‘Kalau tiada gabungan, kita ada rakyat’

‘Kalau tiada gabungan, kita ada rakyat’

SHAFIE Apdal ketika ditemu bual wartawan Utusan Malaysia, Aqilah Mior Kamarulbaid dan Aslinda Nasir di Parlimen, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBELUM memulakan wawancara, kami sempat bertanyakan pandangan DATUK SERI MOHD. SHAFIE APDAL tentang pemimpin seperti Donald Trump. Kata beliau, mungkin ada yang tidak setuju dengan pandangannya tetapi pemimpin seperti itu diperlukan untuk memastikan Malaysia berada di landasan yang boleh menyaingi negara-negara maju sekali gus dipandang tinggi di mata dunia.

Presiden Parti Warisan (Warisan) itu memberitahu Malaysia memerlukan seorang pemimpin yang terlihat jelas Melayu totoknya, sama seperti Trump yang kuat Amerikanya. Apabila ada ciri tersebut pada pemimpin, maka mereka akan mengutamakan rakyat dalam apa jua perkara.

Dalam wawancara bersama wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID, ASLINDA NASIR serta dibantu jurufoto, FARIZ RUSADIO dan juruvideo, ZUID IKH RAL SAMSON, beliau berbicara tentang pembangunan dan kemiskinan rakyat Sabah selain pendekatan untuk memenangi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).


PERJUANGAN DALAM KEADILAN SOSIAL
Warisan bukan sebuah parti yang berteraskan warisan (heritage) semata-mata. Sebaliknya mengandungi perjuangan diantaranya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), yang mana Malaysia terbentuk kerana permuafakatan. Ia adalah hasil pemimpin-pemimpin yang berpegang dengan niat dan harapan membentuk masyarakat berbilang kaum dan agama. Namun demikian, kita mampu untuk bersatu membebaskan diri daripada penjajahan.

Kebebasan itu bukan sekadar suara tetapi dalam hal mengurus tadbir masa depan dan terlibat secara langsung dalam pembentukan masa depan.

Maka dengan itu, terbentuk Perjanjian MA63 hasil perbincangan semua pimpinan. Ini yang dikatakan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) iaitu laporan satu kumpulan tentang perbincangan, perdebatan, permuafakatan, diantara pihak pimpinan daripada Sabah, Sarawak, Singapura dan tanah Melayu ketika itu.

Jadi, Warisan itu sebuah parti berlandaskan cara membina negara untuk masa depan rakyat dengan nilai-nilai yang ada. Kerana itu kita memperjuangkan hak di Sabah.

Pun begitu, tidak bermakna kita tebal kenegeriannya. Isteri saya orang Kedah, menantu orang Muar dan Klang. Jadi, tidak mungkin perkara ini timbul. Janganlah apabila kita bersuara terus dikatakan semangat kengeriannya sangat tebal.

Ini adalah perjuangan rakyat yang meletak harapan kepada ahli-ahli politik. Kita sudah merdeka selama 67 tahun tetapi dari segi kemudahan asas, kesihatan, keselamatan, pendidikan masih jauh ketinggalan. Kita lihat ahli-ahli Parlimen lantang bersuara di Dewan Rakyat tetapi sebenarnya itu suara rakyat yang kerap didengar apabila mereka turun ke kampung-kampung.

PENCAPAIAN MA63 TIDAK MEMUASKAN
Bukan tiada langsung kejayaan (MA63) tetapi tidak memuaskan. Ia bukan setakat 40 peratus perkongsian hasil dan pemberian khas daripada kerajaan Persekutuan tetapi dari segi prasarana yang ada, sekolah dan kesihatan.

ayangkan peluang pekerjaan, berapa ratus ribu anak Sabah ke semenanjung walhal Sabah mempunyai sumber kekayaan yang begitu banyak seperti kayu balak, emas, minyak dan gas.

Tidak boleh salahkan sepenuhnya kerajaan Persekutuan, kita juga perlu salahkan pimpinan yang terlibat dengan rasuah sehingga menjejaskan cara memanfaatkan sumber alam.

Saya melawat kilang minyak masak di Shah Alam satu masa dulu. Saya tanya kepada taukenya dari mana dapat minyak kelapa sawit? Dia kata daripada Sabah. Rupanya tauke ini berasal dari Keningau.

Kita perlu lihat apabila orang Sabah mencari kerja di Johor, dia perlu mencari tempat tinggal, kenderaan, makan minumnya dan keluarga. Sedangkan jika industri itu diwujudkan di negeri asalnya, banyak dapat berjimat. Tidak perlu balik ke kampung apabila musim perayaan. Maknanya, kita mahu lahirkan satu keluarga yang ada kasih sayang, mesra serta dapat mengeratkan silaturahim.

Bayangkan menerima gaji sebanyak RM3,000 di semenanjung tetapi jika bekerja di Sabah hanya menerima RM1,000 tetapi orang tidak nampak jumlah itu lebih baik kerana tidak perlu membayar rumah, kos makanan dan minuman serta tempat tinggal.

Selaku pemimpin kita perlu timbang perkara ini untuk pastikan kos sara hidup memberi kelesaan kepada rakyat.

Jika kita boleh wujudkan peluang pekerjaan, bukan hanya melibatkan pasaran domestik tetapi boleh masuk pasaran Filipina,Indonesia, Jepun atau China. Mungkin minyak masak kita lebih murah, orang akan mencari produk yang lebih murah. Begitulah China bergerak, kerana itu mereka maju ke depan.

PELAN PEMBANGUNAN SABAH MAJU JAYA 2021-2025 SEKADAR SLOGAN
Ia slogan sahaja. Kita sudah ada Sabah Energy, Sabah Gas, Sabah International Petroleum. Berapa juta kita bayar gaji?

Yang penting ketika ini, bagaimana mahu selesaikan masalah elektrik yang kerap tiada. Ada pengurusan datang bercerita tentang sistem bernilai jutaan ringgit tetapi tidak menyelesaikan masalah. Kita sekarang sudah tiba bahagian untuk perlu tahu apa masalahnya? Siapa pembekalnya? Apa sumbernya?

Kita ada 31 Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) tetapi ada lima atau enam (IPP) yang selalu tidak mampu beri bekalan, blackoutlah, lewatlah, masalah penyelenggaraanlah tetapi tidak mengurus masalah yang dihadapi.

Perkenalkan Sabah Maju Jaya, kenapa tidak pakai ‘kenderaan’ sedia ada? Kenapa tidak tambah baik ‘kemudahan’, ‘enjin’, ‘spark’ atau ‘tayar’? Apa yang penting destinasinya, ke mana kita mahu bawa syarikat-syarikat yang merupakan antara pertama di negara ini?

Tahun 70-an Sabah maju berbanding Sarawak dan semenanjung. Tun Dr. Mahathir Mohamad sekali dalam dua atau tiga bulan akan turun ke Sabah untuk mengambil tahu keadaan di sana.

Itu saya kata bukan tidak boleh mahu lahirkan kemudahan atau landasan baharu tetapi apa yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya sudah sedia ada. Ini adalah antara punca kos pengurusan kita terlampau banyak.

Malaysia memperuntuklan RM86 bilion sahaja untuk pembangunan tetapi RM335 bilion untuk pengurusan.

SIAPA KATA MISKIN TEGAR SELESAI?
Turunlah ke bawah. Saya sudah suarakan. Nasib baik jika nampak orang-orang kampung minta duit RM100 sebulan. Ada orang kerja kedai, itupun nasib kalau ada kedai runcit. Di sesetengah kampung tiada.

Kita bagi pemberian, dulu dinamakan BRIM, hari ini Rahmah, bantuan sana, bantuan sini tetapi adakah ia boleh menjamin pendapatan setiap bulan? Adalah jauh lebih baik jika kita mencipta peluang pekerjaan. Bila mereka ada kerja, mungkin gajinya RM1,000 sebulan tetapi itu lebih baik berbanding bantuan yang diberikan dua atau tiga kali setahun.

Dalam masa sama kita mencipta tenaga kerja. Kita tidak boleh menangkan duit semata-mata, apa kesannya kepada ekonomi?

Kita perlu lihat peluang pekerjaan yang dicipta, kebolehan pekerja, makananya dari segi pulangan pelaburan. Kita perlu tahu apa kesudahannya.

MASALAH PEMIMPIN
Sabah ada sumber tetapi tidak digunakan. Dulu ada Koperasi Pembangunan Desa (KPD), Sabah Marketing, maknaya produk ada tetapi di mana ia dipasarkan? Kita mahu tahu. Kita susun daripada produk sampai pemasaran, ini yang saya rasa penting. Dalam Islam pun tekankan pilihlah imam yang baik.

Kita nampak Sabah Maju Jaya tetapi Lapangan Terbang Kota Kinabalu bergelap. Air pun kadang-kadang tiada. Sudah empat tahun. Kenapa tidak mengatasi masalah?

Bayangkan pada 50 hingga 60-an, United Kingdom (UK) menjadi negara industri yang menjadi rujukan di seluruh dunia. Tetapi sekarang rakyatnya bergantung pada duit sumbangan sosial. Sekarang ini China dan Jepun sudah bergerak.

Kita masih bantu orang miskin. Datuk Seri Anwar Ibrahim ada niat yang baik. Kita perlu sambutnya dalam pemberian bantuan tetapi perlu lihat dari sudut jangka panjang khususnya kepada generasi muda supaya dapatkan wujud budaya berdikari. Kita bukan hanya mahu lahirkan generasi mencari pekerjaan tetapi yang mencipta pekerjaan.

Bila mereka buat perniagaan sendiri, maka memerlukan pekerja. Inilah yang dikatakan mencipta pekerjaan.

BAWA ISU TEMPATAN KE PARLIMEN
Saya bangkitkan isu-isu keperluan rakyat di Sabah. Dan perkara ini membabitkan kuasa-kuasa di peringkat Persekutuan seperti masalah kekurangan penerbangan. Kerajaan negeri tiada bidang kuasa.

TERBUKA UNTUK BERGABUNG
Berulang kali saya kata kalau ada parti tempatan yang mahu bergabung untuk merealisasikan keadaan yang ada sekarang ini. Insya-Allah tiada masalah.

Kita juga bekerjasama dengan parti-parti bukan tempatan di peringkat Pusat dengan Anwar, Mahathir, kita tumbangkan parti kita sendiri UMNO, kerana kita melihat negara, bukan kepentingan peribadi. Saya masuk politik sebab ingin jaga negara, bukan mahu jaga jawatan.

Setakat ini perbincangan agak longgar. Ada jugalah tetapi tidak secara formal. Kita sudah suarakan berulang kali tetapi perlu betu-betul.

Saya semasa menjadi ketua menteri sudah nasihatkan menteri-menteri yang ada. Saya bagi amaran, kalau ada YB (Yang Berhormat) mahu projek beritahu saya, nilai RM100 juta pun saya tanda tangan tetapi lampirkan permohonan projek beserta permohonan untuk letak jawatan di Kabinet.

Kalau kita melihat rasuah, itu maknanya ada kepincangan dan kegagalan.

TIDAK FIKIR KERJASAMA SELEPAS PRN
Perbaiki rumah sendiri dulu. Tujuan, matlamat untuk bantu rakyat dari segi kos sara hidup, peluang pekerjaan, kesihatan dan keselamatan. Ini adalah antara perkara pokok perjuangan Warisan.

Kita susun baik perancangan, sistemnya. Sebab itu saya kata perbaiki rumah sendiri. Jangan fikir rumah lain.

Jangan fikirkan perlu parti lain, nanti esok berunding saya mahu 20 kerusi, mahu 50 kerusi, bagaimana mahu bagi sedangkan atap dan dinding tiada. Ini bukan persoalan mahu jadi YB, persoalannya kita mahu kuasa, ingin menang pilihan raya.

Apa erti bagi kerusi sampai 30 tetapi nanti hanya tinggal satu? Jangan lupa niat nawaitu untuk bantu rakyat.

Tetapi dalam sejarah Sabah pernah diperintah oleh sebuah parti tanpa gabungan dan berjaya selama 10 tahun. Maknanya boleh berlaku. Kalau tiada gabungan, kita ada rakyat. Kerana mereka yang menentukan siapa berkuasa.

Kalau bergabung dengan parti, presidennya mahu menjadi YB, ingin jadi menteri, kemudian melompat kerana Akta Lompat Parti tidak berguna.

Politik ini sangat dinamik, apa-apa boleh berlaku. Tetapi kalau suara rakyat itu ada kebenarannya, kita tidak boleh nafikan suara mereka.

Kalau suaranya jelas, tolong tadbir negeri, bersatu dengaan parti lain, kita perlu (ikut suara rakyat). Saya tidak mahu ada lontaran suara sumbang, mereka tidak percaya dengan ahli politik.

PERTAHAN 29 KERUSI
Kita tengok kawasan mana yang boleh menang. Kita perlu melihat dari segi keupayaan dan kejayaan. Tiada ertinya jika semata-mata mahu letak. Kita akan mempertahankan 29 kerusi.

Kerana itu apabila Datuk Seri Hajiji Noor jumpa saya di rumah, beliau bergaduh dengan Datuk Seri Bung Moktar Radin. Saya cakap bergaduh pasal apa? Saya pembangkang, kamu kerjasamalah tadbir negeri.

Saya akan semak dan imbang. Jika ada yang tidak kena pastinya akan bersuara tetapi saya tidak boleh bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana tumbangkan saya. Saya cakap, tengoklah susun atur, kemudian datang balik ke rumah saya.

Dia tidak datang semula, tetapi ambil YB-YB saya.

TAWARAN KEPADA RAKYAT
Dulu saya sudah maklumkan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, jika mahu lengkap elektrik, jalan raya, air kita memerlukan RM90 bilion tetapi perlu ambil masa.

Perancangan kita untuk membuat empangan di Lahad Datu dan Kinabatangan. Saya yakin empangan dapat memastikan bekalan air dan elektrik mencukupi. Ini jauh lebih baik daripada Bakun di Sarawak.

Anthony Loke beri subsidi tiket penerbangan kepada pelajar universiti awam bagi laluan domestik antara semanjung, Sabah, Sarawak dan Persekutuan Labuan. Ikatan persaudaraan itu bukan hanya berjumpa sana, jumpa sini.

Saya beritahu Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir untuk perbanyakkan universiti di Sabah. Ketika ini kita hanya ada Universiti Malaysia Sabah (UMS). Di semenanjung ada 40 lebih universiti. Mungkin di sini ada universiti swasta, tetapi rakyat tidak mampu. Apa salahnya letak sebuah universiti di Tawau, Lahad Datu dan Semporna. Di situ ada sumber kekayaan seperti lautan, pertanian yang boleh kita manfaatkan. Rumpai laut kita buat penyelidikan dan pembangunan (R&D), kita boleh buat produk kecantikan. Yang berlaku sekarang hantar ke Perancis, kemudian kita beli alat solek.

Jika ada universiti atau hospital pakar boleh tarik pasaran daripada Indonesia dan sebagainya. Contoh Pharmaniaga, kita beli ubat semua dari sana. Kenapa tidak boleh buat kilang di Sabah? Apa salahnya peniaga di semenanjung berkongsi dengan peniaga di Sabah. Sekurang-kurangnya dapat mencukupkan ubat di hospital. Silapnya adalah rasuah.

PERJANJIAN LOMPAT PARTI
Kita sudah ada perjanjian. Siapa yang lompat parti perlu membayar sejumlah wang bernilai jutaan ringgit. Ia akan dilaksanakan pada PRN akan datang ini.

KERJASAMA DENGAN UMNO SABAH
Tiada perbincangan formal. Biasalah kawan-kawan. Kita sebagai manausia walaupun ada perbezaan politik masih boleh duduk dengan DAP, PKR, Pas. Sedang ayam di rumah bagi makan, takkan kita yang dikatakan ada kelebihan daripada makhluk lain mencaci, menghina.

PERSEDIAAN PRN17
Jika Hajiji mahu bergabung dengan mana-mana parti, itu hak dia. Warisan konsisten dalam perjuangan iaitu memperjuangkan hak rakyat Sabah. Kita mahu suara rakyat bukan hanya kedengaran tetapi direalisasikan. Kita tahu negara berdepan krisis kewangan, tetapi bagaimana mengatasinya.

Kita kata tiada duit, tetapi apabila sampai sesuatu tempat umum pula RM30 bilion, RM10 bilion. Rakyat mendengar dan membaca. Kata tiada duit, tetapi umum macam-macam.
Rakyat sekarang bergantung pada media sosial, jadi cakaplah apa yang benar supaya dapat perbaiki keadaan.

IMPAK PEMINDAHAN IBU NEGARA INDONESIA
Dari dulu lagi, semasa saya ketua menteri, sudah cakap dengan Dr. Mahathir untuk membangunkan hab kewangan di Labuan, malangnya tidak jadi.

Saya yakin jika ada hab kewangan, mereka tidak akan letak akaun bank di Singapura, jauh dua hingga tiga jam perjalanan, sedangkan dengan kita tidak sampai 30 minit.

Duit mereka banyak, Prabowo Subianto pun duitnya beberapa ratus juta dolar Amerika. Kalau letak duit di deposit tetap selama 10 tahun, kita boleh gunakan untuk pembangunan. Begitulah Singapura membangun (pelaburan) walaupun tiada minyak kelapa sawit atau gas. Dari segi kewangan rakyat Malaysia, Singapura, Indonesia, rakyat Sabah jika menyimpan duit dalam 30 tahun dan tidak dipakai, mereka dapat bangunkan Singapura.

Kita perlu bina hubungan dengan negara jiran, sudah pasti lebih daripada 57 juta rakyat Indonesia akan tinggal di Kalimantan. Ini akan memberi manfaat bukan untuk kepentingan Sabah tetapi Malaysia secara keseluruhan.
Kita perlu ada hubungan dengan Brunei, Sarawak, Kalimantan. Bayangkan kita juga dekat dengan China dan Jepun. Ini adalah kelebihan Malaysia.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN