PILIHAN Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16 berlangsung pada 26 September 2020 bagi memilih 73 anggota DUN baharu setelah ia dibubarkan pada 30 Julai tahun yang sama.
Mesyuarat Pertama Penggal Pertama DUN Sabah ke-16 pula bersidang selama dua hari pada Khamis (12 November) dan Isnin (16 November) dalam suasana menularnya Covid-19.
Oleh itu, dari tarikh Mesyuarat Pertama Penggal Pertama DUN Sabah ke-16 dilangsungkan, jangka hayat DUN Sabah masih ada kira-kira setahun lagi sebelum ia terbubar sendiri.
Sejak kebelakangan ini muncul seruan supaya DUN Sabah dibubarkan lebih awal bagi membolehkan Pilihan Raya DUN Sabah ke-17 berlangsung dan kerajaan baharu terbentuk.
Kuasa membubarkan DUN Sabah ada pada tangan Yang di-Pertua Negeri setelah beliau mendapat nasihat daripada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, mengenainya.
Tempoh Yang di-Pertua Negeri sekarang, Tun Juhar Mahiruddin, yang jawatannya disambung beberapa kali sejak mula dilantik pada 1 Januari 2011, dijadual tamat pada 31 Disember ini.
Juhar memegang rekod sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah paling lama memegang jawatan setelah had tempoh perkhidmatan lapan tahun dipinda pada 2018.
Sehubungan itu, dijangkakan bahawa seorang tokoh baharu akan dilantik pada awal tahun hadapan bagi menggantikan tempat Juhar sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah.
Sehubungan itu, kurang sesuai untuk Pilihan Raya DUN Sabah ke-17 dilangsungkan tatkala Yang di-Pertua Negeri Sabah baharu masih belum panas memegang jawatan.
Masa sama, tempoh DUN semasa masih panjang dan banyak urusan pentadbiran yang perlu diselesaikan oleh Hajiji dan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Lebih-lebih lagi Belanjawan Sabah 2025 berjumlah RM6.421 bilion, yang dibentangkan Menteri Kewangan Sabah, Datuk Masidi Manjun, baru sahaja diluluskan pada 21 November lalu.
Belanjawan Sabah 2025 ini adalah yang tertinggi pernah direkodkan dalam sejarah belanjawan negeri itu berbanding jumlah RM5.701 bilion dalam Belanjawan Sabah 2024.
Belanjawan bertemakan ‘Sabah Makmur, Rakyat Sejahtera’ itu menekankan strategi pengagihan peruntukan kepada sektor produktif dengan keyakinan pertumbuhan ekonomi negeri yang kukuh ke arah meningkatkan kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat.
Antara tarikan utamanya ialah penyediaan buat julung kali peruntukan RM358.5 juta bagi membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup golongan miskin dan miskin tegar yang membolehkan mereka menerima bantuan khas sebanyak RM300 sebulan selama setahun
Selain Program Sentuhan Kasih Rakyat ini, antara program pembasmian kemiskinan yang dirancang untuk dilaksanakan tahun depan ialah pembinaan sebanyak 3,000 unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) dengan peruntukan RM250 juta di semua 73 kawasan DUN.
Dalam Belanjawan Sabah 2025 ini juga, buat pertama kalinya bantuan sekali bayar berjumlah sebanyak RM5,000 disediakan oleh Kerajaan Negeri Sabah sebagai tanda keprihatinannya kepada peniaga gerai kecil tepi jalan yang mempunyai lesen perniagaan sah.
Pendek kata, banyak perkara bagus yang dirancang untuk dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Sabah pada tahun 2025 dan ia perlu diberi ruang untuk mengimplementasikan semua perancangan ini.
Jika Pilihan Raya DUN Sabah ke-17 dilangsungkan lebih awal Belanjawan Sabah 2025 ini terpaksa dibuat lain dan menyebabkan perubahan berlaku di tengah jalan.
Mana-mana Kerajaan Negeri Sabah sekalipun memerlukan masa untuk menyelesaikan isu-isu penting rakyat, seperti infrastruktur, pendidikan dan pembangunan luar bandar. Fokus kepada kerja pentadbiran akan terganggu jika politiking berterusan dan PRN dipercepatkan.
Sabah juga masih menghadapi cabaran ekonomi dan keselamatan. Pembubaran awal boleh menjejaskan usaha-usaha yang sedang dijalankan untuk memperbaiki keadaan ini, terutama dalam memulihkan ekonomi pasca pandemik dan menangani isu pendatang tanpa izin.
Ada pihak yang cuba menggunakan isu penularan video mengenai dakwaan rasuah yang mengaitkan gabungan pemerintah negeri itu sebagai satu alasan untuk mempercepatkan Pilihan Raya DUN Sabah ke-17 dilangsungkan tetapi hujah ini sebenarnya tidak relevan.
Malaysia mempunyai undang-undang pencegahan dan pengawalan rasuah yang baik. Semua pihak perlu memberi kepercayaan penuh kepada agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat perkara ini.
Ia bukanlah sesuatu yang menjejaskan pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah malah pemimpin di negeri itu sudah menyatakan kesediaan disiasat. Jika ada kesalahan terbukti berlaku maka hadapkanlah sahaja mereka yang terlibat ke mahkamah untuk diadili.
Pembubaran awal DUN Sabah boleh dianggap sebagai ketidakpatuhan kepada mandat rakyat yang telah diberikan pada PRN16. Tempoh lima tahun perlu dihormati untuk memastikan kerajaan negeri melengkapkan penggalnya dengan penuh tanggungjawab.
PENGUNDI LETIH
Pilihan raya yang terlalu kerap juga boleh menyebabkan keletihan politik dalam kalangan pengundi. Memberi tempoh rehat kepada rakyat sebelum PRN seterusnya penting untuk memastikan mereka bersedia untuk membuat keputusan yang lebih matang.
Kesimpulannya, DUN Sabah wajar dibiarkan berkhidmat sehingga tempoh tamatnya untuk memastikan pentadbiran yang stabil, persediaan yang rapi dan penyelesaian isu-isu rakyat dapat disempurnakan tanpa gangguan politik yang tidak perlu.
Kerajaan Negeri Sabah sekarang tidak mempunyai apa-apa masalah yang kritikal. Membubarkan DUN Sabah lebih awal hanya akan menambah ketidakstabilan dan mengalihkan fokus daripada matlamat pembangunan dan kesejahteraan rakyat. –UTUSAN
DR. Nur Ayuni Mohd. Isa ialah Penganalisis Politik di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), merangkap Sarjana Pelawat di Department of Politics and International Studies; Centre of South East Asian, SOAS, University of London.










