Bahasa Kebangsaan ‘terkorban’ di sekolah vernakular?

Bahasa Kebangsaan ‘terkorban’ di sekolah vernakular?

SEKOLAH Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) perlu menitik beratkan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan supaya dapat memupuk identiti nasional dan budaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POTENSI kebangkitan China sebagai kuasa dunia ulung kelihatan semakin nyata. Hal ini sudah lama diimpikan etnik Cina Malaysia bukan sahaja sangat mengujakan, juga menjadikan mereka semakin bongkak saban hari.

Ini antaranya dapat dilihat apabila mereka dengan angkuhnya mewajarkan kewujudan pendidikan Cina di negara ini sebagai tepat dari mulanya lagi, apatah lagi kini dengan perkembangan geopolitik dunia semasa ini.

Sehubungan ini, etnik Cina di sini mula berasa yakin selain megah, malah riak dalam hal ini. Ini kerana pengetahuan baik dan penguasaan tinggi bahasa Mandarin yang diperoleh melalui pendidikan Cina selama ini, yang sengit dipertikai oleh pihak tertentu, didapati amat berguna sekali kini.

Ini ditambah hujahnya dengan kehadiran ramai murid bukan Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), khususnya Melayu yang mahu ikut meraih manfaat untuk boleh dan seterusnya mahir berbahasa Mandarin.

Sebenarnya kewujudan SJKC untuk membekalkan pendidikan Cina kepada etnik Cina adalah sesuatu yang amat munasabah. Ini kerana identiti etnisiti Cina itu wajar dipastikan tidak hilang, lebih-lebih lagi di kawasan di luar tempat watannya.

Ia selari dengan Perisytiharan Kepelbagaian Budaya 2001 yang dikeluarkan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Namun ia hendaklah berpada-pada di negara ini mengikut filsafat peribahasa Melayu di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.

Malangnya ini sama sekali tidak berlaku. Sebaliknya pendidikan Cina di Malaysia mahu dilestarikan dalam bentuk yang terang-terangan akan menjejaskan kedudukan serta perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa negara. Dengan kata lain, kewujudan pendidikan Cina banyak mengorbankan bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara ini.

Gejala ini dapat dilihat sepanjang kewujudan SJKC yang selalu mempertikai apa-apa jua saranan yang melibatkan mata pelajaran bahasa Melayu meskipun untuk tujuan kebaikan etnik Cina sendiri. Antaranya termasuklah menambah waktu pendidikan agar murid Cina lebih mahir. Ia yang akhirnya dapat juga dilakukan, sebenarnya tidak akan mempunyai apa-apa jua dampak signifikan. Ini kerana ia tidak pun diterima pada kadar sepatutnya yang benar-benar boleh membantu mengatasi masalah kemahiran itu.

Terbaharu adalah penolakan keras daripada etnik Cina kepada saranan untuk menyelaraskan sukatan pelajaran bahasa Melayu peringkat sekolah rendah di semua institusi pendidikan kerajaan. Ia yang mula disarankan pada 2015 lagi bukan sahaja terus-terusan ditolak habis-habisan tetapi tetap dibantah dengan agresifnya setiap kali diangkat semula. Ia dibuat atas dasar penyelarasan itu akan menjejaskan identiti SJKC yang perlu menyerlahkan citra Cina yang totok.

Dengan ini, bahasa Melayu yang diajar itu tidak boleh sesekali bersifat lebih sempurna sama seperti yang berlaku di Sekolah Kebangsaan (SK). Untuk ini, ia hendaklah terus mengekalkan sukatan pelajaran lama yang mahu murid Cina selama-lamanya mempelajari bahasa Melayu sebagai hanya bahasa kedua, yakni setelah membereskan bahasa Mandarin yang dianggap bahasa pertama.

Hujah bahasa Melayu adalah bukan bahasa ibunda etnik Cina walaupun benar dari satu segi, langsung tidak mencerminkan jati diri kebangsaan yang wajib ada pada setiap warganegara Malaysia. Ia sepatutnya tidak dihujahkan sebegini kerana akan membabitkan persoalan nasionalisme dan patriotisme pada etnik Cina itu sendiri.

Namun inilah hakikatnya. Bahasa negara yang rata-ratanya tidak diketahui dengan baik, apatah lagi dikuasai pada tahap tinggi, tidak mahu pun dijadikan keutamaan mendesak oleh etnik Cina yang kini 95 peratus daripada mereka memilih SJKC untuk pendidikan sekolah rendah bagi anak mereka.

Entahlah bilakah masanya etnik Cina akan berjiwa Malaysia untuk menyedari hakikat bahawa mereka mendiami bumi Melayu-Islam? Oleh itu, mereka wajib mengikut peraturan setempat. Antaranya menerima bahasa dan budaya Melayu sebagai peraturan yang wajib dipatuhi atas juga dasar masuk kandang kambing mengembek masuk kandang kerbau menguak.

Sesungguhnya SJKC yang banyak dicemuh itu adalah antaranya kerana kewujudannya sama sekali bukan sahaja tidak membantu bahasa Melayu tetapi memusnahkannya. Ini kerana ia terlalu taasub kepada bahasa Mandarin yang walaupun berstatus bahasa sukuan etnik Cina sahaja, sehingga sanggup menjahanamkan reputasi bahasa Melayu yang berperanan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.

TIDAK ADIL
Dengan SJKC yang tidak mahu berkompromi langsung, keberadaannya adalah sesuatu yang sangat tidak adil kepada sistem pendidikan negara. Ini kerana martabat bahasa Melayu selaku bahasa negara bukan sahaja sangat terjejas, malah hilang sama sekali.

Dengan ini, keberadaan SJKC sama sekali tidak menguntungkan sistem pendidikan negara. Ia yang sepatutnya sebagai juga sekolah kebangsaan, walaupun hanya ala atau separa sahaja, hendaklah melengkapi SK yang merupakan aliran utama. Ini adalah dengan ikut memartabatkan bahasa Melayu selaku bahasa negara pada kadar wajar kepada bahasa negara.

Sebaliknya SJKC mahu terus unggul dengan bahasa Mandarin sehingga mengorbankan kemuliaan bahasa Melayu selaku bahasa negara.

Etnik Cina tidak boleh terus-terusan bersikap sebegini terhadap bahasa Melayu. Ia bukan sahaja menunjukkan bahawa etnik Cina tiada keterikatan kepada negara ini, lebih-lebih lagi dari sisi sosiobudaya watan. Juga ia memperlihat sikap rakus yang selalu mahu untung untuk diri sendiri sahaja tanpa mengira dampaknya kepada negara.

Ini sangat tidak baik kepada citra Malaysia, khususnya identiti nasional untuk negara dan identiti budaya untuk rakyatnya. Ini kerana bahasa negara adalah penghubung utama antara rakyat dengan negara yang mereka akui sebagai tanah air.-UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN