PENGERTIAN mudah bagi istilah ‘provokasi’ ialah perbuatan untuk membangkit kemarahan. Selalunya diseiringkan dengan niat menguji, melunas agenda tersirat. Kesan dari provokasi selalunya terguris di hati, terluka perasaan. Justeru, elak mencetus provokasi kerana hidup mengidamkan harmoni, mengharapkan perdamaian.
Kenyataannya, isu mengenai provokasi semakin berlegar di sekitar tanah air. Bermacam bentuk dan tindakan dilakukan yang boleh dikaitkan dengan perbuatan provokasi. Dari isu meletakkan tanda ‘halal’ di kedai-kedai makan sehinggalah kepada perarakan yang mengibarkan bendera negara China. Belum reda dengan kecaman terhadap kibaran bendera kecil, dikibarkan pula bendera bersaiz lebih besar. Sementara, perbuatan ‘meletakkan kepala khinzir’ di premis orang Islam kembali berulang.
Sukar mencari jawapan tepat, mewajarkan perbuatan mengibar bendera negara asing secara ‘megah dan meriah’ di bumi Malaysia, seperti yang berlaku di Pulau Pinang, Perak dan Johor. Negara ini sudah sedia merdeka dan berdaulat. Bendera adalah panji-panji yang dikaitkan dengan kemegahan dan kedaulatan negara. Malah, Malaysia baru sahaja merayakan ulang tahun kemerdekaan ke-67 Ogos lalu.
Betulkah tindakan menegur perbuatan menceriakan kibaran bendera negara asing boleh menjejaskan industri pelancongan? Apa kena-mengena soal bendera dan melancong? Namun, itulah sebahagian dari pelbagai alasan yang disusuli bagi ‘mengalalkan cara’. Hentikan sahaja apa bentuk provokasi kalau benar-benar mahu wujudkan harmoni di bumi tercinta.
Bermacam ucapan dan kenyataan dipertuturkan oleh pihak-pihak tertentu, termasuk yang bergelar pemimpin politik yang boleh diklasifikasikan sebagai sengaja mencetus provokasi. Ini termasuk soal jawatan Perdana Menteri tidak semestinya Melayu kerana kononnya tidak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, ada yang mengajak dikaji semula kontrak sosial dan gesaan agar semua pelaksanaan dasar dan peraturan mesti berlandaskan merit, bukan lagi mengambil kira semangat mengutamakan keistimewaan Melayu dan Bumiputera.
Ada juga usaha membawa kampung-kampung baru Cina bagi mendapat pengiktirafan Tapak Warisan Dunia di bawah Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Dan, pastinya tindakan itu tidak kurang juga boleh ‘menjentik’ perasaan kaum pribumi asal di negara ini.
Tidak payah ‘diuji perasaan’ jika sudah diduga akan timbul bantahan dan kecaman umum. Perbuatan ‘buat dahulu meminta maaf kemudian’ tidak membantu mengharmonikan keadaan. Sebalikya, adalah lebih baik menentukan segala tindak-tanduk bebas dari sebarang prasangka yang boleh mencetus kemarahan.
Majoriti rakyat Malaysia merupakan golongan terpelajar. Demikian juga dengan masyarakat pribumi, Melayu. Mereka mudah membaca dan dapat meneka arah tujuan sebarang bentuk tindakan dan perbuatan. Umpamanya ada yang mencadangkan diubahkan persempadanan pilihan raya mengikut kepadatan penduduk dan ada pula pihak yang tidak henti-henti menggesa diadakan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Pendek kata, ramai berkata: “sekilas ikan di air sudah tahu jantan betina”. Perhitungan mudah (easy calculation), yang boleh dibuat: “berani buat beranilah tanggung…!”.
Ekoran provokasi, sudah tentu akan timbul atau hadir pihak-pihak atau individu yang menentang dan menyuarakan ketidakpuasan hati. Mereka bertindak demi menegak kebenaran, keadilan dan kebaikan. Mereka bukan mahu muncul sebagai ‘juara’ atau ‘pemenang’. Malah, ada kala mereka terpaksa ‘sedia berkorban’ demikian kebaikan masyarakat. Pelbagai cemuhan dan umpatan keji ditudingkan ke arah mereka. Pada hal pengorbanan mereka patut dipuji dan dihargai.
Ya, berjuang menegak keadilan demi kebaikan ramai, kadang-kadang terpaksa dibayar dengan pelbagai cacian atau diperlekeh. Termasuk risiko disaman di mahkamah. Dalam hubungan ini syabas diucapkan kepada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh yang secara tegas dan konsisten berusaha menangkis sebarang bentuk provokasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan sengketa kaum.
Semangat mempertahankan kedaulatan bangsa dan tanah air patut dipuji dan perlu diberi sokongan padu. Mereka boleh dianggap pejuang. Dan, mereka tidak sepatutnya dibiarkan ‘bersendirian’ dalam memperjuangkan hak dan kepentingan umum. Banyak cara dan kaedah untuk menyumbang sokongan. Setidak-tidaknya melalui catatan di media sosial atau bertindak menerusi lunas perundangan yang sedia ada.
Malaysia tidak harus ‘diperjudikan’ dengan hal-hal sensitiviti perkauman. Harga bagi sebuah kedamaian terlalu mahal untuk dipersiakan. Sayangi Malaysia yang sudah sekian lama menikmati kemajuan dan kemakmuran. Malaysia gagah segak melangkah menelusuri zaman atas kerangka dan acuan yang tersendiri. Tidak wajar bagi mana-mana pihak sengaja ‘membuta hati’ terhadap apa yang sudah termaktub dalam sistem pemerintahan negara. Paksi utama adalah Perlembagaan Persekutuan. Dan, sebaik rujukan demi perpaduan ialah Rukun Negara.
Semua pihak atau institusi perlu mengambil inisiatif memelihara dan menegakkan keamanan dan kemakmuran Malaysia. Ketua-ketua institusi termasuk keluarga, pendidikan, jabatan dan agensi, badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta agama, boleh memainkan peranan memperjelaskan struktur asas bumi Malaysia yang dahulunya dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu ini supaya seluruh warga Malaysia tegak berdiri atas jati diri negara bangsa sebagaimana yang sudah terpahat dan dipersetujui sejak merdeka.
Sebarang usaha untuk menjadi wadah penerapan kefahaman unsur-unsur kenegaraan dan patriotisme tidak perlu dipertikai, disekat atau dihalang. Ini misalnya cadangan menghidupkan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 bermula Januari 2025. Makna bagi ‘pembangunan’ bukan hanya boleh disandarkan kepada kemajuan material, tetapi tidak kurang penting ialah memupuk, membina jiwa kecintaan terhadap negara dalam erti kata berpijak pada tapak asas negara yang sudah tercatat nyata.
Berpijak di bumi nyata lebih terhormat dari mengambil sikap berpura-pura. Dan, mengambil pesanan orang-orang lama…. “mencegah itu lebih baik dari merawat”. – UTUSAN
DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah Profesor Adjung Universiti Malaysia Kelantan (UMK).










