Anak-anak, bantu ibu bapa bahagia

Anak-anak, bantu ibu bapa bahagia

IBU bapa wajar mendapat perlindungan sewajarnya pada usia emas. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK semua kehidupan warga emas berakhir tenang dengan dikelilingi anak cucu. Di seluruh dunia, terdapat beberapa budaya dan kisah rakyat yang memperihalkan nasib warga emas atau ibu bapa yang menerima perlakuan buruk, ditelantarkan, malah dibunuh oleh anak-anak seperti budaya Ubasute/Ubasuteyama di Jepun, perlakuan masyarakat Inuit di Artik, etnik Chukchi di Siberia serta budaya Thalaikoothai di India.

Walaupun pengamalan budaya ini ‘hilang’ ditelan zaman, namun ia muncul kembali dengan rupa bentuk dan versi berbeza.

Kisah ibu bapa yang ditinggalkan di kawasan awam, di tepi jalan, di depan pagar pusat kebajikan dan di surau merupakan antara berita yang pernah dilaporkan media negara ini.

Baru-baru ini kita dikejutkan lagi dengan berita tragis seorang anak sanggup membunuh ibunya dan menyimpan mayat wanita berusia 80-an tersebut di dalam peti sejuk selama tiga tahun.

Sebenarnya, saya pernah membangkitkan isu mengenai dinamisme perundangan dan warga emas menerusi artikel bertajuk Bersedia Jadi Negara Menua (Utusan Malaysia, 22 November 2022). Justeru, artikel kali ini berusaha untuk melebarkan lagi sudut pandang tersebut dengan membangkitkan beberapa persoalan yang boleh difikirkan bersama.

PENGABAIAN
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memetik kajian dilakukan pada 2017 terhadap 52 penyelidikan di 28 buah negara mendapati satu daripada enam warga emas (15.75 peratus) mengalami penganiayaan.

Pelbagai jenis penderitaan dialami warga emas dengan penganiayaan dari aspek psikologi menduduki ranking tertinggi, diikuti dari sudut kewangan, ditelantarkan, penganiayaan fizikal sehinggalah penderaan seksual.

Mengejutkan lagi apabila kajian tersebut juga menzahirkan 64.2 peratus pekerja di institusi penjagaan seperti hospital dan rumah kebajikan mengakui pernah melakukan penderaan terhadap warga emas.

Saya sendiri pernah menyaksikan pasangan suami isteri yang berusia 70-an memfailkan kes permohonan perceraian di mahkamah syariah. Apabila diselidiki, suami isteri tersebut baru setahun mendirikan rumah tangga setelah pasangan masing-masing dari perkahwinan pertama meninggal dunia.

Walaupun pasangan ini saling menyayangi, malangnya mereka terpaksa mengambil keputusan untuk mengakhiri perkahwinan disebabkan tidak tahan dengan pertelingkahan berterusan yang berlaku antara anak masing-masing. Malah anak tersebut tanpa segan silu menuduh ibu tirinya berusaha mengikis harta pusaka ayahnya sedangkan harta tersebut belum lagi diistilahkan sebagai harta ‘pusaka’ kerana ayahnya masih hidup.

Nasib baik dalam kes tersebut mahkamah menolak permohonan pasangan berkenaan kerana tidak bermerit, di samping menasihati anak-anak untuk berdamai serta membantu ibu bapa mengecap bahagia di hujung usia.

BERDIKARI
Bagi menjamin kemaslahatan warga emas, Islam menyediakan mekanisme utuh bagi memperkukuh kemandirian golongan rentan ini.

Selain suruhan agar anak-anak berlaku ihsan iaitu menyantuni ibu bapa dengan sehabis baik, Islam juga melindungi ibu bapa menerusi kawalan pengurusan wasiat dan faraid yang hanya berkuatkuasa selepas kematian.

Dengan lain perkataan, anak-anak tidak dibenarkan menyekat hak ibu bapa untuk membelanjakan harta, dengan niat jahat untuk membolehkan mereka membolot lebih banyak harta pusaka yang ditinggalkan ibu bapa kelak.
Begitu juga dengan konsep hibah yang boleh ditarik balik walaupun setelah diberikan kepada anak cucu.

Malah, wasiat atau hibah ketika seseorang berada dalam keadaan marad al-maut (sakit yang membawa kepada kematian) juga boleh dipertikaikan sekiranya terdapat unsur penipuan.

Utamanya, Islam turut menjamin hak ibu bapa menerima harta pusaka apabila anak mereka meninggal dunia terlebih dahulu.

Ketiga-tiga konsep ini antara lain bermatlamat bagi menjamin kemaslahatan dan penerusan hidup bermaruah warga emas. Walau bagaimanapun, tidak dinafikan terdapat anak yang memanipulasi harta yang dimiliki golongan berkenaan sebagai imbalan kerana kesanggupan mereka menjaga ibu bapa.

Dalam situasi lain pula, terdapat segelintir anak yang sanggup menghabiskan keseluruhan harta sama ada menerusi hibah, wasiat atau mekanisme lainnya tanpa meninggalkan sedikitpun harta untuk dipusakai oleh ibu bapa.

Dalam keadaan ini, adakah wajar diwujudkan polisi agar anak-anak tidak merancang untuk sengaja melupuskan harta mereka? Matlamatnya agar ibu bapa berada dalam keadaan terbela apabila anak-anak meninggal dunia.

Persoalannya lagi, bagi anak-anak yang telah bekerja keras mencari nafkah namun masih terpojok dalam lingkungan kemiskinan, adakah juga wajar sekiranya bantuan kewangan atau zakat disalurkan kepada mereka kerana menjaga ibu bapa?
Begitulah jua halnya dengan isu nafkah lil-usul dan hadhanah ibu bapa.

Walaupun seksyen 46, Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1993 serta seksyen 61, Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 secara tafsirannya memberi ruang kepada ibu bapa untuk memfailkan tuntutan nafkah dan hadhanah di mahkamah, namun tergamakkah ibu bapa menyeret anak mereka ke muka pengadilan?

Atau adakah lebih wajar sekiranya individu/penjaga ad-litem/badan tertentu dilantik sebagai pihak untuk memulakan kes di mahkamah syariah?

‘BANK MASA’
Terkini, bagi membangkitkan jati diri warga emas, 34 buah negara termasuk Switzerland, Sweden, United Kingdom (UK), Denmark dan Jepun memperkenalkan ‘Bank Masa’ sebagai alternatif kepada warga emas mendapatkan bantuan di saat memerlukan.
Di samping menggalakkan hidup berdikari, ia juga berperanan untuk mengelakkan pergantungan penuh warga emas kepada ahli keluarga dan bantuan negara.

Secara ringkasnya, ‘Bank Masa’ berfungsi apabila seseorang individu membantu warga emas menjalani aktiviti seharian sama ada dengan menemani berbual, membeli-belah atau mengemas rumah.

Selepas setahun, ‘Bank Masa’ akan menghitung tempoh masa yang telah dikumpul dengan memberikan Kad Bank Masa.

Seterusnya, pendeposit masa tersebut boleh memohon untuk menggunakan ‘kredit masa’ yang telah dikumpul bagi mendapatkan bantuan. Selepas diverifikasi, Bank Masa akan menghantar sukarelawan bagi memberikan pertolongan kepada pendeposit berkenaan pula.

Bank Masa ini seolah-olah menghidupkan kembali sistem barter. Bezanya, ‘masa’ menjadi komoditi dengan setiap tempoh yang diperuntukkan untuk membantu insan lain akan dibalas pula pada masa hadapan.

Model ini menarik untuk dipertimbang dan dilaksanakan dalam skala besar. Berkemungkinan ia tidak cocok untuk sesetengah individu, namun menjadi alternatif kepada individu lainnya dalam usaha melestari kehidupan yang lebih bermakna.

Walau apapun alternatif yang disediakan, Allah SWT menjanjikan gudang pahala kepada anak-anak yang berbakti. Ibu bapa bukanlah Quran buruk, namun mereka merupakan anugerah terindah jaminan ke syurga.-UTUSAN

DR. Roziana Mat Amin ialah Penolong Pengarah Kanan Bahagian Latihan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×