Lena kita kala pasukan keselamatan berjaga

Lena kita kala pasukan keselamatan berjaga

KEBERADAAN pasukan keselamatan negara baik anggota tentera dan polis sangat diperlukan. Apatah lagi bagi menjaga sempadan dan perbatasan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAPORAN muka depan Utusan Malaysia, Rabu lalu tentang sempadan negara yang mudah bolos di sempadan Malaysia-Thailand khususnya di Perlis menyedarkan kita akan kepentingan pasukan keselamatan yang mengawasi perbatasan.

Situasi itu berpunca daripada hampir keseluruhan pintu pagar keselamatan di kawasan tersebut uzur, berlubang dan rosak dikhuatiri memberi ancaman besar kepada keselamatan dan kedaulatan negara.

Keadaan itu membabitkan laluan keselamatan di sesetengah laluan di sepanjang 98.2 kilometer (km) kawasan sempadan Perlis terutama dari Chuping, Padang Besar sehingga Pos Bukit Batu Putih, Kuala Perlis.

Sementara 45km dari garisan sempadan tersebut pula tidak memiliki tembok atau pagar keselamatan susulan keadaan muka bumi berbukit bukau dan hutan tebal.

Pagar sempadan yang rosak itu juga menjadi antara punca meningkatnya aktiviti pembolosan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan penyeludupan barangan terlarang seperti dadah serta ketum di sempadan Malaysia-Thailand.

Apabila didedahkan oleh media, barulah rakyat sedar sebenarnya keberadaan pasukan keselamatan negara baik anggota tentera dan polis sangat diperlukan. Apatah lagi bagi menjaga sempadan dan perbatasan negara.

Tugas mereka membolehkan kita rakyat secara umumnya dapat hidup dengan tenang, tidur lena pada waktu malam. Pendek kata tidak perlu bimbang rumah atau harta benda diceroboh penjenayah atau PATI yang mahu melakukan jenayah.

Sesebuah negara yang dikatakan kukuh dan disegani antara lain mempunyai angkatan tentera yang kuat dan mantap serta canggih dari segi persenjataan. Sebab itu perkara utama dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW ketika menegakkan kerajaan Islam pertama di Madinah adalah membentuk jentera pertahanan.

Inilah juga peringatan Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dianiaya”. (al-Anfal: 30)

Kita menyambut baik kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang berkata, kerajaan mengenal pasti tiga langkah untuk mengetatkan kawalan keselamatan sempadan Malaysia-Thailand di utara tanah air.

Tiga langkah itu ialah pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), penggunaan dron dan penubuhan pusat kawalan bagi membolehkan pengumpulan data yang tepat dan cekap.

Selain itu, tiga pendekatan berteras inovasi dan teknologi itu akan dilaksanakan kerajaan bagi memastikan pintu sempadan Malaysia-Thailand terjaga daripada segala ancaman. Dalam konteks pengawasan sempadan, perlunya kita menggunakan pendekatan teknologi dan inovasi semasa.

Bukan semua kita mampu menjadi anggota keselamatan. Untuk itu, kita patut berterima kasih kepada semua anggota keselamatan negara. Mereka bukan hanya polis dan tentera tetapi merangkumi semua yang menyarung uniform di darat, laut mahupun udara.

Mereka telah melaksanakan tanggungjawab fardu kifayah yang melepaskan rakyat jelata yang lainnya daripada kefarduan menjaga keselamatan, satu daripada lima maqasid syariah.

Maqasid syariah pada dasarnya bermaksud mewujudkan kebaikan atau memberi manfaat. Sekali gus menolak keburukan dan menghilangkan kemudaratan. Justeru hukum syarak atau perundangan Islam terbit atau terjelma demi mencapai tujuan berkenaan.

Ia merangkumi menjaga agama, menjaga nyawa, menjaga akal, menjaga keturunan dan menjaga harta. Berada dalam sebuah negara seperti Malaysia, yang aman dan damai adalah antara nikmat yang wajib disyukuri dan dipelihara oleh semua kita.

Oleh itu, pentingnya kesatuan dan saling bekerjasama dalam semua lapisan masyarakat untuk membina, mewujudkan keamanan serta keselamatan.

Imam Bukhari dalam kitab sahihnya memberi penjelasan yang cukup menarik berkaitan sabda Rasulullah SAW berkaitan keamanan.

Katanya: “Kehidupan sosial dan kemasyarakatan memerlukan pertahanan dan keamanan dan aspek itu umpama penumpang kapal (ka rukkab al-safinah). Sebahagian penumpang berada di tingkat atas, sebahagian berada di tengah dan sebahagian lagi di tingkat bawah. Apabila penumpang yang berada di tingkat bawah ingin mengambil air, mereka perlu naik ke atas dan melalui bahagian yang berada di atas mereka. Lalu ada dalam kalangan mereka yang terfikir ingin mengambil jalan pintas untuk mengambil air dengan cara menebuk dinding kapal, agar mudah untuk mendapatkan air. Jika idea atau fikiran itu dibiarkan sudah tentu kapal tersebut akan karam. Sebaliknya jika ada dalam kalangan mereka yang menyedari dan mencegah perbuatan itu, maka sudah tentu mereka akan selamat dan kapal tidak karam.”

Struktur pasukan keselamatan Islam berkembang sesuai dengan peredaran dan perkembangan kemajuan zaman. Sumbangan mereka amat besar ertinya terhadap agama, bangsa dan juga negara.

Sirah mencatatkan bahawa hasil ketenteraan yang mantap pimpinan Rasulullah SAW dan para panglima Islam lain telah mendekatkan kita dengan Islam. Maka, dalam hal bersangkutan yang sangat penting juga, anggota keselamatan negara perlu mendekatkan diri kepada Allah SWT, melaksanakan perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.

Ini penting dalam rangka membentuk jati diri muslim yang kukuh dan mantap sebagai petugas keselamatan dan ketenteraman negara. Rasulullah SAW adalah contoh terbaik dalam menguruskan ketenteraan dan pasukannya.

Baginda amat menekankan pembinaan modal insan melalui kekuatan akhlak, sifat istiqamah, tawaduk, pemaaf dan penyantun. Secara umumnya, Islam memandang tinggi profesion pasukan keselamatan ketenteraan bahkan meletakkan penghormatan yang sangat tinggi kepada mereka.

Mereka yang gugur di medan peperangan demi mempertahankan kesucian agama dan kedaulatan negara dikalungkan sebagai syuhada. Ia adalah penghargaan yang sangat tinggi dijanjikan oleh Allah SWT serta dijanjikan pelbagai keistimewaan.

Ia sebagaimana hadis Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Miqdam bin Ma’di Karib: “Bagi orang yang mati syahid ada enam keistimewaan iaitu: Diampuni dosanya sejak mulai pertama darahnya meluncur keluar, melihat tempatnya di dalam syurga, dilindungi daripada azab kubur, terjamin keamanannya daripada malapetaka besar merasakan kemanisan iman, dikahwinkan dengan bidadari dan diperkenankan memberikan syafaat kepada 70 orang kerabatnya. (Sunan al-Tirmidzi) – UTUSAN

MOHD. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×