APA sudah jadi kepada masyarakat kita? Ke mana perginya sifat sopan santun dan akhlak terpuji yang menjadi lambang ketinggian budaya bangsa? Kini, isu keganasan, penipuan, pecah amanah, penindasan, pembohongan, fitnah dan pelbagai perkara negatif semakin mengganggu kehidupan.
Seolah-olah kemajuan arus pendidikan beserta kecanggihan teknologi yang kita miliki hari ini tidak mampu menanam sifat insani dalam diri manusia. Sikap kita sudah terlalu berindividu. Ada yang tidak merasa bersalah menindas mereka yang lebih lemah. Ramai juga yang leka dengan kekayaan tanpa mengambil peduli keadaan jiran yang tidur dalam kelaparan.
Kita kecewa melihat kejadian buli dan salah laku lain di sekolah dan institusi pendidikan tinggi (IPT). Kita turut kecewa dengan sikap sesetengah pihak yang tidak mengambil tindakan pantas sejak awal lagi bagi menghentikan kes buli yang berlaku di depan mata. Jika nasi sudah menjadi bubur, tiada apa lagi yang dapat dilakukan untuk menolong mangsa.
Walhal, gejala buruk ini berlaku di institusi penting, tempat mendidik anak bangsa agar menjadi manusia yang berguna. Justeru, institusi pendidikan sebagai pusat perkembangan dan penyebaran ilmu, seharusnya menjadi taman ilmu serta pusat intelektual yang selamat bagi seluruh warganya.
Maka, tindakan proaktif mesti diambil bagi menangani masalah ini. Jangan sudah terperosok, baru hendak membaiki lantai. Setelah lantai diperbaiki, ia dibiarkan kembali rosak tanpa penyelenggaraan yang elok, sehinggalah ada orang lain lagi yang terperosok. Kita juga membaiki lantai sekali lagi. Proses ini akan berulang-ulang sehinggalah kita boleh memperbaiki keadaan.
Kita bersemangat hanya buat seketika, selang beberapa jeda waktu ramai yang sudah tidak ambil peduli akan hal yang terjadi. Semasa tular sesuatu kes, riuh sekampung kita membicarakannya. Bila ceritanya telah sejuk, kita kembali berpeluk tubuh seolah-olah tiada apa yang berlaku. Kita seakan lupa bahawa mencegah adalah lebih baik berbanding merawat.
Maka, menjadi tanggungjawab ibu bapa dan institusi pendidikan bagi memastikan pembentukan adab serta penerapan nilai-nilai murni diberi keutamaan dalam proses pendidikan anak bangsa.
Kejayaan pelajar tidak harus diukur hanya melalui bilangan keputusan ‘A’ yang dicapai semata-mata. Hal ini kerana keputusan peperiksaan yang cemerlang tidak akan menjanjikan kejayaan jika tiada sikap integriti yang tinggi dalam diri pelajar.
Penerapan kemahiran insani di universiti adalah sangat penting kerana kita akhirnya akan hidup dalam masyarakat. Sikap belas kasihan, bertimbang rasa, menghormati orang lain, bertanggungjawab dan amanah adalah sangat penting.
Antara masalah yang paling memeningkan pelajar IPT ialah apabila terpaksa berhadapan dengan ahli kumpulan yang menjadi penunggang percuma dan bersikap mengambil kesempatan atas usaha orang lain dalam tugasan berkumpulan. Apabila masa bekerja, hilang entah ke mana, tetapi akan tetap muncul untuk berkongsi hasil kerja dan menerima markah yang bukannya atas hasil usaha mereka.
Ketinggian ilmu yang dimiliki harus diiringi dengan akhlak terpuji. Biar sehebat mana pun kejayaan teknologi kita, secekap mana pun robot yang mampu kita hasilkan dan semaju mana jua kita menguasai kemahiran teknologi kecerdasan buatan (AI), semuanya tak bermakna jika kita tidak berintegriti dan tidak lagi menjaga adab.
Apa ertinya memiliki ilmu setinggi gunung jika tiada sifat ihsan dalam diri kita? Apatah lagi jika ilmu itu disalahgunakan sehingga menganiayai orang lain. Maka, manusia mesti dididik supaya bersikap amanah dan bertanggungjawab, serta menerapkan ilmu yang ada untuk kesejahteraan dunia sejagat bertepatan maksud rahmatan lil alamin atau rahmat kepada sekalian alam.
Ilmu sepatutnya menjadikan kita lebih bijaksana dan menuntun ke jalan yang benar. Ia harus menjadikan kita insan yang rasional, mampu berfikir dengan kritis, matang serta boleh membimbing dan memberi manfaat kepada masyarakat.
Lumrah manusia sering terpedaya oleh kilauan kaca yang disangka permata. Kita juga mudah tertarik kepada kerdipan lampu berwarna-warni yang bergemerlapan, begitu juga dengan serba kisah indah tanpa memikirkan sama ada ia benar-benar berpijak di bumi nyata. Sehinggakan terperangkap dalam kekeliruan di antara dunia fantasi dan realiti.

MUDAH TERPEDAYA
Kisah kejayaan hebat yang diraih seseorang dalam masa yang singkat tanpa perlu bersusah-payah dan menuntut pengorbanan yang besar sering membuat kita terpukau. Pendek kata, seolah-olah semuanya boleh datang secara bergolek. Atau semudah menyediakan semangkuk mi segera, tuang sahaja air panas, terus siap terhidang.
Kereta yang mahal, rumah besar, percutian hebat dan barangan mewah daripada jenama terkenal sering kali dijadikan lambang kejayaan yang diidam-idamkan. Semuanya dipaparkan di media sosial supaya dapat ditonton peminat mereka. Justeru, ramai yang terinspirasi, lalu turut berangan-angan untuk berjaya menjadi jutawan segera melalui jalan yang paling mudah.
Mereka mahu menjadi pempengaruh media sosial dan menyertai ekonomi gig. Lantas ada yang memilih untuk tidak menyambung pelajaran yang dilihat mereka sebagai hanya membazirkan masa dan membebankan tanpa menjanjikan pekerjaan dengan gaji yang besar.
Akibat menurut kemahuan hati, ada yang akhirnya berhutang keliling pinggang atau menjadi gelap mata sehingga sanggup terlibat dalam hal-hal seperti rasuah dan pecah amanah. Kisah begini harus dijadikan pengajaran supaya kita tidak mudah dipengaruhi kehidupan yang bersifat pura-pura.
Dunia tanpa sempadan memberi cabaran baharu kepada manusia sejagat. Penyebaran ideologi, ajaran sesat serta penjajahan pemikiran melalui media sosial boleh berlaku tanpa kita menyedarinya. Ramai juga yang berpelajaran tinggi boleh tertipu, lantas menyokong sesetengah kumpulan ajaran sesat, ideologi yang songsang atau dijajah pemikirannya.
Oleh itu, kita harus mempunyai sahsiah diri yang kuat, berintegriti serta sentiasa bermuhasabah diri. Ambillah peluang belajar di universiti dengan sepenuhnya bagi menuntut ilmu dan membina kebolehan diri serta belajar menjadi orang yang bijaksana.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).











