SETIAP majlis konvokesyen akan melakarkan sejarah tersendiri kepada semua universiti yang terbabit. Tahun-tahun berlalu membawa pelbagai cabaran berbeza yang menjadikan kita semua lebih matang.
Begitu juga dengan kejayaan-kejayaan diraih berkat usaha keras warganya demi mengangkat nama universiti yang mereka cintai.
Bagi graduan yang menerima ijazah, sudah tentu majlis ini amat istimewa dan membawa seribu kenangan. Berkat usaha gigih serta jerit perih menempuh pelbagai cabaran, akhirnya ijazah yang diimpi-impikan berada dalam genggaman.
Kini, mereka boleh melangkah dengan lebih yakin ke landasan yang lebih luas bagi meneruskan perjalanan menuju haluan seterusnya.
Namun, dalam suasana gembira ada juga yang merasa hiba kerana terpaksa meninggalkan dunia kampus yang menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka.
Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat belajar. Apatah lagi apabila terpaksa berpisah daripada rakan-rakan yang selama ini menjadi teman setia dalam tangis dan tawa.
Perasaan bangga dan gembira jelas terpancar di wajah-wajah ibu bapa serta kaum keluarga masing-masing. Malah, ada yang datang dari jauh semata-mata untuk meraikan detik penting yang amat besar ertinya kepada mereka sekeluarga. Memang seronok melihat keceriaan kanak-kanak yang begitu teruja bertanyakan itu dan ini sambil memasang cita-cita untuk menyambung pelajaran ke universiti.
Seperti di universiti-universiti lain, suasana gilang gemilang Majlis Konvokesyen ke-40 Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berlangsung dengan penuh adab dan tertib.
Di kawasan karnival pula, suasananya meriah dengan pelbagai aktiviti menarik. Kelab-kelab di universiti kami turut mengadakan persembahan masing-masing bagi menghidupkan lagi suasana karnival.
Majlis dimulakan dengan titah perasmian daripada Ketua Perlembagaan UIAM, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang sangat disayangi oleh seluruh warga institusi. Sesungguhnya ketokohan baginda menjadi lambang semangat dan keunggulan UIAM.
Perkara yang sangat istimewa bagi saya ialah apabila titah baginda mengenai kemenangan penting yang dirangkul UIAM dalam pertandingan berprestij peringkat antarabangsa.
Dalam Anugerah Gaun Hijau Antarabangsa, UIAM dinobatkan sebagai Institusi Kemampanan Tahun 2024 yang sekali gus berjaya mengangkat martabat universiti tempatan di pentas antarabangsa.
Mengambil perhatian tentang perkara sebegini secara terperinci membuktikan komitmen serta keterampilan baginda dalam melaksanakan segala tanggungjawab yang diamanahkan di UIAM.
Sebagai pelajar, saya merasa bangga kerana baginda benar-benar mengambil cakna tentang apa yang berlaku di universiti.
Seterusnya, baginda bertitah bahawa ini kali kedua UIAM dinobatkan sebagai pemenang anugerah penting ini, setelah memenanginya buat kali pertama pada 2020.
Kemenangan pada tahun ini menjadikan UIAM sebagai satu-satunya institusi pengajian tinggi (IPT) di rantau Asia yang berjaya memenangi anugerah ini sebanyak dua kali.
Lebih penting lagi ialah, pada tahun ini UIAM telah membolot empat Anugerah Gaun Hijau Antarabangsa daripada lapan kategori yang dipertandingkan.
Ini menjadikan UIAM satu-satunya IPT di dunia yang berjaya membolot empat anugerah pada tahun yang sama. Sesungguhnya kejayaan ini amat besar ertinya kepada kami semua yang bertungkus-lumus untuk menyertai pertandingan ini.
Dalam titah tersebut, baginda turut menekankan soal integriti seraya mengingatkan pihak universiti supaya meneruskan serta mempertingkatkan lagi usaha keras yang telah dilakukan selama ini sehingga berjaya meletakkan UIAM pada kedudukan amat tinggi di peringkat dunia.
Dalam banyak keadaan, membina kejayaan itu lebih mudah daripada berusaha mempertahankannya.
Sebagai salah seorang daripada pemenang Anugerah Gaun Hijau Antarabangsa ini, saya merasa amat terharu apabila baginda bertitah mengenai kemenangan berkenaan dalam majlis yang sangat penting sebegini. Ini satu penghargaan yang besar buat kami semua, khasnya diri saya sebagai seorang pelajar.
Apabila saya dihubungi pihak universiti untuk menghantar projek bagi anugerah ini, saya menganggap peluang ini sebagai satu cabaran yang besar. Ini kerana saya bertanding di pentas yang terlalu tinggi buat diri saya, berbanding peserta lain terdiri daripada professor-professor serta tenaga pengajar kanan IPT ternama seluruh dunia.
Walaupun tidak mempunyai keberanian untuk terlalu mengimpikan kemenangan, saya sentiasa bersikap positif dan berusaha secara bersungguh-sungguh untuk menyiapkan segala tugasan yang diperlukan.
Kemenangan ini membuktikan sumber terhad bukanlah penghalang untuk bersaing dengan mereka yang lebih berpengalaman serta mempunyai akses dan dana yang lebih besar.

PERUBAHAN POSITIF
Rasa bersyukur kerana diberi peluang untuk menghadiahkan sebuah kemenangan begitu besar ertinya ini kepada universiti yang telah mendidik saya dengan semangat kerja kuat serta sentiasa bersikap cekal dan tidak mudah berputus asa.
Kita boleh berada di pentas dunia jika kita berusaha dengan bersungguh-sungguh. Itulah tekad yang disemai di hati kami agar terus berusaha berbekalkan iman dan keyakinan.
Mahasiswa mesti berusaha menjadi pencetus perubahan yang positif bukan sahaja untuk universiti tetapi juga demi kebaikan masyarakat sekeliling dan negara.
Itu juga matlamat asas falsafah komuniversiti yang menobatkan UIAM sebagai Institusi Kemampanan Tahun 2024.
Perkara paling penting, hasil daripada kemenangan ini ialah pengalaman berharga sepanjang merangka, melaksanakan projek serta menempuh segala peringkat pertandingan sehingga diumumkan sebagai pemenang.
Bekerja bersama individu dan masyarakat daripada lingkungan sangat berbeza mengajar saya aspek kemahiran insani dan menghormati orang lain tanpa mengira kedudukan.
Melihat rakan-rakan senior berkonvokesyen beramai-ramai mengingatkan saya bahawa jalan masih panjang, namun masa begitu singkat. Saya sendiri masih berbaki dua tahun lebih sebelum selesai pengajian sarjana muda.
Ambillah peluang yang tersedia dan ingatlah bahawa kita ada di sini untuk timba ilmu dan pengalaman dalam segala bentuk, asalkan dapat digunakannya ke arah kebaikan.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










