Peranan pengakap lahirkan generasi pemimpin masih signifikan

Peranan pengakap lahirkan generasi pemimpin masih signifikan

PERSEKUTUAN Pengakap Malaysia (PPM) komited melahirkan pemimpin muda berkaliber dengan memainkan peranan penting dalam memupuk Malaysia yang berdaya tahan dan bersatu padu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGAKAP Malaysia adalah sebahagian daripada pergerakan global yang mempunyai 57 juta ahli di 176 negara. Baru-baru ini, Pertubuhan Pergerakan Pengakap Sedunia (WOSM) melancarkan Pelan Triannel 2025-2027, bertujuan memposisikan pengakap sebagai pergerakan belia paling berinspirasi dan menawarkan pembelajaran transformatif kepada generasi muda.

Dengan slogan baharu, Ready for Life, sebagai satu seruan kepada semua ahli untuk bersedia menghadapi cabaran hidup dengan penuh keyakinan dan keberanian. Selain itu, tiga pernyataan impak utama turut ditekankan iaitu membina dunia yang aman dan inklusif, dunia yang dibentuk oleh golongan muda dan dunia yang mampan, dengan fokus ini penting dalam menghadapi cabaran dunia moden.

Bagi Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM), strategi-strategi baharu ini selari dengan 10 fokus utama yang digariskan untuk memperkukuh organisasi di peringkat kebangsaan. Fokus PPM adalah melaksanakan program yang lebih menarik dan mencabar, memantapkan tadbir urus, memperkukuh latihan serta meningkatkan kemampanan kewangan dan penjanaan pendapatan.

Perkara ini ditekankan Ketua Pengakap Negara, Mej. Jen. Datuk Prof. Dr. Mohd. Zin Bidin semasa menyampaikan ucapan bersempena Hari Pengakap Negara.

PPM juga komited dalam memperluaskan jaringan global dan memperkukuh kerjasama dengan pelbagai badan antarabangsa. Di samping itu, PPM juga akan merangka strategi baharu bagi tahun 2025-2029 untuk memastikan Pengakap Malaysia terus menjadi platform utama dalam membentuk pemimpin masa depan berkualiti dan berdaya saing, sambil mengekalkan nilai-nilai asas kepengakapan yang membangunkan aspek fizikal, emosi, intelek, sosial dan rohani.

Peranan Pengakap Malaysia dalam membangunkan generasi pemimpin masa depan adalah sangat signifikan, terutamanya melalui pengembangan kemahiran kepimpinan dan nilai murni. Melalui pelbagai program yang dirangka, ia memberi peluang kepada ahli untuk mengasah kemahiran dan memupuk nilai-nilai kepimpinan.

Nilai-nilai murni seperti integriti, tanggungjawab dan kerjasama turut ditekankan, menjadikan ahli-ahli pengakap lebih bersedia menghadapi cabaran di dunia nyata.

Selain itu, Persekutuan Pengakap Malaysia juga sedang giat dalam usaha menyegarkan jenamanya untuk memastikan pergerakan tersebut terus berkembang maju, pragmatik dan kekal relevan. Penyegaran jenama ini bertujuan untuk mewujudkan imej yang lebih segar dan terkini, seiring dengan visi dan misi semasa pengakap dunia.

Dengan mengadaptasi elemen-elemen Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta matlamat pembangunan mampan (SDG) dalam program kepengakapan, PPM bertujuan untuk menarik minat generasi baharu dan memastikan bahawa program-program yang ditawarkan adalah relevan dengan kehendak semasa. Inisiatif ini bukan sahaja memberi imej positif kepada pergerakan, tetapi juga menjadikan Pengakap lebih menarik dan memberi impak yang besar kepada perkembangan pemimpin masa depan.

PPM komited untuk melahirkan pemimpin muda berkaliber dengan memainkan peranan penting dalam memupuk Malaysia yang berdaya tahan dan bersatu padu. Komitmen ini hanya dapat dilaksanakan dengan melengkapkan golongan muda dengan segala bentuk kaedah dan alat yang mereka perlukan untuk mengatasi cabaran dan membina masa depan yang lebih baik.

Pergerakan Pengakap di Malaysia mempunyai pelbagai program dan aktiviti yang menggalakkan kepelbagaian dan penglibatan di setiap peringkat, sama ada domestik, serantau, atau global. Pengakap menekankan pembangunan sahsiah diri dan menyediakan platform untuk belia serta pemimpin membangunkan kemahiran penting seperti kerja berpasukan, komunikasi, kepimpinan, toleransi, penyelesaian masalah dan daya tahan. Ciri-ciri ini amat penting untuk kejayaan dalam kehidupan peribadi, profesional dan tidak mungkin diperoleh hanya dengan tumpuan kepada bidang akademik sahaja.

Dengan pendekatan ini, PPM berusaha untuk memastikan generasi muda bersedia menghadapi pelbagai cabaran yang mendatang.

MAJLIS MAKAN MALAM PERDANA
Pada 17 Oktober 2024, PPM akan menganjurkan Majlis Makan Malam Perdana di The Everly Hotel, Putrajaya. Majlis ini adalah satu acara penting yang bertujuan untuk mengumpul dana bagi menyokong pelbagai aktiviti dan program pembangunan belia yang dilaksanakan oleh PPM.

Acara tahunan ini dijangka dihadiri oleh pelbagai pihak termasuk tokoh-tokoh korporat, ahli parlimen dan pemimpin masyarakat. Ia bukan sahaja merapatkan hubungan antara pengakap dan masyarakat, tetapi juga menjadi platform untuk mempamerkan kejayaan serta pencapaian ahli-ahli Pengakap Malaysia dalam pelbagai bidang.

Majlis ini bertujuan meraih dana bagi membiayai aktiviti dan pengurusan PPM. Selain itu, majlis ini diharapkan dapat membuka ruang kepada masyarakat dan badan-badan berkaitan untuk mengenali dengan lebih mendalam misi, visi dan peranan pergerakan pengakap dalam membangunkan generasi muda negara.

Majlis ini juga akan diserikan dengan persembahan kebudayaan, lelongan amal dan sesi penghargaan bagi penaja-penaja utama, menjadikan malam tersebut bukan sahaja bermakna, tetapi juga penuh dengan keceriaan dan semangat perpaduan.

JOTA-JOTI
Selain itu, juga bakal diadakan adalah program JOTA-JOTI atau Jamboree-on-the-Air dan Jamboree-on-the-Internet, yang merupakan acara global terbesar untuk Pengakap yang menghubungkan ahli-ahli Pengakap di Malaysia dengan berjuta-juta belia di seluruh dunia melalui teknologi komunikasi, termasuk radio amatur dan internet.

Program ini memberi peluang kepada ahli untuk berinteraksi, bertukar pengalaman dan membina jaringan dengan rakan-rakan pengakap dari pelbagai negara, yang tentunya memperluaskan perspektif mereka.

Program ini bukan sahaja mengasah kemahiran komunikasi dan teknologi tetapi juga membina keyakinan dan kerjasama dalam kalangan mereka.-UTUSAN

PENULIS ialah Ahli Jawatankuasa Bahagian Komunikasi Korporat dan Hubungan Strategik, Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN