Jangan kita lupa siapa diri kita

Jangan kita lupa siapa diri kita

APABILA ditanya negara mana yang perlu Malaysia contohi, Tengku Razaleigh Hamzah berkata tidak lain tidak bukan hanya Malaysia patut menjadi contoh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIKA kita inginkan Malaysia menjadi sebuah negara maju dan terbilang, maka setiap daripada kita mesti berusaha keras memainkan peranan masing-masing dalam pembinaan negara ini. Sekadar memasang angan-angan dan melontarkan kata-kata yang membara tidak akan membawa kita ke mana-mana.

Negara harus melahirkan rakyat yang berintegriti, berilmu serta tidak mudah dimanipulasikan oleh mereka yang berkepentingan. Pada masa yang sama, kita memerlukan pemimpin yang bukan sahaja bijak dan berilmu tetapi juga berpengalaman serta berpandangan luas.

Mereka harus mampu melaksanakan tugas dengan cemerlang serta pragmatik dalam menyelesaikan segala masalah berbangkit dan bukannya mengemukakan idea berdasarkan pelbagai teori beretorik. Risau nanti jika tersilap hari bulan, jadilah ibarat tikus membaiki labu.

Ilmu amatlah penting dalam usaha kita mengangkat martabat negara. Kita harus membuktikan kehebatan kita di persada dunia dan bukannya cuma bising berbalah sesama kita dan sekadar gempar-gempur berbicara bagaikan tin kosong. Berhujah biarlah bijak dan cermat serta berdasarkan fakta yang sahih. Tanpa ilmu, maka sukar bagi kita untuk membezakan intan dan permata. Begitu juga untuk memilih antara kebenaran dan kebatilan.

Luasnya ilmu ibaratnya lautan dalam yang tidak bersisi. Malah, tiada siapa yang boleh berdabik dada bahawa dialah yang paling berilmu. Orang berilmu tinggi selalu merendah diri, sedangkan yang kurang berilmu apabila beroleh sedikit kelebihan bertambah sombonglah jadinya.

Seperti buah padi, makin berisi makin rendah. Jangan seperti lalang, makin lama makin tinggi.

Menuntut ilmu bukan sekadar belajar di bilik darjah dan dewan kuliah sahaja. Sebagai insan yang masih bertatih menimba ilmu, kita juga harus melangkah keluar daripada tembok sekolah dan universiti untuk belajar daripada mereka yang arif tentang sesuatu bidang serta luas pengalamannya.

Bagi semester ini dalam pengajian saya di universiti, saya telah mengambil kursus bertajuk Pemikiran dan Pengalaman Politik Malaysia, di mana kami diberikan tugasan bagi mengatur temu ramah bersama pemimpin politik bagi mendalami pengalaman dan gagasan pemikiran mereka.

Salah satu pemimpin yang kami temui ialah seorang negarawan yang sangat dihormati di seluruh dunia serta begitu besar jasanya kepada negara, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah.

Namun, kami sangat risau memandangkan hanya mempunyai ruang waktu kurang daripada seminggu bagi mengatur temu janji tersebut. Walau bagaimanapun, Alhamdulillah, kami merasa sangat bersyukur kerana Tengku dapat meluangkan masa bertemu kami walaupun mempunyai jadual kerja yang sangat padat.

Pertemuan lebih dua jam ini amat bermakna bagi kami, terasa masa berlalu begitu pantas kerana masih banyak perkara yang mahu kami pelajari. Tengku Razaleigh bukan sahaja merupakan seorang pemimpin yang sangat berpengalaman tetapi juga luas ilmunya.

Tengku membawa kami menyelusuri sejarah negara serta jerit perih pengorbanan pemimpin terdahulu dalam memajukan dan membebaskan negara daripada campur tangan kuasa luar. Beliau bercerita tentang penderitaan yang dihadapi akibat kekejaman tentera Jepun dan pengganas komunis serta pengorbanan besar tentera dan pasukan keselamatan.

Bercakap tentang kuasa, Tengku bermula dengan memberi penerangan tentang perjalanan sejarah sistem pemerintahan serantau yang dahulunya mengamalkan sistem pemerintahan beraja mutlak, sebagai contohnya kerajaan Majapahit.

Kedatangan Islam telah merubah keadaan di mana setelah raja-raja pemerintah memeluk Islam, satu per satu kesultanan Melayu mula mengamalkan sistem pemerintahan berperlembagaan berlandaskan syariah. Begitulah evolusi sistem pemerintahan kita sebelum kita beralih kepada sistem pemerintahan raja berperlembagaan dengan demokrasi berparlimen yang kita amalkan pada hari ini.

Menyentuh tentang keadaan geopolitik dunia pada ketika ini, Tengku menerangkan tentang impaknya kepada dunia jika hubungan di antara negara-negara terbabit bertambah tegang, khususnya cabaran yang terpaksa dihadapi negara kita akibat percaturan kuasa-kuasa besar ini.

Dalam hal ini, pemimpin harus bijak dan tidak melakukan tindakan yang merugikan negara.

Tengku turut menerangkan kepada kami tentang cabaran yang dihadapi dalam mentadbir negara mengikut peredaran zaman. Beliau turut bercerita tentang kemajuan yang kita nikmati pada hari ini berbanding ketika negara ini mula ditubuhkan dahulu. Ini termasuklah peluang belajar yang kini jauh lebih baik.

Sepanjang perbincangan, di antara perkara yang sering beliau tekankan ialah bahaya dan kerosakan akibat salah guna kuasa. Menurut Tengku Razaleigh, itulah antara sebab kenapa beliau menolak apabila beberapa kali ditawarkan kedudukan dan jawatan yang sangat tinggi dalam dunia politik negara.

Sambil menjawab soalan kami, beliau berkali-kali mengingatkan kami betapa pentingnya untuk kita sentiasa mempunyai sikap amanah, tidak gilakan kuasa serta menjaga adab dan budi. Jika kita benar-benar mengamalkan cara hidup berlandaskan ajaran agama Islam, negara kita akan makmur.

Ini tanah air kita yang harus kita banggakan sebagai tempat yang terbaik untuk kita. Jika timbul sebarang masalah, kita yang harus berusaha menyelesaikannya agar keadaannya menjadi lebih baik. Dunia akan menghormati kita jika kita berjaya membuktikan kebolehan kita memacu kejayaan yang membanggakan.

Seperti itulah boleh berjayanya beliau dalam membina ekonomi negara, termasuk kejayaannya dalam merangka Serangan Subuh Guthrie, merampas kembali syarikat-syarikat Sime Darby, London Tin, serta telaga-telaga minyak di Sarawak. Inilah juga tokoh yang bertanggungjawab menubuhkan Petronas, selain menjadi tulang belakang dalam penubuhan banyak institusi seperti Permodalan Nasional Berhad, Bank Pembangunan Malaysia, Bank Islam, Syarikat Takaful, malah juga Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Apabila ditanya negara mana yang perlu Malaysia contohi, Tengku berkata tidak lain tidak bukan hanya Malaysia patut menjadi contoh acuan. Jika kita inginkan Malaysia menjadi sebuah negara maju dan terbilang, maka janganlah kita lupakan siapa diri kita hanya kerana mencemburui yang lain. Jika ada masalah, betulkannya dengan cara yang sesuai bagi konteks tempatan. Jangan gunakan acuan orang lain bagi pakaian sendiri. – UTUSAN

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×