ANTARA perkara penting bagi sebuah negara yang mahu mencapai kesejahteraan dan keharmonian hidup bermasyarakat ialah membina dan mengamalkan kehidupan beradab. Istilah ‘adab’ mengandungi pengertian kehalusan budi dan ia mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan kekuatan akal, hati dan jiwa manusia. Kamus Dewan (edisi keempat, 2007) menyebut adab bermaksud tingkah laku serta tutur kata yang halus (sopan), budi bahasa dan budi pekerti yang halus dan mulia. Ia juga membawa maksud cara seseorang itu berkelakuan dalam pergaulan. Istilah lain yang biasa digunakan bagi membawa maksud kehidupan beradab ialah ‘tata susila’ yang dikaitkan dengan adat sopan santun dan budi pekerti yang baik atau mulia.
Dalam Islam, kehidupan yang beradab itu melambangkan ketampanan yang tinggi bagi sesuatu masyarakat itu. Ia ajaran penting yang disampaikan oleh Nabi Muhammad dan baginda sendiri mempunyai akhlak (adab) yang paling mulia sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Quran yang bermaksud, “Sesungguhnya engkau benar-benar berbudi pekerti yang luhur” (Al-Qalam:4)
Dalam masyarakat Melayu yang berpegang kuat kepada ajaran Islam, kehidupan beradab memang sangat ditekankan. Bagi orang Melayu perilaku yang baik sama ada dari segi tingkah laku atau tutur kata yang baik melambangkan sesorang itu telah didik dengan baik atau sempurna oleh ibu bapa atau keluarganya. Orang Melayu terutamanya mereka yang kuat mempelajari ilmu tasawuf (ilmu akhlak, ilmu adab) pula melihat bahawa semakin tinggi adab seseorang hamba itu maka semakin tinggilah darjatnya di sisi Allah.
Menurut Profesor Naquib al-Attas, Islam melihat adab sebagai pengenalan serta pengakuan akan hak keadaan sesuatu dan kedudukan seseorang dalam susunan berperingkat martabat dan darjat. Contohnya, hubungan anak dengan ibu bapa mempunyai susunan adabnya, hubungan murid dengan guru juga mempunyai adabnya, hubungan rakyat dengan pemimpin juga mempunyai adabnya, malah hubungan manusia dengan alam sekitarnya juga mempunyai adabnya yang tertentu.
Hakikatnya, kehidupan beradab itu dimanifestasikan melalui hubungan hamba dengan Allah (hablumminallah), hubungan sesama manusia (hablumminannas) dan hubungan manusia dengan alam. Ia membabitkan persoalan buruk dan baik, peraturan dan undang-undang serta akhlak dan kesopanan.
Hablumminallah berarti hubungan manusia dengan penciptanya dalam bentuk peribadatan yang menjadi salah satu tujuan dijadikan manusia. Hablumminannas bermaksud perhubungan sesama manusia berasaskan ‘muamalah’ berlandaskan akhlak kehidupan yang baik. Hubungan dengan alam sekeliling pula adalah berasaskan konsep ‘kekhalifahan’ (stewardship) di mana manusia bertanggungjawab memakmurkan alam, bukan mengeksploitasinya secara rakus atau merosakkannya secara sembarangan.
Manusia harus berinteraksi dengan alamnya secara harmoni dengan tidak sewenang-wenangnya merosak atau memusnahkan alam sekelilingnya dengan rakus. Hutan-hutan dan bukit bukau tidak boleh diteroka dengan rakus tanpa batas sehingga membawa keesan buruk kepada ekologi kehidupan flora dan fauna, malah mengancam kehidupan manusia itu sendiri. Pembuangan sampah sarap dan sisa kimia dari aktiviti perindustrian tidak boleh dibuang ke dalam sungai, laut dan sebagainya sesuka hati.
Pengamalan adab itulah yang akan dapat menatijahkan kesan positif dalam diri, sekali gus memberikan kebaikan kepada orang lain, masyarakat dan alam sekitar. Hakikatnya, kehidupan beradab dapat mengatur kehidupan dan tingkah laku manusia berasaskan kepada nilai-nilai mulia yang membentuk ‘baik dan buruk’. Sekali gus membentuk norma-norma kehidupan bermasyarakat.
Jika diperluaskan kepada seluruh masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama, maka kehidupan yang beradab itu dimanifestasikan dalam pelbagai dimensi budaya dan pegangan agama yang mengandungi nilai-nilai murni yang dapat mencipta hubungan harmoni antara kaum. Dalam kehidupan bernegara, warganegara yang baik dan beradab (bertatasusila) akan membawa kesejahteraan kepada lingkungan masyarakatnya.
Dalam konteks inilah, kita melihat prinsip kelima Rukun Negara, iaitu Kesopanan dan Kesusilaan sangat menekankan kesantunan budi bahasa dan pengamalan nilai-nilai murni bagi mewujudkan masyarakat yang sejahtera, aman dan harmoni. Maknanya prinsip kelima Rukun Negara ini sangat menekankan kehidupan yang beradab. Sebenarnya, prinsip kelima ini mempunyai kaitan rapat dengan prinsip pertama Rukun Negara, iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan.
Kepercayaan kepada Tuhan (agama) itu sendiri banyak mengajar dan menekankan persoalan mengenai adab dan nilai-nilai murni dalam kehidupan bermasyarakat. Beradab dalam konteks kehidupan bernegara bukan sahaja berkait dalam soal hubungan sesama warganegara yang berbilang budaya dan agama, tetapi ia juga berkaitan dengan warganegara yang tahu menghormati simbol-simbol negaranya seperti bendera rasmi negara, lagu kebangsaan dan sebagainya.
Warganegara yang beradab ini juga tahu mengenang budi dan menghormati pemimpin yang telah lalu ataupun pemimpin semasa yang sedang memimpin negara. Jika ia mahu mengkritik dan menegur atas kelemahan dan keperibadian buruk pemimpinnya, maka ia akan mengkritik dan menegurnya secara beradab tanpa menghinanya sesuka hati. Warganegara yang beradab juga tahu menjaga maruah dan nama baik negara ketika berada di luar negara.
Malangnya, hari ini kehidupan berabad semakin terhakis dalam masyarakat kita. Kehilangan hidup beradab ini juga menjadikan generasi kita semakin kasar dan kurang ajar. Mereka yang sudah kehilangan adab ini tidak segan silu lagi melakukan perlakuan yang bertentangan dengan nilai-nilai mulia.
Hari ini, sikap tidak beradab begitu terserlah melalui media sosial di mana budaya menghina, memfitnah, mencarut, kutuk mengutuk dan memaki hamun begitu berleluasa. Sasaran dan mangsanya tidak kira siapa asalkan nafsu amarahnya itu dapat dilampiaskannya di media sosial.
Kehidupan yang semakin kehilangan adab ini menimbulkan pelbagai masalah dalam masyarakat. Masyarakat boleh menjadi berpecah belah, penyakit sosial membiak, jenayah berleluasa dan pelbagai kesan-kesan buruknya yang lain. Jika masalah ini gagal dibendung dan diubati maka kita bimbang suatu hari nanti masyarakat kita akan berada dalam jurang kehancuran yang boleh membinasakan bangsa dan negara. Yang nyata, kehidupan bermasyarakat tidak akan menjadi bahagia dan indah tanpa kehidupan berakhlak atau beradab.
Justeru, perkembangan tidak sihat ini memerlukan kita segera membina kembali karakter generasi beradab berasaskan petunjuk atau ajaran agama, nilai-nilai moral dan nilai-nilai murni budaya bangsa. Proses pendidikan, sama ada pendidikan keluarga mahupun di institusi pendidikan formal perlu dijadikan wadah atau saluran terbaik melahirkan insan yang beradab dan berakhlak.
Penghayatan kembali Rukun Negara, juga perlu ditingkatkan dalam kehidupan generasi muda melalui pelbagai aktiviti juga dapat menyubur dan mengembangkan kembali budaya hidup beradab dan berakhlak mulia. Tiada guna kita melaungkan slogan masyarakat madani atau apa-apa slogan yang muluk-muluk sekiranya keadaan hidup masyarakat kita jauh dari kehidupan yang beradab dan berakhlak. – UTUSAN
Penulis ialah penganalisis sosiopolitik bebas.










