Masa transformasi Lembaga Padi dan Beras Negara

Masa transformasi Lembaga Padi dan Beras Negara

OBJEKTIF utama Lembaga Padi dan Beras Negara 2.0 (LPN 2.0) untuk membangunkan industri padi dan bijirin melalui polisi, strategi dan keutamaan kepada ekosistem yang cekap di sepanjang rantaian bekalan. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPINCANGAN sektor padi dan beras yang kian berlanjutan, mengundang persoalan, perlukah Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) yang baharu diwujudkan?

Petani menyuarakan hasrat supaya LPN baharu dihidupkan semula. Hujah mereka, sudah sampai masanya sektor padi memerlukan satu lembaga yang bertanggungjawab penuh kepada pembangunan padi dan beras negara setelah sekian lama nasib petani terumbang-ambing tidak terbela dan industri ini sering dilanda pelbagai kepincangan setiap kali dilanda krisis.

Pada masa yang sama, Malaysia sekian lama mengetepikan kemampuan dalam pengeluaran bijirin lain seperti jagung, sorghum, sekoi, kacang tanah dan meneliti potensi quinoa.

Jagung memiliki potensi sebagai tanaman alternatif kepada padi dan juga bahan makanan untuk ternakan. Bijirin lain juga memiliki potensi untuk kepelbagaian penanaman, pemakanan dan juga eksport.

Sehingga kini, tiada satu bijirin pun yang menunjukkan pencapaian komersial yang membanggakan termasuk padi dan beras. Nyata penubuhan Lembaga Padi dan Bijirin Negara (LPBN) adalah tepat pada masanya. Antara bijirin ini, isu padi adalah genting kerana tidak berdaya tahan bila dicabar kepincangan pasaran.

Suara pesawah bukan omongan tetapi hakikat. Data makro dan mikro membuktikannya.

Landskap makro sektor menampilkan dengan nyata, prestasi yang sub-optimal dan kian melemah dalam semua dimensi walaupun bajet subsidi telah berlipat tiga kali semenjak 2008 dan syer subsidi pernah mengambil 40 peratus daripada perbelanjaan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (kini Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan).

Antara petunjuk utama, pertumbuhan pengeluaran hanya mencapai satu peratus dalam dua, tiga dekad yang lalu, hasil padi menurun sebanyak 10 peratus daripada 4 MT/ha pada 2008 kepada 3.6 MT/ha 2022, tahap sara diri menurun daripada purata 70 peratus sebelum 2017 kepada 63 peratus 2022.

Pelarasan data kadar sara diri (SSR) mengikut Pertubuhan Makanan Dunia (2023) mengurangkan SSR Malaysia kepada hanya 56.2 peratus untuk 2023.

Petunjuk mikro seperti pulangan kepada petani menunjukkan data yang serupa. Lebih daripada 90 peratus petani tergolong dalam B40. Purata pendapatan petani adalah kurang daripada RM1,000 sebulan.

Sawah mereka menjadi tarikan daripada perbandaran dan perindustrian terutama yang berhampiran dengan kota seperti di Alor Setar dan Pulau Pinang. Sawah di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Pulau Pinang (IADA) Pulau Pinang mengalami penurunan kawasan sawah 1,000 ha per tahun kerana tarikan industri dan perumahan.

Selepas separuh abad di bawah perlindungan, sektor padi menampilkan ciri-ciri deindutrialisasi yang ketara. Antaranya, tiada kesan pengganda kepada ke atas pembangunan industri kecil dan sederhana (IKS), inovasi yang minimum, tiada pemain baharu, struktur pasaran yang tidak bersaing dan ketidaksetaraan untung antara peserta pasaran.

Dan yang paling menyerlah sekarang adalah pengguna Malaysia hanya miliki satu pilihan ke atas beras tempatan iaitu beras campuran (tempatan dan import) walaupun Malaysia kaya dengan pelbagai varieti padi aslinya. Ini adalah petanda kegagalan pasaran memenuhi keperluan pelbagai jenis beras mengikut citarasa dan kepentingan kepada kanak-kanak, pesakit, orang tua, sektor makanan dan minuman. Juga, terbukti dengan nyata, pesawah adalah mangsa besar daripada kesan polisi perlindungan ini kerana hampir kesemua petani adalah tergolong dalam kategori B40.

Dalam kata ringkas, polisi perlindungan yang bertahan selama enam dekad tanpa sebarang rombakan besar memerlukan perubahan.

Cadangan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk menubuhkan semula LPBN adalah langkah yang permulaan terbaik.

Malaysia telah melalui era LPN yang ditubuhkan dalam 1971 dan digantikan dengan PadiBeras Nasional Sdn Bhd (Bernas) pada 1996.

LPN SUDAH USANG?
Masalah utama LPN adalah tadbir urus yang serius kerana agensi ini diberi tanggungjawab untuk melaksanakan pembangunan keseluruhan industri dengan persetujuan kerajaan tetapi beberapa fungsinya usang. Antaranya, agihan subsidi boleh dilaksanakan secara talian terus ke pesawah tanpa orang tengah.

Sebaliknya misi utama LPN 2.0 sepatutnya menghala kepada pembangunan industri padi dan bijirin yang berdaya saing, lestari, berdaya tahan dan setara. Ini mengambil kira landskap masa depan yang kompleks gabungan interaksi variabel seperti perubahan cuaca, teknologi disruptif, dinamik geopolitik dan pelbagai ketidaktentuan.

Lantas, objektif utama agensi adalah membangunkan industri padi dan bijirin melalui polisi, strategi dan keutamaan kepada ekosistem yang cekap di sepanjang rantaian bekalan.

Walaupun besar tuntutan ini, namun negara jiran kita membuktikan bahawa matlamat ini boleh dicapai dengan polisi dan strategi yang betul.

Untuk mencapai matlamat ini, ia melibatkan fungsi utama seperti penyelidikan dan pembangunan (R&D), pemindahan teknologi, kajian pasaran, pembangunan dan pemantauan pasaran, kajian pasaran, peningkatan kapasiti dan kesejahteraan pesawah serta pekebun kecil.
Agenda pertama lembaga ini mengemudi perubahan struktur secara terpimpin dan kemas.

Agenda R&D yang strategik dan terkahadapan adalah penentu kemajuan industri padi dan bijiran negara di masa muka. Lembaga perlu mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk mencartakan tema utama R&D dengan mengambilkira kemajuan digital, kecerdasan buatan (AI), cabaran perubahan iklim dan tuntutan matlamat pembangunan mampan (SDG).

Lembaga perlu memiliki data raya sektor padi dan bijirin untuk memantau penawaran, permintaan, perdagangan beras domestik serta antarabangsa, situasi stokpail negara, membina sistem amaran awalan selain pembuatan keputusan berlandaskan bukti.

Agenda yang paling kritikal adalah pembangunan kapasiti petani supaya mereka boleh mandiri dan berdaya tahan.

Untuk tujuan ini dua strategi diperlukan. Pertama, ekosistem pasaran yang bersaing (tanpa kongkongan daripada orang tengah yang berkuasa atau kartel antara peniaga besar). Ini dicapai melalui reformasi struktur.

Kedua, latihan dan sokongan kepada pemerkasaan usaha kolektif dalam kalangan petani melalui koperasi.

Hanya koperasi adalah satu-satunya wahana yang mampu memperkukuhkan kedudukan petani dalam rantaian bekalan melalui konsep ‘dari petani untuk petani’ dan ‘demi petani’.

Kepaduan koperasi terbukti jelas seperti Koperasi Ternakan Amul dimana keseluruhan ahlinya adalah penternak kecil-kecilan dan juga Koperasi Fonterra di New Zealand.-UTUSAN

PROFESOR Datin Dr. Fatimah Mohamed Arshad ialah Pemegang Kursi Sekuriti Makanan di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN