SEMASA menuntut di sekolah rendah dan menengah hingga menjejakkan kaki ke menara gading, adakah anda pernah terfikir kesudahan perjalanan hidup kita kelak?
Adakah kita sempat menjadi tua mempunyai anak seterusnya bercucu dan bercicit jika diizinkan Allah SWT?
Paling penting adakah sijil, diploma, ijazah, sarjana dan doktor falsafah (PhD) yang dimiliki mampu menjana wang simpanan hingga tujuh angka dengan kerjaya yang sesuai?
Simpanan pula adakah dalam bentuk wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), aset tetap seperti hartanah, perniagaan, emas, bon, saham, koleksi edisi terhad mahu pun harta pusaka ibu bapa.
Mengimbas kenangan ketika membesar di bawah asuhan ibu bapa, kedua insan keramat anugerah Allah ini sentiasa menasihati dalam semua aspek kehidupan. Selain disuruh solat, rajin belajar, makan mengikut waktu, kita sudah betah mendengar nasihat mereka untuk menabung duit lebihan belanja sekolah.
Apabila tabung penuh, ibu akan memasukkan duit ke dalam akaun bank atau Tabung Haji agar boleh mendapat giliran awal menunaikan rukun Islam kelima tersebut.
Pendek kata, ibu bapa menjadi mentor dan anak sebagai protege perlu akur segala arahan kedua figura tersebut.
Namun pada satu titik koordinat kehidupan, ibu bapa perlu melepaskan anak untuk berdikari mendaki menara gading sendirian.
Apabila sudah tamat belajar, segala ilmu yang ditimba akan menjadi pemangkin ke arah membina kerjaya, keluarga dan seterusnya persediaan hari tua kelak.
Sesungguhnya tidak semua bernasib baik seperti Mike Tyson yang tetap membawa pulang berpuluh juta dolar Amerika Syarikat (AS$) walaupun tewas kepada Jake Paul dalam perlawanan yang disaksikan jutaan penonton di seluruh dunia.
Apa yang pasti,dalam situasi dunia yang dipengaruhi letusan maklumat dan aplikasi media sosial, hala tuju Generasi Z hari ini bukan lagi memfokus menyimpan wang tetapi menjana lebih banyak wang hingga ke akhir hayat.
Pelaburan dalam bentuk pendidikan di usia muda perlu relevan dengan kehendak semasa sehingga 20 tahun akan datang.
Ini bagi memastikan mata pencarian tidak diganggu gugat oleh teknologi yang terus berinovasi pada setiap saat hingga mengambil alih peranan tenaga insan.
Untuk rekod, statistik tahun lalu menunjukkan, kira-kira 97 peratus pencarum KWSP berusia 55 tahun dan ke bawah tidak mempunyai paras simpanan ideal sebanyak RM600,000 untuk bersara dengan selesa di bandar utama.
Menurut data terkini KWSP, hanya sebilangan kecil iaitu 2.6 peratus atau 350,000 pencarum daripada 13.1 juta pencarum berusia 55 tahun dan ke bawah mencapai paras kecukupan simpanan atau paras ideal itu.
Dalam keadaan ekonomi hari ini, mungkin keperluan untuk mempunyai simpanan hingga RM1 juta dalam masa 30 tahun akan datang bukanlah sesuatu yang mustahil berlaku.
Peningkatan kos hidup berbanding pendapatan menyebabkan pernah ada pemimpin mencadangkan rakyat membuat lebih dari satu kerja bagi menampung kehidupan semasa.
Apa pun bekalan hari tua untuk rakyat negara ini, simpanan wang yang banyak ibarat gunung, jika ditarah setiap hari akhirnya akan rata juga.
Maka pada usia dalam lingkungan 10 tahun sebelum bersara, pihak kerajaan disaran mewujudkan kursus peralihan bagi memastikan pesara sektor awam mahu pun swasta bijak menguruskan kewangan.
Kita tidak mahu mendengar lagi, pesara ditipu oleh scammer hingga wang KWSP lesap melibatkan sebahagian besar simpanan dalam akaun bank mahu pun Tabung Haji.
ILMU ADALAH SEGALANYA
Pihak berkuasa juga diharap mewujudkan agensi penasihat kewangan bagi memastikan rakyat negara ini mendapat nasihat profesional dari badan yang berwibawa.
Agensi terbabit boleh diletakkan di bawah Kementerian Kewangan dan dikendalikan pakar pelaburan yang dipercayai.
Walaupun zaman ini dikatakan bukan zaman kerajaan tahu semua perkara, ada perkara yang kerajaan lebih arif iaitu mentadbir negara untuk kebajikan rakyat selaras mandat majoriti golongan tersebut.
Apabila sudah terpilih, kerajaan sudah pasti diharapkan rakyat untuk melindungi bukan sahaja keselamatan malahan harta benda mereka.
Sebagai contoh, beberapa kali caruman KWSP dibenarkan keluar bagi menampung kos hidup yang ditanggung rakyat pasca pandemik Covid-19. Walaupun nampak ia membantu rakyat, tetapi sebenarnya memberi kesan domino menjejaskan persediaan rakyat untuk menghadapi hari tua.
Sewajarnya rakyat digalakkan mengikuti kelas celik teknologi maklumat (IT), celik pelaburan di saat usia mereka masih mampu menyerap ilmu-ilmu tersebut.
Kerana itu, pencarum diminta menggunakan wang simpanan akaun 2 KWSP dengan cermat, tidak membazir dan tidak terlibat dengan mana-mana skim yang meragukan.
Hanya dengan ilmu, kita dapat mengelak daripada menjadi mangsa scammer.
Ingatlah kerana tersalah percaturan, wang hilang kesihatan pun semakin kurang.
Duit bukan segalanya tetapi segalanya memerlukan duit. Fikir-fikirkanlah.
Tuntutlah ilmu walaupun sudah bersara, jangan sekali-kali ‘pencen’ menimba ilmu. Nanti kita yang rugi menggigit jari.-UTUSAN










