Apakah wujud keperluan IPT bertaraf patuh syariah?

Apakah wujud keperluan IPT bertaraf patuh syariah?

INSTITUT pengajian tinggi (IPT) bertaraf patuh syariah menjadi keperluan mendesak dengan penawaran penyelesaian kepada pelbagai isu sosial, ekonomi dan spiritual yang dihadapi masyarakat moden.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM beberapa minggu kebelakangan ini, perbincangan bersama rakan-rakan akademik mengenai pematuhan syariah berjalan dengan rancak dan penuh manfaat. Perbincangan turut merangkumi keperluan melaksanakan pematuhan syariah secara menyeluruh atau berperingkat di institusi pendidikan tinggi (IPT).

Ini berdasarkan pandangan IPT dan dunia pendidikan adalah ejen yang tepat dan berpengaruh sebagai pemangkin dalam mempromosikan pematuhan syariah di peringkat global, termasuk di Malaysia, sebuah negara bertuah yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Dalam era globalisasi yang kian mencabar, IPT memainkan peranan penting dalam membentuk generasi pemimpin masa hadapan. Namun, persoalan yang semakin mendapat perhatian ialah keperluan IPT bertaraf patuh syariah. Adakah ini satu keperluan yang mendesak atau sekadar pilihan bagi segelintir pihak yang mempunyai kecenderungan tertentu?

Patuh syariah bukan sekadar istilah yang merujuk kepada pematuhan terhadap prinsip-prinsip Islam dalam bidang pengurusan, kewangan atau produk halal semata-mata. Justeru, pematuhan syariah seharusnya meliputi semua aspek kehidupan. Termasuk dalam arena atau dunia institusi pendidikan seperti IPT kerana Islam adalah agama menyeluruh (syumul) yang mengatur seluruh aspek kehidupan dunia dan akhirat, hubungan manusia sebagai hamba dengan Allah, tuhan yang menciptakan dan juga hubungan manusia dengan semasa makhluk.

Pematuhan syariah dalam konteks pendidikan tinggi melibatkan penerapan prinsip syariah dalam keseluruhan aspek pentadbiran, kurikulum, suasana pembelajaran dan interaksi sosial secara dalaman mahupun di luar institusi. IPT patuh syariah dinilai berfungsi sebagai platform penting dunia pendidikan yang bukan sahaja menyediakan ilmu pengetahuan, kemahiran duniawi tetapi juga membentuk warga kampus dan pelajar yang seimbang dari sudut akhlak, spiritual mahupun intelektual.

IPT perlu bertaraf patuh syariah kerana :

  • Keharmonian akhlak dan intelektual
    Dalam masyarakat yang semakin terdedah kepada pelbagai pengaruh negatif, IPT patuh syariah boleh menjadi benteng penting dalam membentuk generasi yang berintegriti tinggi.
    Pelajar bukan sahaja dilatih untuk cemerlang dari segi akademik, tetapi juga dipersiapkan untuk menjadi individu yang berakhlak mulia. Ini bermakna insan holistik lahir melalui bekalan ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai mulia.

 

  • Permintaan pasaran kerja
    Pasaran kerja kini semakin memerlukan tenaga kerja yang memahami prinsip Islam, terutamanya dalam sektor kewangan Islam, pengurusan halal dan industri patuh syariah.
    IPT patuh syariah dapat melahirkan graduan holistik yang berpengetahuan dan berkemahiran bagi memenuhi keperluan pasaran, sekali gus meningkatkan daya saing negara di peringkat global.

 

  • Pembangunan ummah

Inisiatif menjadikan IPT sebagai institusi patuh syariah berperanan sebagai pemangkin pembangunan ummah melalui penyelidikan dan inovasi yang berlandaskan prinsip Islam.
Penyelidikan dalam bidang pengurusan, ekonomi Islam, teknologi halal dan sains patuh syariah bukan sahaja menyumbang kepada kemajuan ilmu pengetahuan tetapi juga kesejahteraan sejagat. Ia juga menjawab cabaran dan kehendak Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang dilancarkan.

Pun begitu, ia tetap berdepan cabaran dalam usaha untuk merealisasikannya. Antaranya:

  • Kurikulum holistik
    Membangunkan kurikulum yang memenuhi standard akademik holistik dan memastikan ia formulasi patuh syariah bukanlah tugas yang mudah. Ia memerlukan gabungan pakar dalam bidang akademik dan syariah bagi memastikan keseimbangan antara kedua-duanya.
    Jika kurikulum sebegini dapat direalisasikan, maka sedikit sebanyak isu dikotomi ilmu pengetahuan yang dipolarisasi kini dapat dihentikan. Ini bermakna, istilah seperti ilmu agama dan ilmu bukan agama mungkin tidak lagi wujud.
  • Penerimaan masyarakat
    Terdapat tanggapan IPT patuh syariah mungkin hanya relevan untuk pelajar Muslim. Persepsi ini perlu diubah melalui pendekatan inklusif yang menonjolkan nilai sejagat dalam prinsip syariah seperti keadilan, integriti, keseimbangan dan kesejahteraan.
  • Kos dan infrastruktur

Merealisasikan inisiatif IPT patuh syariah tentu juga memerlukan kos, terutamanya untuk memastikan fasiliti, kakitangan dan program yang ditawarkan memenuhi standard syariah. Ini memerlukan sokongan penuh daripada semua pihak khasnya kerajaan, industri, dan masyarakat.

KEPERLUAN ATAU PILIHAN?
Melihat kepada keperluan semasa, IPT bertaraf patuh syariah bukan lagi sekadar pilihan, tetapi satu keperluan yang mendesak. Ia menawarkan penyelesaian kepada pelbagai isu sosial, ekonomi dan spiritual yang dihadapi masyarakat moden.

Dengan perancangan yang rapi dan komitmen daripada semua pihak, IPT patuh syariah boleh menjadi model pendidikan yang relevan bukan sahaja untuk masyarakat Islam, tetapi juga untuk dunia secara keseluruhannya.

Seperkara yang perlu diberikan perhatian bahawa IPT patuh syariah bukanlah hanya pada jenama dan label seperti yang selalunya disebut dengan sekolah Islam, universiti Islam dan sebagainya. Namun, ia bergantung kepada pematuhan dan pelaksanaan prinsip, nilai dan asas syariah (Islam) dalam setiap polisi, aktiviti serta pengurusan institusi.

Sebagai negara yang telah menjadikan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan kaya dengan warisan Islam dan budaya keilmuan, Malaysia berpotensi menjadi peneraju dalam mempromosikan model IPT bertaraf patuh syariah di peringkat global.

Langkah ini bukan sahaja memartabatkan Islam sebagai asas pembangunan ilmu, tetapi juga menyumbang kepada kesejahteraan ummah sejagat.-UTUSAN

 

PENULIS ialah Ketua Unit dan Pensyarah Jabatan Sains Sosial dan Kemanusiaan, Kolej Pendidikan Berterusan (CCEd), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN