PADA satu majlis simbolik kelmarin, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz mengetuai 75 kakitangan dan pegawai Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menandatangani opsyen Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Sebagai KPPA, beliau tidak teragak-agak menandatangani opsyen ini kerana memang ia memberi sesuatu yang lebih baik daripada sekarang.
SSPA ini sebenarnya memberi manfaat yang sangat besar kepada penjawat awam kerana selain pelarasan gaji, ia juga menekankan pembangunan modal insan dan laluan kerjaya.
Tindakan KPPA ini menunjukkan keyakinan beliau terhadap sistem baharu ini, satu langkah yang menonjolkan prinsip kepimpinan melalui teladan.
Dalam dunia pentadbiran moden, kepimpinan yang berkesan tidak hanya tertumpu kepada arahan dan kawalan, tetapi juga melalui contoh yang diberikan oleh pemimpin.
Pemimpin seperti Max Weber, seorang ahli sosiologi Barat yang terkenal dengan konsep kepimpinan birokrasi, menekankan kepentingan profesionalisme dan kepercayaan terhadap sistem yang diperkenalkan.
Apabila seorang ketua seperti KPPA sendiri menandatangani opsyen SSPA, ia memperkukuh keyakinan bahawa sistem ini adalah pilihan yang terbaik, lantas menghilangkan sebarang keraguan dalam kalangan penjawat awam lain.
Kepimpinan melalui teladan penting kerana ia memberi isyarat jelas kepada seluruh organisasi bahawa pemimpin yakin dengan arah tuju yang diambil.
Selain itu, dalam tradisi Timur, pemikiran Sun Tzu dalam Seni Peperangan menekankan pemimpin yang berjaya adalah mereka yang bertindak terlebih dahulu dan mewujudkan contoh.
Sun Tzu menyebut, seorang pejuang yang bijak, mengambil inisiatif dan memaksakan kehendaknya kepada musuh.
Dalam konteks ini, KPPA mengambil tindakan yang bijaksana untuk menandatangani opsyen SSPA dan ini adalah satu contoh kepimpinan proaktif yang dapat membimbing kakitangan bawahannya untuk melakukan keputusan serupa.
SSPA ini bukan sahaja menjanjikan penambahbaikan dari segi gaji tetapi juga peluang untuk kenaikan pangkat dan faedah pencen yang lebih baik.
Pelarasan gaji sebanyak 15 peratus untuk kumpulan pelaksana dan profesional serta tujuh peratus untuk kumpulan pengurusan tertinggi bermula pada Disember tahun ini dijangka memberi kesan positif kepada pendapatan penjawat awam.
Langkah ini juga akan disusuli dengan pelarasan pencen berasaskan kumpulan perkhidmatan, yang memberi jaminan bahawa kesejahteraan penjawat awam selepas bersara turut terpelihara.
Gesaan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) melalui Presidennya, Datuk Adnan Mat dan Setiausaha Agungnya, Abdul Rahman Mohd. Nordin, jelas menekankan kelebihan SSPA kepada penjawat awam.
Mereka menyeru 1.4 juta penjawat awam untuk menandatangani opsyen ini kerana ia menawarkan pelbagai manfaat, termasuk peningkatan gaji kompetitif, faedah pencen dipelihara serta peluang kenaikan pangkat yang lebih adil.
Presiden CUEPACS sendiri berkata Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang dilaksana sejak 2002 umpama kerangka rumah yang lama dan sudah tidak sesuai dengan persekitaran ekonomi semasa negara.
Kata beliau, setelah bertahun-tahun pihaknya berjuang mendapatkan skim saraan baharu yang lebih adil dan kompetitif, jadi ini adalah peluang dan masa terbaik untuk semua penjawat awam menikmatinya.
Sekiranya penjawat awam tidak mendengar suara CUEPACS, yang merupakan suara perwakilan mereka, maka suara siapa lagi yang patut mereka ikuti?
Bagaimanapun, penjawat awam yang memilih untuk kekal dengan SSM tetap dilayan dengan adil, namun mereka akan ketinggalan dari segi kelebihan seperti pelarasan gaji dan faedah yang lebih baik.
Dalam hal ini, tempoh 40 hari yang diberikan sehingga 30 November 2024 adalah ruang yang mencukupi untuk mereka berfikir secara rasional tanpa paksaan. Tindakan memilih SSPA adalah satu keputusan yang bijak bagi mereka yang ingin memperbaiki taraf hidup serta peluang kerjaya.
Pengorbanan yang ditunjukkan oleh barisan Pengurusan Tertinggi Gred Utama Turus dengan secara sukarela melepaskan pelarasan gaji permulaan 7 peratus juga merupakan satu langkah simbolik yang signifikan.
Ini membuktikan kesediaan mereka menyokong langkah-langkah kerajaan dan meletakkan kepentingan negara dan sektor awam di hadapan.
Sikap ini wajar dipuji kerana ia memberikan contoh kepimpinan yang benar-benar memahami keutamaan semasa, selaras dengan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2025 baru-baru ini.
Pengorbanan ini juga memberi isyarat jelas bahawa pemimpin tertinggi dalam kerajaan komited terhadap usaha memperbaiki kesejahteraan rakyat.
BANYAK MANFAAT
Sepertimana disebutkan oleh Perdana Menteri, melalui penstrukturan semula gaji penjawat awam kepada SSPA ini penjawat awam akan memperoleh pendapatan minimum RM2,115 sebulan dengan RM10 bilion untuk 2025 tambahan daripada gaji yang lalu.
Lebih dari itu, kerajaan juga bersetuju memberikan bantuan khas kewangan RM500 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak serta bantuan khas sebanyak RM250 kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen.
Ini semua adalah bukti kerajaan benar-benar mahu menjaga kebajikan penjawat awam.
Melalui sesi libat urus setiap jabatan dan kementerian bagi memberikan penjelasan sepenuhnya mengenai SSPA kepada warga mereka, diharapkan semua penjawat awam akan menerima opsyen ini.
Ditambah oleh kepimpinan melalui teladan oleh KPPA dan barisan Pengurusan Tertinggi Gred Utama Turus yang memberikan motivasi kepada penjawat awam untuk turut serta dalam opsyen ini demi kesejahteraan mereka dan peningkatan kualiti perkhidmatan awam di Malaysia.-UTUSAN
PROFESOR Dr. Rusdi Omar adalah Dekan di Pusat Pengajian Siswazah Kerajaan Ghazali Shafie (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM).










