BELANJAWAN 2025 yang dibentang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Jumaat lalu masih banyak diperkatakan dalam media. Ia merupakan belanjawan yang bukan sahaja mengambil kira faktor selebar 360 darjah, malah pada hemat saya amat komprehensif dan bersifat tiga dimensi iaitu melibatkan aktiviti ekonomi, status ekonomi rakyat dan tahap ekonomi negara, yang ditatang secara wasatiyyah atau seimbang.
Belanjawan tersebut merentas pelbagai sektor ekonomi, pelbagai peringkat pendapatan dan mengandungi usaha menyempitkan jurang ekonomi dalam kalangan masyarakat.
Kenaikan gaji minimum adalah polisi campur tangan kerajaan yang memberi kesan menyeluruh kepada ekonomi negara. Buat masa ini, kelas pendapatan rakyat sering dibahagikan kepada sektor berpendapatan 20 peratus tertinggi dalam kalangan rakyat (T20), M40 (40 peratus) dan B40, (40). Ia membentuk piramid pendapatan.
Pendapatan masyarakat yang berbentuk piramid tidak sihat untuk sesebuah negara, apalagi sekiranya penghuni pada aras T20 majoritinya datang daripada satu identiti kaum sahaja dan tidak homogen, yang kemudiannya akan melambangkan penghuni aras B40 juga tidak homogen. Ia menzahirkan ketidakseimbangan.
Kehadiran Belanjawan 2025 membawa unsur untuk merubah piramid pendapatan ini kepada keadaan lebih selesa. Saya percaya, sekiranya piramid pendapatan ini berjaya diubah menjadi berlian pendapatan, iaitu T20 mengecil hingga kepada T10, B40 juga akhirnya mengecil menjadi B10, dan M40 menjadi M80, masyarakat akan boleh menjalani hidup lebih selesa.
Kelajuan perubahan ini amat bergantung kepada semua pihak, iaitu kerajaan yang hadir dengan polisinya saban tahun, agensi pelaksana yang bertanggungjawab menyelia perkembangannya, rakyat ramai yang bijak mengurus perbelanjaan sendiri dan semestinya pemain ekonomi, khususnya sektor swasta yang menjadi penggerak utama kepada ekonomi.
Sungguhpun peningkatan gaji minimum seringkali memberi kesan parah kepada usahawan kecil, namun impak kepada ekonomi makro adalah positif. Peningkatan gaji minimum banyak membantu dari segi kemampuan berbelanja isi keluarga, bererti memberi kesan kepada putaran ekonomi yang menjadi lebih aktif.
Keadaan ini seterusnya boleh membawa kepada kesan ekonomi berantai kepada tambahan pendapatan boleh guna yang lebih tinggi. Kesan kepada usahawan kecil itu pula seharusnya perlu dicari cara untuk mengatasinya, mungkin melalui bantuan khusus.
SEKTOR SWASTA
Saya juga sempat menonton penerangan tambahan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kementerian Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Penerangan tersebut juga memberi impak kepada ruang minda yang tidak berpintu, bahawa usaha kerajaan yang terkandung dalam belanjawan pada kali ini adalah untuk memberi ruang dan peluang kepada rakyat membina hala tuju baharu dalam perspektif pendidikan dan pekerjaan. Ia satu perkongsian yang menarik, relevan dan penting.
Sektor swasta menyediakan sehingga sekitar 80 peratus peluang pekerjaan. Ertinya, lulusan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang akan lahir secara gelombang besar beberapa tahun akan datang hasil daripada kempen menyeluruh yang dibuat hari ini, kebanyakan mereka akan berkhidmat dalam sektor swasta. Sungguhpun sektor awam menyediakan 10 peratus peluang pekerjaan, namun longgokan terbesar sektor ini adalah dalam sektor pengurusan, justeru bererti lulusan TVET akan lebih tertumpu kepada sektor swasta untuk mendapatkan pekerjaan.
Statistik semasa menunjukkan sektor swasta dikuasai secara majoritinya oleh satu identiti kaum dan kalangan yang mengambil TVET pula terdiri daripada identiti kaum yang berbeza. Wujud persepsi hari ini bahawa calon-calon yang memohon pekerjaan daripada kalangan bumiputera kurang diberi peluang, malah ada tuduhan yang mengatakan kadar upah juga berbeza untuk kerja yang sama atau setara. Ini adalah realiti dan bukan terjahan perkauman. Pihak kerajaan perlu meneliti pandangan sebegini dan mencari jalan untuk menghapuskan persepsi sedemikian.
Dalam hal peluang berniaga juga wujud keluhan. Kerajaan sediakan dana pengurusan dan pembangunan, serta memimpin dan mengawal dengan polisi, peraturan dan undang-undang. Pihak swasta yang akan menjana perkembangan ekonomi melalui aktiviti mereka.
Ini bererti, segala dana yang disediakan dan dibelanjakan kerajaan akan dijana oleh pihak swasta untuk mengembangkan ekonomi melalui perusahaan dan urusniaga. Dana-dana besar semestinya hanya mampu diambil peluang oleh entiti niaga bermodal besar, yang pemiliknya daripada kalangan T5, jika klasifikasi itu wujud, yang seharusnya akan berkongsi rezeki melalui bekalan barangan, buruh atau perkhidmatan daripada entiti niaga lebih kecil.
Di sinilah kebocoran sering berlaku yang menyebabkan hasrat kerajaan supaya dana pembangunan itu dapat dicicah sama oleh rakyat M40 dalam bentuk bekalan barangan dan perkhidmatan serta golongan B40 dalam aspek perkhidmatan atau mengambil upah kerja.
Begitu juga dengan limpahan subsidi kepada rakyat. Dalam catatan ringkas ini, saya hanya sempat melontar fikiran untuk merubah piramid pendapatan kepada bentuk berlian tidak akan berhasil hanya melalui subsidi kerana tidak akan wujud kelestarian, atas sebab-sebab kemungkinan berlakunya belanjawan defisit yang melampaui garis panduan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Sebelum ini juga saya sudah kemukakan tentang cadangan oleh Pakar Ekonomi yang juga terlibat dalam pembentukan Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dr. Rais Saniman supaya mewujudkan undang-undang peluang saksama dalam ekonomi negara.
Saya percaya cadangan tersebut amat relevan sebagai polisi untuk mengurangkan ketidakseimbangan peluang pasca penganugerahan kontrak oleh kerajaan kepada mana-mana entiti swasta.
Sekiranya tidak ada kawalan sebegitu, saya percaya, amat susah untuk Malaysia mencapai keadaan ekonomi yang lebih membahagiakan rakyat, walaupun belanjawan sudah menunjukkan ciri-ciri kemahuan tersebut.-UTUSAN
DR. Mohd. Fauzi Shaffie adalah penganalisis sosioekonomi dan politik.










