MUSIM banjir di Malaysia merupakan fenomena tahunan yang memberi kesan besar kepada masyarakat, bukan sahaja dalam bentuk kerosakan fizikal, tetapi juga tekanan kewangan.
Selain menjejaskan infrastruktur dan harta benda, banjir sering menyebabkan kemunculan ‘kemiskinan situasi’, iaitu keadaan individu atau keluarga yang sebelum ini stabil kewangannya, tiba-tiba jatuh miskin akibat faktor luar jangka.
Keadaan ini menonjolkan keperluan mendesak untuk perancangan kewangan yang kukuh bagi memastikan masyarakat lebih bersedia menghadapi cabaran luar jangka seperti ini.
Kemiskinan situasi berbeza daripada kemiskinan mutlak atau relatif kerana ia berlaku secara mendadak dan berpunca daripada faktor yang tidak dapat dikawal seperti bencana alam, kehilangan pekerjaan atau krisis kesihatan.
Dalam konteks banjir, keluarga yang stabil dari segi kewangan mungkin kehilangan rumah, kenderaan atau sumber pendapatan hanya dalam sekelip mata. Tanpa tabungan kecemasan, mereka terpaksa bergantung kepada bantuan luar, menjual aset penting atau mengambil pinjaman yang boleh menambah beban kewangan jangka panjang.
Golongan berpendapatan rendah paling terkesan kerana mereka kurang kemampuan untuk menyerap kejutan kewangan seperti ini. Oleh itu, tabungan kewangan adalah alat yang amat penting untuk mengurangkan risiko kemiskinan situasi. Dengan adanya tabungan kecemasan, keluarga boleh menampung perbelanjaan luar jangka seperti pembaikan rumah, rawatan perubatan atau pembelian barangan asas tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada bantuan luar.
Sebagai contoh, semasa banjir besar di Pantai Timur pada 2014, keluarga yang mempunyai tabungan dapat berpindah ke lokasi lebih selamat, membaik pulih rumah mereka dengan segera dan memenuhi keperluan asas tanpa menunggu bantuan yang mungkin lambat tiba atau tidak mencukupi.
Situasi ini menunjukkan langkah kecil seperti menabung secara konsisten mampu memberikan kesan besar apabila diperlukan. Selain tabungan, perlindungan takaful juga memainkan peranan penting dalam membina daya tahan kewangan.
Polisi takaful yang meliputi kerosakan akibat banjir dapat meringankan beban kewangan dengan ketara. Dengan adanya takaful, keluarga yang terkesan tidak perlu bimbang tentang kos pembaikan rumah atau kenderaan kerana ia akan ditanggung oleh syarikat takaful.
Walaupun takaful memerlukan komitmen kewangan bulanan, manfaat yang diperoleh dalam situasi luar jangka adalah jauh lebih besar berbanding kosnya. Perlindungan ini bukan sahaja membantu mengurangkan tekanan kewangan, tetapi juga memberi ketenangan fikiran kepada keluarga yang memilikinya.
Dalam konteks ini, pendidikan kewangan pula menjadi elemen utama untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan tabungan dan perlindungan kewangan. Ramai yang masih kurang memahami risiko kemiskinan situasi dan langkah yang boleh diambil untuk menghadapinya.
Sebagai contoh, dengan menyimpan RM100 sebulan, sebuah keluarga dapat membina dana kecemasan sebanyak RM2,400 dalam tempoh dua tahun, merupakan satu jumlah yang cukup untuk menampung keperluan asas semasa bencana. Agensi sosial seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh memainkan peranan dengan menganjurkan bengkel pengurusan kewangan, seminar literasi kewangan dan kaunseling kewangan.
Inisiatif seperti ini bukan sahaja meningkatkan pengetahuan masyarakat, tetapi juga membekalkan kemahiran praktikal untuk mengurus kewangan dengan lebih bijak.
Kerjasama antara agensi sosial dan komuniti juga merupakan komponen penting dalam memperkukuh daya tahan kewangan masyarakat.
Penubuhan tabung komuniti oleh NGO, misalnya, boleh memberikan bantuan segera kepada keluarga yang terkesan akibat bencana. Tabung ini bertindak sebagai pelan sokongan bagi mereka yang belum mempunyai tabungan kecemasan yang mencukupi.
Pada masa sama, kerajaan boleh menyokong usaha ini dengan memperkenalkan insentif seperti pengecualian cukai untuk tabungan kecemasan atau perlindungan takaful bencana alam.
Sektor swasta juga dapat menyumbang melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang menyediakan pendidikan kewangan, sokongan kewangan atau dana kecemasan untuk masyarakat yang memerlukan.
TABUNG KECEMASAN
Pendekatan kolektif ini menunjukkan usaha bersama antara kerajaan, agensi sosial dan komuniti adalah kunci utama untuk mengurangkan kesan bencana seperti banjir. Walaupun banjir adalah fenomena yang tidak dapat dielakkan, kesannya terhadap kehidupan dan kewangan masyarakat dapat diminimumkan melalui persediaan yang baik.
Tabungan kecemasan, perlindungan takaful dan pendidikan kewangan adalah langkah asas yang perlu diperkukuh untuk memastikan komuniti lebih bersedia menghadapi cabaran bencana.
Setiap individu juga mempunyai tanggungjawab untuk melindungi diri dan keluarga mereka daripada kesan buruk bencana.
Langkah kecil seperti menabung secara konsisten atau mendapatkan perlindungan takaful mungkin kelihatan remeh, tetapi ia mampu memberikan impak besar dalam situasi kritikal.
Dalam dunia yang semakin tidak menentu ini, perancangan kewangan bukan sahaja keperluan tetapi juga satu keutamaan.
Komuniti yang mempunyai daya tahan kewangan bukan sahaja dapat pulih dengan lebih cepat selepas bencana, malah dapat mengekalkan kestabilan sosial dan ekonomi secara keseluruhan.
Ironinya, jangan tunggu sehingga bencana melanda untuk bertindak. Banjir mungkin tidak dapat dielakkan, tetapi kesannya boleh dikurangkan dengan persediaan yang sistematik.
Langkah awal seperti menabung dan melindungi diri melalui takaful adalah asas kepada masa depan yang lebih stabil dan terjamin.
Dengan usaha kecil tetapi konsisten, kita dapat memastikan kehidupan yang lebih selamat, terancang dan penuh keyakinan, bukan hanya untuk diri sendiri tetapi juga untuk keluarga dan masyarakat keseluruhannya.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Azwan Abdullah ialah Ketua Bahagian Jaringan dan Data Raya Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK), Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
MUHAMMAD Farid Rosdi ialah Pegawai Pemetaan Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK) Universiti Malaysia Kelantan (UMK).










