, pastinya semua pihak beroleh manfaat dan kesejahteraan masing-masing. Ahli politik akan menang dalam pilihan raya hasil kepercayaan pengundi sementara penjawat awam menerima pelbagai penambahbaikan melalui sistem perjawatan mereka dan rakyat pula bakal menuai hasil-hasil daripada agenda kerajaan yang telah diterjemahkan secara bersama.

Semoga Malaysia terus memiliki sebuah kerajaan yang ikhlas dalam membawa kesejahteraan terhadap rakyatnya.

Kita juga berharap penjawat awam terus berdamai dengan golongan politik tanah air dan mereka yang berada dalam gelanggang politik juga wajib faham terhadap sistem kerja kerajaan kita.-UTUSAN

PENULIS ialah Setiausaha Agung Pertubuhan Aktivis Belia Tanah Air (ABATA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN