Jaga tepi kain demi keselamatan kanak-kanak

Jaga tepi kain demi keselamatan kanak-kanak

KES-KES gangguan seksual, pencabulan, amang seksual serta rogol kanak-kanak dan remaja berumur bawah 18 tahun semakin kerap dilaporkan di media.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini, pendakwah selebriti, Azman Syah Alias dihukum penjara 14 bulan oleh Mahkamah Majistret Klang selepas mengaku bersalah melakukan kelucahan melampau terhadap seorang remaja lelaki berumur 18 tahun.

Sebelum ini, dia diperintahkan menjalani hukuman penjara 24 tahun dan dua sebatan selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki berumur 17 tahun.

Kes gangguan seksual, pencabulan, amang seksual dan rogol kanak-kanak dan remaja berumur bawah 18 tahun memang kerap dilaporkan di media. Pasti sahaja semua ini amat membimbangkan dan menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) digubal bagi meningkatkan usaha memelihara, melindungi dan memulihkan kanak-kanak. Seksyen 17, Seksyen 38 dan Seksyen 41 akta ini memperincikan kategori kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan.

Bagaimanapun, Akta 611 turut memberi tumpuan kepada kanak-kanak yang ditahan kerana melakukan kesalahan dan perlu dibicarakan di mahkamah.

Dalam situasi ini, Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792) lebih menumpukan aspek perlindungan dan keadilan bagi kanak-kanak di bawah umur 18 tahun yang menjadi mangsa jenayah seksual.

Kita sebagai masyarakat prihatin amat wajar mengambil tahu tentang peruntukan Akta 792 supaya tahu apa yang patut dilakukan jika menyaksikan insiden kanak-kanak menjadi mangsa kesalahan seksual.

Misalnya, sebagaimana diterangkan dalam Seksyen 4, pornografi kanak-kanak merangkumi bahan berbentuk visual, audio atau bertulis yang menggambarkan kanak-kanak terlibat dalam perlakuan seksual.

Seksyen 5 hingga Seksyen 10 memberikan penjelasan lanjut berkaitan menghasilkan, mengedarkan dan mengakses bahan pornografi kanak-kanak. Ibu bapa, guru dan orang dewasa yang prihatin amat wajar membaca dan memahami semua peruntukan itu.

Ilmu ini membolehkan kita membimbing kanak-kanak dan remaja yang mungkin tidak menyedari hakikat mereka menjadi mangsa kesalahan seksual. Dengan ini, barulah kita mampu membina persekitaran yang selamat dengan kanak-kanak tahu diri mereka dilindungi.

Kesalahan seksual bukan hanya berlaku secara fizikal. Malah, perbuatan berkomunikasi secara seksual dengan kanak-kanak juga satu jenayah. Komunikasi ini misalnya menerusi panggilan telefon, kiriman mesej bertulis atau kiriman visual (ilustrasi atau foto) berunsur seksual.

Perkara yang dinyatakan dalam Seksyen 11 diperincikan dalam Seksyen 12 dan Seksyen 13 dengan menjelaskan perbuatan pengantunan kanak-kanak, yang mana golongan pedofilia memanipulasi dan mengeksploitasi kanak-kanak untuk menjadikan mereka mangsa perlakuan seksual.

Kalau dulu kita hanya mendengar frasa ‘gangguan seksual’, kini ada pula amang seksual yang biasanya melibatkan mangsa kanak-kanak dan remaja bawah umur 18 tahun.

Tahniah dan terima kasih kepada guru taska, tadika dan sekolah rendah yang mengambil inisiatif mendidik kanak-kanak tentang ‘sentuhan positif’ dan ‘sentuhan negatif’. Bimbingan ini amat perlu bagi memastikan kanak-kanak tidak menjadi mangsa eksploitasi seksual.

Dalam hal ini, amang seksual fizikal bukan hanya apabila pedofilia menyentuh mana-mana bahagian badan seorang kanak-kanak secara seksual. Sebaliknya juga apabila kanak-kanak itu diminta menyentuh bahagian tubuh sendiri atau orang lain secara seksual.

Amang seksual bukan fizikal pula berlaku apabila seseorang menggunakan perkataan atau bunyi, isyarat atau objek, serta mana-mana bahagian badannya secara seksual untuk dilihat atau didengar oleh seorang kanak-kanak. Begitu juga jika meminta seorang kanak-kanak melakukan perkara sedemikian.

Takrif amang seksual bukan fizikal termasuk perbuatan jijik melakukan aktiviti bersifat seksual di hadapan kanak-kanak atau membenarkan kanak-kanak itu menyaksikan aktiviti seksual orang lain. Termasuk dalam kategori ini ialah bahan audio, visual atau bertulis.

Sekiranya kita membaca berita mengenai individu yang ditahan dan dibicarakan dalam kes amang seksual, liwat, mencabul dan kelucahan melampau melibatkan mangsa kanak-kanak, kebanyakan pelaku ialah orang dikenali mangsa.

Seksyen 16 dalam Akta 792 menegaskan, jika pesalah dalam kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak melibatkan orang yang ada hubungan amanah dengan kanak-kanak terbabit, maka hukuman tambahan hendaklah diberi kepadanya.

Pihak yang dimaksudkan termasuklah ibu, bapa, ibu tiri, bapa tiri, saudara mara yang ada pertalian darah, keluarga angkat dan pengasuh. Termasuk juga dalam kategori ini ialah jurulatih, guru, pensyarah dan warden tadika atau sekolah.

Maksudnya, individu yang memang dikenali dan dipercayai oleh kanak-kanak berkenaan. Maka, tentulah amat mengecewakan malah menimbulkan kemarahan apabila kita membaca berita tentang kanak-kanak menjadi mangsa eksploitasi seksual oleh orang yang sepatutnya menjaga dan melindungi kanak-kanak itu.

AMBIL TAHU
Dalam kehidupan sekarang, kita sering memilih untuk tidak menjaga tepi kain orang. Perkara seperti ini banyak diperhatikan dalam siasatan kes penderaan, keganasan rumah tangga dan sumbang mahram.

Jiran dan tetangga sama ada langsung tidak tahu atau memilih untuk tidak masuk campur walaupun menyedari ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku di rumah sebelah.

Dalam hal ini, Seksyen 19, Akta 792 mengingatkan bahawa sesiapa yang ada maklumat tetapi tidak melaporkan kepada polis apa-apa kes jenayah ke atas kanak-kanak, maka mereka melakukan satu kesalahan. Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM5,000.

Hukuman juga menanti sesiapa yang bersubahat dalam melakukan kesalahan jenayah melibatkan kanak-kanak. Maknanya, orang itu tidak terlibat secara langsung tetapi telah membantu tertuduh sehingga berlakunya jenayah itu.

Walaupun sudah ada Akta 611 dan Akta 792 yang digubal bagi melindungi kanak-kanak dan remaja bawah umur 18 tahun, masih banyak kes jenayah seksual ke atas kanak-kanak terus berlaku. Laporan media menjadi bukti kepada hal ini.

Maka, orang ramai harus kembali menjaga tepi kain orang demi melindungi kanak-kanak daripada menjadi mangsa amang seksual dan pengantunan kanak-kanak. – UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×