Tiada larangan membaca mushaf tajwid berwarna

Tiada larangan membaca mushaf tajwid berwarna

PADA hari ini, penggunaan warna dalam mushaf telah diluaskan lagi untuk tujuan tajwid, waqaf ibtida, qiraat dan juga untuk hafazan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK ada kesalahan membaca mushaf yang berwarna. Ia dilakukan untuk tujuan tertentu. Tercatat dalam mushaf terdahulu berbagai warna digunakan dalam penulisan mushaf untuk membezakan antara rasm dan dabt. Rasm adalah tulisan untuk kalimah dan dabt pula ialah penandaan bagi kalimah seperti tanda baris, alamat sukun, tanda mad, tanda sabdu dan lain-lain.

Syeikh Muhammad al-Aqib Walad Mayabi (meninggal 1312 hijrah) berkata dalam kitabnya Kasyf al-Uma, “Maka hendaklah kamu menulis kalimah al-Quran dengan warna hitam manakala penandaan dabt seperti baris hendaklah bezakan dengan dakwat yang berwarna merah.

“Sesungguhnya penandaan hamzah wasal semasa ibtida di permulaan kalimah ditanda dengan warna hijau. Bagi hamzah yang dibaca dengan secara tahqiq diwarna dengan kuning. Dan warna titik diwarnakan hitam mengikut warna huruf”.

Kenapakah mushaf ditulis dengan warna hitam? Menjawab isu ini, Syeikh Maimun al-Fakkhar (meninggal 816 Hijrah) menyatakan dalam kitabnya, al-Durrah al-Jaliyyah bahawa warna dalam mushaf berbeza yang mana warna merah digunakan untuk baris dan warna hitam untuk rasm.

Jika ditanya kenapakah digunakan warna hitam untuk rasm? Ini kerana warna hitam adalah warna asal dan tidak ada yang keliru dengannya. Sedangkan tanda baris untuk huruf, berlaku kekeliruan maka ia ditanda dengan warna merah. Begitu juga dengan huruf hamzah lantas ulama mewarnakannya dengan warna kuning.

Pengamalan menulis mushaf dengan warna hitam telah menjadi amalan penulis mushaf di Madinah. Menurut Abu Amru al-Dani (meninggal 444 hijrah) penulis mushaf dalam kalangan penduduk Madinah di peringkat permulaan dahulu dan sehingga kini (merujuk pada zaman Abu Amru) menggunakan warna hitam untuk rasm. Selain itu turut digunakan juga warna merah dan warna kuning. Warna merah digunakan untuk penandaan baris, alamat sukun, tasydid dan takhfif. Manakala warna kuning pula adalah untuk huruf hamzah sahaja.

Satu pertanyaan dikemukakan kepada Dar Ifta Mesir berkaitan status membaca Quran dari mushaf yang berwarna. Dr. Mahmud Syalabi yang merupakan setiausaha agung Dar Ifta menghuraikan isu ini dengan menyatakan, “Sesungguhnya membaca Quran memerlukan kepada tadabur dan fokus sehinggalah pembaca itu sampai kepada peringkat khusyuk. Jika perkara itu berlaku maka kamu boleh membaca al-Quran dari mushaf yang berwarna”.

Seterusnya beliau menambah, “Jika dalam mushaf tersebut banyak warna sehingga mengganggu pandangan kamu, mengganggu khusyuk dan tadabur maka lebih afdal kamu jangan membaca mushaf tersebut”.

Bekas Mufti Mesir, Dr. Ali Jumaat menyatakan, “ tidak harus mencetak mushaf dengan helaian berwarna kerana memuliakan kitab Allah. Tidak harus menjadikan mushaf seperti model yang dipenuhi dengan hiasan sambil beliau memberi isyarat terdapat sebahagian perempuan berusia yang menjadikan mushaf sebagai hiasan.

“Mereka menyimpan mushaf mengikut warna beg tangan dan bukan untuk tujuan membacanya. Ini adalah tindakan yang tidak betul”. Beliau menambah tidak ada larangan secara syarak membezakan warna baris dan penandaan alamat tajwid dengan warna yang berbeza selagi mana ia membantu dalam memperelokkan bacaan. Begitu juga tidak ada larangan menulis lafaz jalalah dengan warna merah dalam mushaf.

Syeikh Said Ramadhan al-Buti RA ketika mengulas tentang mushaf yang berwarna menyatakan bahawa terdapat mushaf yang dicetak di Turkiye menandakan lafaz jalalah Allah dengan warna merah. Penandaan sebegini tidak perlu dan tidak wajib kerana tidak membantu dalam pembacaan al-Quran.

Beliau bersama dengan pendapat fuqaha yang melarang perkara ini. Jika ia terus diizinkan akan ada pihak yang menandakan kalimah tentang sifat Allah dan nama-nama Allah yang lain dengan pelbagai warna. Adakah ini satu seni yang mana dengan seni tersebut tidak perlu seseorang mempelajari tajwid. Adakah dengan pewarnaan tersebut seseorang akan mengenali ini mad wajib, ini mad jaiz, ini idgham, ikhfa dan lain-lain.

Sebenarnya kaedah tajwid tidak boleh dikuasai dan difahami kecuali dengan talaqqi dan mendengar sendiri bagaimana guru membacanya. Dan jika tidak talaqqi daripada guru maka sebutan dan bacaan yang sebenar tidak dapat dikuasai.

Penulisan mushaf pada asalnya adalah dengan warna hitam sahaja. Warna ini dikekalkan kerana ia merupakan asal penulisan dan ia diamalkan dalam penulisan mushaf Madinah. Manakala penandaan dabt pula digunakan warna merah dan kuning.

Pewarnaan dabt ini bermula apabila Abu Aswad al-Duali mengarahkan orang yang menanda baris menggunakan warna dakwat yang berlainan dengan warna hitam yang digunakan untuk rasm.

Pada hari ini penggunaan warna dalam mushaf telah diluaskan lagi untuk tujuan tajwid, waqaf ibtida, qiraat dan juga untuk hafazan. Bagi mengelak kekeliruan, sejak 2016 Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengeluarkan satu garis panduan yang lengkap untuk penandaan warna untuk tajwid.

Sebelum diterbitkan, mushaf tajwid berwarna mestilah mendapat pengesahan daripada pihak Lajnah Tasheh al-Quran dan kelulusan Lembaga Pengawalan Pelesanan Penerbitan Quran, KDN. – UTUSAN

DR. Khairul Anuar Mohamad ialah Profesor Madya di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN