UIAM perlu kekal relevan

UIAM perlu kekal relevan

TENGKU Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ketika Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAJLIS Konvokesyen Universiti Islam Antrabangsa Malaysia (UIAM) baru sahaja melabuhkan tirainya. Pembukaan majlis konvokesyen pada kali ini sangat bermakna apabila ia disambut untuk kali yang ke-40.

Seperti biasa, tirai pembukaan disempurnakan Ketua Perlembagaan UIAM, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.  Kali ini seramai 5,041 graduan menerima skrol dalam pelbagai peringkat pengajian dan bidang akademik.

PENCAPAIAN UIAM

UIAM sudah lama menjadi mercu tanda kecemerlangan dalam pendidikan tinggi. Pada tahun ini, usia UIAM mencapai 41 dan selama kewujudannya, UIAM menunjukkan keupayaannya melampaui sempadan dan mendefinisi semula peranan universiti dalam lanskap global terutamanya melalui komitmennya terhadap tujuh misi yang diterajui oleh para pengasasnya.

Di sebalik legasi ini, UIAM menerima pengiktirafan dalam Anugerah Gaun Hijau Antarabangsa  dan sebagai  Institusi Lestari Terbaik Dunia  oleh Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) pada  2020 dan sekali lagi pada 2024 selepas 38 tahun kewujudannya.

Kejayaan ini  mendapat perhatian Rektor UIAM ketiga, Allahyarham Prof. Dr. Mohd. Kamal Hasan yang berkata: “Kita telah mengubah stereotaip Islam dan membawa kita melangkaui dunia”. 

Menurut titah Tunku Azizah, UIAM adalah satu legasi yang perlu dihargai dan dipupuk pada masa hadapan dan tidak mundur ke belakang. Pengiktirafan ini meletakkan institusi ini sebagai perintis bukan sahaja di Malaysia, malah di Asia Pasifik, dunia Islam dan komuniti akademik global. Ia membuktikan betapa mendalamnya misi kedua UIAM iaitu melahirkan intelektual, profesional dan sarjana yang berkualiti dengan mengintegrasikan sifat iman, ilmu dan akhlak mulia di samping berperanan sebagai agen kemajuan serta pembangunan mampan di Malaysia dan dunia Islam.

MENERUSKAN KELANGSUNGAN ATAU MENGOLAH SEMULA?

Setiap kepimpinan baharu akan membawa hasrat dan idea yang lebih segar. Hasrat tersebut sudah pasti bertujuan untuk membawa perubahan yang positif kepada institusi. Titah Tunku Azizah agar tidak ‘mencipta semula rodal’ adalah satu mesej penting agar kepimpinan baharu dan seluruh pasukan terus kekal memperkasakan dan menginstitusikan kejayaan yang telah dicapai selama ini.

Titah Tuanku Azizah ini tidaklah bermaksud untuk menghentikan inovasi, tetapi mengekalkan kejayaan sedia ada dan terus melakar kejayaan melalui inovasi baharu yang bertanggungjawab. Pada masa yang sama, universiti perlu mempunyai pendirian yang berpandukan visi dan misi agar tidak terpengaruh untuk mengejar perubahan luaran demi mengikut trend semasa. Kerapuhan pendirian bukan sahaja mengabaikan pencapaian asas tetapi juga melemahkan universiti dalam menangani cabaran global semasa.

Setiap rektor yang dilantik membawa pendekatan, strategi dan fokus yang berbeza dalam melaksanakan tujuh misi utama universiti. Ada yang menumpukan pada aspek akademik dan penyelidikan, ada pula yang memberi perhatian kepada pembangunan mahasiswa, jaringan antarabangsa dan pemerkasaan komuniti setempat. 

Meskipun tumpuan dan pendekatan mereka berbeza, matlamat akhir tetap serupa iaitu menjadikan UIAM sebagai sebuah universiti yang cemerlang di persada negara dan antarabangsa.

Keunikan ini menunjukkan bahawa setiap rektor memainkan peranan saling menyokong dan melengkapkan usaha antara satu sama lain. Melalui cara ini, pencapaian setiap rektor menjadi batu loncatan bagi rektor seterusnya untuk mencapai kejayaan yang lebih besar. Pendekatan ini juga mencerminkan konsep kesinambungan dan kesepaduan dalam kepimpinan. Setiap usaha yang dirancang dan dilaksanakan walaupun kelihatan berbeza akan menyumbang kepada kejayaan jangka panjang sesebuah universiti.

Selain isu kelangsungan, Tunku Azizah turut menitahkan agar seluruh warga UIAM untuk menghargai dan meraikan kepelbagaian dalam kesatuan, suatu nilai murni yang menjadi teras kepada gagasan Rahmatan Lil Alamin. Kepelbagaian yang merangkumi latar belakang, budaya dan pandangan seharusnya menjadi kekuatan yang menyatukan, bukannya alasan untuk perpecahan.

PENDEKATAN PRAKTIKAL

Pesanan Tunku Azizah juga agar pengurusan baharu supaya tidak mencipta semula perkara yang sama dengan istilah yang berbeza. Pesanan ini sudah pasti bertujuan agar momentum kejayaan yang dibina sebelum ini diteruskan dan ditambah baik. Jalan menuju ke arah kejayaan yang ingin dibina perlulah menitikberatkan soal praktikaliti dan inklusiviti.

Baru-baru ini ketika mendengar pembentangan Rektor, Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar mengenai Epistomologi Tawhidi, saya berpendapat pendekatan ini sangat relevan dalam menghadapi kebejatan gejala sosial yang melanda masyarakat hari ini.

Konsep ini ibarat membina ‘kamera litar tertutup (CCTV)’ dalam diri seseorang, menjadikannya individu yang sentiasa merasai pengawasan Allah Yang Maha Esa, tidak kira di mana berada atau apa jua yang sedang dilakukan.

Setiap tindakan harus dimulakan dengan niat yang tulus ikhlas kerana Allah, manakala pembinaan minda tawhidi berfungsi sebagai kompas rohani yang memandu individu membuat keputusan berlandaskan bimbingan Tuhan.

Oleh itu, perbincangan mengenai Epistomologi Tawhidi tidak seharusnya hanya terhenti pada tahap wacana intelektual semata-mata. Tidak semua individu memiliki kemampuan untuk memahami atau menguasai perbahasan di aras tinggi ini. Justeru, pembudayaan Epistomologi Tawhidi perlulah mengambil pendekatan yang praktikal.

Ia perlu diterjemahkan ke dalam budaya kerja berasaskan pendekatan ‘bagaimana untuk lakukan’ agar UIAM mampu melahirkan komuniti yang bukan sekadar pandai berbicara, tetapi juga cekap melaksanakan dalam bentuk tindakan yang berkesan.

Jika idea-idea pembaharuan ini hanya terperangkap dalam ruang pemikiran tanpa tindakan, maka UIAM berisiko menghasilkan generasi yang bijak berkata-kata tetapi gagal membuktikan kebijaksanaan itu dalam amal. Oleh itu, kepimpinan baharu dan pasukannya perlu bekerja keras untuk memastikan idea-idea ini diterjemahkan ke seluruh lapisan kakitangan UIAM dengan pendekatan yang inklusif, memastikan tiada sesiapa yang tertinggal dalam proses pentadbiran dan pembuatan keputusan.

Inilah manifestasi sebenar Epistomologi Tawhidi, bukan hanya sebagai gagasan pemikiran, tetapi sebagai pedoman praktikal yang membawa kepada perubahan bermakna dalam setiap aspek kehidupan.

Berpandukan visi dan misi universiti, UIAM perlu bertekad untuk terus maju sambil mengekalkan kejayaan sedia ada. Kepimpinan baharu memikul tanggungjawab yang besar untuk melakukan pembaharuan yang praktikal, dinamik dan inklusif. Melalui budaya kerja berfokuskan tindakan dan hasil, UIAM dapat memberi impak bermakna dalam akademik dan masyarakat.

UIAM juga harus sentiasa kekal relevan dan memainkan peranan sebagai pemimpin pendidikan tinggi bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di dunia Islam dan global dengan visi yang jelas dan kepimpinan bijaksana sebagai pendorong utama.

PROFESOR Madya Dr. Mohd Azrul Azlen Abd. Hamid ialah Dekan Kuliyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari (KSTCL), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM), Kampus Pagoh.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN