PERLU disedari bahawa Islam adalah agama syariat yang tidak memandulkan pemikiran penganutnya. Agama Islam juga tidak menyekat seseorang itu berfikir dengan waras.
Daripada sudut istilahnya, syariat ialah sesuatu aturan atau ketetapan yang diwahyukan kepada Rasulullah SAW yang terdiri daripada hukum-hakam dalam al-Quran dan al-Sunnah berkait bidang akidah dan perbuatan-perbuatan mukallaf, sama ada hukum-hakam qath’ie atau zhanni. (Rujuk Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah dan Tarikh al-Tasyri’ al-Islamiy, hal. 13).
Sebagaimana Allah menjelaskan dalam Surah Al Maidah ayat 48, “Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran untuk mengesahkan benarnya kitab-kitab suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di antara mereka (ahli kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu) dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing).”
Firman-Nya dalam Surah Al-Jatsiyah ayat 18, “Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum agama, maka turutlah syariat itu dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar).”
Daripada sudut bahasanya, syariah ialah jalan yang lurus atau jalan yang dilalui oleh orang ramai untuk mendapatkan sumber air untuk diminum mereka sendiri atau binatang ternakan. Ia juga diertikan sebagai ajaran agama atau manhaj oleh sebahagian ulama. (Rujuk Lisan al-‘Arab, Tafsir al-Qurtubi dan Al-Madkhal li Dirasah al-Syari’ah).
INDIKATOR TERSELEWENG DARIPADA AKIDAH
Menilai dan meneliti setiap sesuatu kumpulan atau figura mengikuti landasan ajaran agama yang benar penting bagi memastikan seseorang itu tidak terjebak dalam kancah kesesatan.
Seseorang itu perlu menyedari kumpulan atau figura itu tentunya tidak mengubah, meminda atau menafikan keaslian al-Quran atau menokok tambah sesuatu bagi kepentingan peribadi.
Tidak dinafikan, terdapat juga unsur-unsur mengingkari ajaran Nabi Muhammad SWT, dengan menolak ajaran baginda, menyalahkan keluarga juga para sahabat.
Paling ditakuti mereka bersembunyi di sebalik al-Quran dan hadis iaitu berselindung untuk menggelirukan manusia tentang perkara ghaib.
Dalam pada itu, sesuatu kumpulan yang dengan mudahnya mengeksploitasi pengikutnya bagi merealisasikan kehendaknya. Ideologi tersebut seterusnya akan mengeksploitasi pengikutnya seperti menyerahkan wang, harta benda dan juga diri mereka sendiri. Tidak terkecuali, mengaku diri mereka sebagai Imam Mahdi.
Sebagaimana yang disampaikan Ketua Bahagian Aqidah dan Hadis, Universiti Islam Selangor (UIS), Dr. Mohamed Fairooz Mohamed Fathillah, apabila seseorang itu berhadapan dengan perkara-perkara pelik, asing dan tidak pernah belajar sebelum ini, maka pada ketika itulah seseorang perlu mengingati ayat-ayat Allah dalam Surah Al- Anbiya ayat 7, “Maka tanyakanlah kepada orang yang berilmu, jika kamu tidak mengetahui.”
“Sebagai seorang muslim kita mesti ada sifat ingin bertanya. Ada perkara-perkara yang dirasakan tidak senang, tidak betul, mencurigakan, hadis-hadis yang tidak pernah didengar, seharusnya kita bertanya,” demikian tegas Mohamed Fairooz ketika Bicara Islam Rahmah Siri 2: Membongkar Misteri – Ajaran Sesat dan Bahaya Taasub yang diadakan di Dewan Khawarizmi, Pusat Islam Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 24 November lalu.
Walaupun beberapa faktor berpunca daripada diri sendiri seperti ideologi, sombong, melulu, tidak bertanya kepada orang yang berilmu, suka memberontak dan berbeza pendapat. Namun tidak terkecuali, ia juga berpunca daripada sikap luaran seseorang, kerana tekanan, situasi yang dialami, masalah yang dihadapi seperti tidak berpuas hati atau putus asa, kezaliman, kekejaman, ketidakadilan hinggakan mereka memutuskan untuk melarikan diri dengan menjebakkan kepada ekstremisme di bawah ilusi bahawa ia adalah penyelesaian kepada apa yang mereka lihat dan derita itu.
SELARI ATAU TIDAK DENGAN KEHENDAK ISLAM?
“Apalagi dalam situasi kini, masyarakat sangat mudah mengetahui semua ini di media sosial. Seseorang itu perlu mengambil tahu adakah perkara sedemikian selari dengan agama atau tidak,” jelas Mohamed Fairooz.
Menurutnya lagi, jika tiada unsur taasub dan pengkultusan, seseorang boleh berfikir secara terbuka dan akan mendapat kebenaran.
“Itulah ‘red flag’ yang perlu kita tahu dan pastikan apabila melihat perkara-perkara yang pelik yang melanggar syarak lebih-lebih lagi.”
“Setiap kita juga perlu sedar bahawa tiada istilah melanggari syarak untuk mendekatkan diri kepada Allah.
“Apa pun martabatnya, keturunan apa sekalipun, tiada kompromi kepada perkara-perkara yang melanggari syarak.”
TANGANI AJARAN SESAT
Rasulullah melihat beberapa penyelewengan dan keterlaluan dalam perkara agama sebagaimana umat-umat terdahulu yang dibongkarkan al-Quran sebagai petunjuk dan peringatan. Dalam Surah Al Maidah, ayat 76 bermaksud, “Katakanlah mengapa kamu menyembah selain daripada Allah, sesuatu yang tidak dapat memberi mudarat kepadamu dan tidak (pula) memberi manfaat? Dan Allah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Imam Al-Bukhari meriwayatkan dalam sahihnya bahawa Rasulullah bersabda: “Janganlah kamu memujiku sebagaimana orang-orang Nasrani memuji putera Maryam, bahkan aku adalah seorang hamba, maka katakanlah, ‘Abdullah dan Rasul- Nya.” (Al-Bukhari)
Juga diriwayatkan secara sahih daripadanya, Baginda bersabda: “Berhati-hatilah daripada berlebih-lebihan. Dalam agama, orang-orang sebelum kamu telah dibinasakan oleh ekstremisme dalam agama.”
Kepercayaan yang berlebihan terhadap status nabi dan wali menyebabkan umat terdahulu terjerumus ke dalam syirik, menyembah patung-patung mereka, meminta pertolongan dan makanan, mengusap kubur, bertawaf, berpaut pada tirai makam, hinggakan perbuatan syirik tersebut, menyimpang dari lingkaran tauhid yang murni ke dalam lipatan khurafat, karut dan khayalan kosong.
Setelah menutup saluran kemusyrikan, bidaah dan khurafat dari langkah-langkah bangsa dan agama lain yang sesat atau menyeleweng, Rasulullah menyeru umatnya untuk berhati-hati dan berpegang teguh kepada agama yang suci.
Kaedah memerangi ajaran sesat hendaklah berdasarkan seruan dakwah yang baik dan dengan penuh hikmah. Seseorang itu perlu sedar akan nuansa dalam mengatur ketetapan tentang perbuatan manusia, terutama dalam persoalan akidah, ibadah, dan isu-isu kekufuran apalagi keimanan.
Apa yang dituntut daripadanya ialah mempersiapkan jiwa-jiwa untuk menerima nasihat dan pembaikan, tidak menghadapi mereka dengan persaingan mahupun cabaran.
Tentunya, ajaran sesat ini tidak boleh dipandang remeh, apalagi membiarkan ‘jenayah’ ini berleluasa. Perlakuan yang salah adalah seperti minyak yang dicurahkan ke dalam api, dan yang pasti terdapat cara menanganinya dengan lebih berhati-hati serta berstrategi seperti memberikan nasihat, motivasi, bengkel pemulihan dan lain-lainnya.
Justeru, inilah waktunya untuk semua organisasi Islam bersatu mengisytiharkan dengan kebenaran, keikhlasan dan kepercayaan bahawa Islam bukanlah hak eksklusif atau tidak terhad kepada mana-mana kumpulan, mazhab, parti atau kaum, sebaliknya ia adalah agama Allah yang kekal untuk semua manusia.-UTUSAN
PENULIS ialah Pegawai Kanan Jabatan Pendidikan Masyarakat (JPM) Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM).










