Malaysia di landasan yang betul perkukuh kemajuan tahun hadapan

Malaysia di landasan yang betul perkukuh kemajuan tahun hadapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tahun 2024 menyaksikan Malaysia melalui pelbagai cabaran dan perubahan penting di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dengan kestabilan politik yang semakin pulih, pemulihan ekonomi yang progresif serta usaha menangani isu-isu sosial secara inklusif, Malaysia dilihat berada di landasan yang betul menuju masa hadapan yang lebih cerah pada 2025.

Di bawah Kerajaan Perpaduan, Anwar berjaya menyatukan pelbagai parti politik yang berbeza ideologi, mencipta platform kestabilan politik yang dinanti-nantikan sejak sekian lama.

2024 menyaksikan kestabilan politik Malaysia yang lebih kukuh, yang mana kepimpinan beliau menekankan prinsip keterbukaan, keadilan dan integriti.

Walaupun mungkin akan ada insiden yang boleh mendatangkan isu termasuk jangkaan penyertaan pemimpin UMNO seperti Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ke dalam PKR, keutuhan Kerajaan Perpaduan tidak dijangka akan terjejas kerana ini adalah dalam kerangka dan strategi penguatan parti-parti komponen sahaja.

Sementara 2025 bakal menyaksikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. Walaupun ada kemelut antara sesama parti politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan di sana tetapi adalah dijangkakan hal ini tidak akan menjejaskan keutuhan Kerajaan Perpaduan di Putrajaya kerana PRN Sabah hanya melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Reformasi dalam pentadbiran kerajaan, termasuk usaha memerangi rasuah, memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam sektor awam. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan komitmen lebih tegas melalui peningkatan siasatan berprofil tinggi, membuktikan kerajaan serius dalam memulihkan keyakinan rakyat.

2025 juga bakal melihat beberapa inisiatif reformasi institusi diperkenalkan oleh kerajaan, sekali gus menghapuskan tanggapan bahawa ia tidak serius dalam melaksanakan reformasi.

PERTUMBUHAN EKONOMI BERDAYA SAING DAN INKLUSIF
Ekonomi Malaysia pada 2024 menunjukkan pemulihan yang memberangsangkan meskipun berhadapan cabaran global seperti ketidaktentuan geopolitik dan kelembapan ekonomi dunia. Melalui dasar ekonomi yang inklusif dan berpandangan jauh, 2025 dijangka menjadi tahun penting bagi Malaysia mencapai pertumbuhan lebih mampan.

Inisiatif Ekonomi Madani yang diperkenalkan oleh Anwar pada 2023 terus memberikan kesan positif. Fokus kepada pembangunan berteraskan rakyat, peningkatan kemahiran pekerja serta pelaburan dalam teknologi hijau dan digital menjadikan Malaysia lebih kompetitif di peringkat global.

2025 merupakan tahun penting dalam mana penyasaran subsidi minyak RON95 bakal dilaksanakan pada pertengahan tahun demi manfaat kepada 85 peratus golongan bawahan. Ia adalah kesinambungan dari pendekatan penyasaran semula subsidi diesel pada pertengahan 2024 yang menunjukkan kesan positif dalam mengurangkan ketirisan dan penyeludupan bahan api.

2024 juga menyaksikan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) yang lebih stabil, terutama dalam sektor perkilangan, tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi digital. Dasar mesra pelabur yang diperkenalkan kerajaan menyumbang kepada penciptaan lebih banyak peluang pekerjaan baharu dan dijangka berterusan pada tahun 2025.

KESEJAHTERAAN RAKYAT DAN INKLUSIVITI
Kepimpinan Anwar turut menekankan aspek kesejahteraan sosial dan inklusiviti dalam membangunkan Malaysia. 2024 menyaksikan pelbagai inisiatif kerajaan yang berfokus kepada rakyat dan usaha ini dijangka akan diperkukuh menjelang 2025.

Program bantuan tunai bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta skim bantuan kepada golongan miskin bandar dan luar bandar menunjukkan impak positif. Usaha berterusan untuk mengurangkan jurang pendapatan akan diteruskan pada 2025.

Kerajaan memberikan tumpuan kepada pembaharuan sistem pendidikan untuk memastikan ia selaras dengan keperluan ekonomi digital dan industri 4.0. Penekanan terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dijangka melahirkan tenaga kerja mahir dan berdaya saing.

Kepimpinan Anwar turut menekankan hak semua kaum dan agama dalam suasana harmoni. Usaha mempromosikan dialog antara agama dan budaya telah menyumbang kepada kestabilan sosial, sekali gus mengukuhkan perpaduan rakyat.

Pelaksanaan pelan kesihatan baharu serta peningkatan akses kepada kemudahan kesihatan awam menunjukkan komitmen kerajaan dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat. Langkah menangani isu kesihatan mental juga diberi perhatian khusus.

PERANAN LEBIH MENONJOL
Pada tahun hadapan, Malaysia dijangka memainkan peranan lebih menonjol di peringkat antarabangsa, terutamanya melalui kepengerusian ASEAN.

Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia mempunyai peluang untuk memperjuangkan isu serantau. Malaysia dijangka menjadi pemimpin dalam menangani cabaran serantau seperti keselamatan maritim di Laut China Selatan, isu Myanmar dan pemulihan pasca pandemik di Asia Tenggara.

Dengan fokus kepada integrasi ekonomi serantau, Malaysia berupaya mempercepatkan pelaksanaan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) dan mendorong inovasi dalam sektor digital serta teknologi hijau.

Kepimpinan Anwar yang menekankan keadilan global dan keterangkuman akan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai suara sederhana yang disegani dalam isu global, termasuk perubahan iklim dan hak asasi manusia.

Anwar berpeluang memanfaatkan kepengerusian ini untuk menarik lebih banyak pelaburan asing ke Malaysia, sekali gus meningkatkan daya saing ekonomi negara.

MENUJU 2025 YANG LEBIH MAMPAN DAN BERDAYA SAING
Berdasarkan pencapaian dan hala tuju pada 2024, Malaysia berada di landasan yang betul di bawah kepimpinan Anwar. Dengan kestabilan politik yang kukuh, dasar ekonomi yang inklusif serta fokus terhadap kesejahteraan sosial, Malaysia dijangka mampu mencapai kemajuan yang lebih besar pada tahun hadapan.

Kepimpinan yang berpandangan jauh, reformasi institusi yang tegas serta komitmen terhadap pembangunan rakyat menjadi tonggak utama kejayaan Malaysia di bawah Kerajaan Perpaduan.

Cabaran pasti akan terus wujud, namun dengan semangat kerjasama dan kepercayaan rakyat, Malaysia mampu merealisasikan visi negara yang lebih maju, adil dan inklusif untuk semua.-UTUSAN

DR. Mazlan Che Soh ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN