Satu ketika apabila mewawancara Prof. Emeritus Datuk Dr. Ir. Muhamad Zohadie Bardaie yang menjawat jawatan naib canselor, beliau memberi justifikasi kenapa nama UPM pada 1997 ditukar daripada Universiti Pertanian Malaysia kepada Universiti Putra Malaysia.
Katanya, ketika itu UPM sudah mempunyai fakulti perubatan, tetapi Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Canselor telah memberi kata putus, tiada penukaran nama.
Bagaimanapun, isunya apa masalah dengan nama itu dan kenapa isu tersebut tiba tiba timbul. Adakah ada tangan tangan ghaib atau tangan tangan politik di belakang. Apakah UPM sudah kurang DNA pertanian, jika tidak ada perkataan pertanian pada namanya?
Bagi Felo Putra Bussines School UPM, Prof. Datuk Dr. M Nasir Shamsudin, universiti berkenaan sebenarnya telah tersohor dalam bidang pertanian dan keterjaminan makanan.

Kata beliau, sebagai universiti yang bertunjangkan disiplin pertanian dan makanan sejak 1971, UPM menyumbang kepada keterjaminan makanan melalui program akademik, penyelidikan dan inovasi dan khidmat pengembangan.
“Lebih daripada 65 peratus program-program pengajian akademik adalah dalam berkaitan bidang pertanian,” ujarnya.
Beliau memberitahu, kedudukan UPM dalam QS World University Rankings by Subjects (Agriculture and Forestry) adalah adalah 74.
Dalam US Best Global Universities Rankings by Subjects (Agricultural Sciences), UPM di kedudukan 36. Dalam National Taiwan University Ranking (NTU RANKING) – Performance ranking of scientific papers for world universities (Rank by Subjects) – Agricultural Sciences pula, UPM di kedudukan 45.
UPM, kata beliau mempunyai potensi yang besar untuk memainkan peranan penting dalam meningkatkan keterjaminan makanan negara kerana terdapatnya beberapa hasil penyelidikan dan inovasi dalam bidang pertanian.
“Saya kategorikan inisiatif potensi ini kepada dua tahap, iaitu memperkukuhkan dan memfokuskan semula aktiviti-aktviti UPM. Inisiatif yang perlu diperkukuhkan termasuk program akademik dan aktiviti penyelidikan, sementara inisiatif untuk difokuskan semula adalah inovasi penyelidikan, keusahawanan, dan hubungan dengan industri,” ujar beliau.
UPM juga perlu mengaplikasi teknologi sistem pertaniannya termasuklah antara lain, sensor tanah dan air, pengesanan cuaca, pengimejan satelit, automasi, teknologi minichromosomal, pertanian menegak, kecerdasan buatan, nanoteknologi, aplikasi sistem penentu kedudukan global (GPS), robot dan pertanian tepat.

Dalam menggunakan teknologi ini misalnya, petani tidak lagi perlu menggunakan air, baja, dan racun perosak secara merata di seluruh ladang.
UPM juga perlu memfokuskan semula – konvergen beberapa teknologi yang baru muncul, seperti biologi sintetik, kecerdasan buatan, kejuruteraan tisu, dron dan robotik akan mempengaruhi terhadap masa depan pengeluaran makanan dan sekuriti makanan.
Persatuan Alumni UPM (PAUPM) pula berharap, universiti berkenaan kembali kepada budaya penyelidikan sebelum ini yang memerlukan saintis universiti berkenaan turun padang berkongsi hasil penyelidikan kepada rakyat
Presiden PAUPM, Datuk Raihan Sharif berkata, UPM patut menerima lebih dana untuk tujuan melaksanakan penyelidikan dan pembangunan serta pengembangan kemudiannya dikongsi kepada orang ramai.
Usaha usaha tersebut memerlukan dana kerana UPM mempunyai ramai profesor pertanian yang sepatutnya dimanfaatkan menjalankan penyelidikan pertanian. Namun beliau kecewa kerana sejak beberapa tahun kebelakangan , peruntukan untuk universiti awam telah dikurangkan sehingga 50 peratus.
Beliau turut mencadangkan supaya satu blue print pembangunan pertanian menyeluruh diwujudkan kerajaan bagi melihat semula isu-su pertanian dalam tempoh jangka panjang termasuk melibatkan institusi lain yang juga menjalankan penyelidikan pertanian
“Kami di persatuan sepakat menolak penukaran nama UPM tetapi berharap universiti ini diberi peruntukan yang mencukupi untuk memperkasa pertanian dan isu penukaran nama tidak lagi berbangkit selepas ini,” katanya.
Raihan yang juga bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (2010 -2015) berkata, banyak universiti di dunia tidak menukar nama meski pun teras atau bidang tujahan (niche area) nya adalah pertanian.
Beliau memberi contoh dua universiti di Amerika iaitu University of California, Davis (UC Davis) – Amerika Syarikat UC Davis adalah salah satu universiti terbaik di dunia untuk bidang pertanian dan sains alam sekitar.
Sebuah lagi universiti ialah Universiti Cornell yang mempunyai salah satu sekolah pertanian terbaik di dunia, iaitu College of Agriculture and Life Sciences. Universiti tersebut menggabungkan penyelidikan dalam pertanian dengan teknologi terkini dan inovasi dalam sektor pertanian.
Universiti tersebut terkenal dengan program pertanian yang luas, termasuk dalam bidang bioteknologi, pertanian lestari, dan ekosistem alam sekitar.
Maka, isu penukaran nama UPM tidak lagi berbangkit sebaliknya perkasakan semula fungsi dan tanggungjawabnya.
Malah untuk tujuan itu, universiti berkenaan mengambil inisiatif menjenamakan semua aktiviti-aktiviti pengembangan pertanian dan keterjaminan makanan di bawah jenama Pertanian Untuk
Rakyat (PUTRA) yang dilancarkan oleh Tuanku Canselor UPM.
PUTRA yang dilancarkan di Istana Alam Shah, Klang sebelum ini. melambangkan sumbangan penting UPM dalam memperkasa bidang pertanian serta komitmen universiti ini dalam memajukan pertanian untuk kepentingan masyarakat.
Naib Canselornya, Datuk Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah berkata, penjenamaan tersebut memberikan pendedahan kepada masyarakat bahawa UPM bersama agensi terlibat menyediakan pelbagai program latihan, pendidikan, dan penyelidikan kepada petani tempatan yang boleh menyumbang kepada peningkatan sara hidup dan pembangunan ekonomi mereka.
“Dalam usaha ini, UPM giat bekerjasama dengan agensi luar seperti projek Inisiatif Pendapatan Rakyat Inisiatif Usahawan Tani (IPR-INTAN @ UPM), program pengembangan PUTRA oleh Pusat
Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) dan persidangan penegtahuan membincangkan agenda keterjaminan makananan,” ujarnya.
Sebagai latar belakang, UPM mula ditubuhkan sebagai sebuah Sekolah Pertanian pada 21 Mei 1931. Ia dibangunkan di kawasan seluas 22 ekar di Serdang dan menawarkan dua program sahaja pada masa itu iaitu program diploma tiga tahun dan program persijilan setahun dalam bidang pertanian.
Pada 23 Jun 1947, Sekolah Pertanian itu dinaik taraf sebagai Kolej Pertanian Malaya oleh Gabenor Malayan Union ketika itu, Sir Edward Gent.
Penubuhan UPM seterusnya tercetus apabila Sekolah Pertanian di Serdang itu bergabung dengan Fakulti Pertanian, Universiti Malaya dengan Dr. Mohd. Rashdan Baba, yang merupakan pengetua Kolej Pertanian Malaya, dilantik sebagai Naib Canselor di bawah Seksyen 18, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.
UPM memulakan sesi akademiknya pada 23 Julai 1973 dengan pengambilan seramai 1,559 pelajar. Pelajar-pelajar tersebut memulakan pengajian di tiga fakulti pengasas dan satu bahagian asasi iaitu Fakulti Kedoktoran Veterinar dan Sains Penternakan, Fakulti Perhutanan, Fakulti Pertanian dan Bahagian Sains Asasi, yang pada masa itu menekankan bidang perhutanan dan veterinar selaras dengan dasar dan keperluan negara.
Pada tahun 1980-an, UPM mengembangkan bidang pengajian ke bidang sains dan teknologi (S&T).
Pada 3 April 1997, nama UPM ditukar daripada Universiti Pertanian Malaysia ke Universiti Putra Malaysia oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, bagi menggambarkan status
UPM sebagai pusat pengajian tinggi yang merangkumi pelbagai bidang, terutamanya sains dan teknologi maklumat yang menjadi keperluan kepada pembangunan negara di alaf baru ini.
Semasa isu UPM hendak nama dahulu, antara yang dibangkitkan adalah Universiti Serdang sebelum akhirnya UPM digunakan sekarang.
UPM kini mempunyai Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan yang ditubuhkan pada 1997.
Saya percaya penubuhan fakulti tersebut menjadi antara penyebab kenapa pertanian ditukar kepada Putra.
Menurut Zohadie, bayangkan keluarga pesakit yang dirawat di hospital bertanya doktor dari manakah yang merawat pesakit itu,
“Bayangkan perasaan keluarga tersebut jika jawapannya ialah doktor daripada Universiti Pertanian Malaysia,” ujarnya kepada saya tanpa mengulas lanjut dan saya hanya mengangguk. – UTUSAN











