Pembangunan tidak terkawal ancam hidupan liar

Pembangunan tidak terkawal ancam hidupan liar

ABDUL KADIR ABU HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
ISU pembangunan sering dikaitkan dengan kemusnahan habitat haiwan, terutama apabila projek besar-besaran dijalankan di kawasan yang dahulunya menjadi tempat tinggal hidupan liar. Namun, dengan perancangan yang betul, pembangunan dan kelestarian alam mampu berjalan seiring.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia memainkan peranan penting dalam memastikan setiap projek pembangunan mematuhi garis panduan yang ditetapkan demi melindungi habitat haiwan.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, FATIN NORIZATI MAT ISA dibantu jurugambar, AFIQ RAZALI, Ketua Pengarah Perhilitan, DATUK ABDUL KADIR ABU HASHIM berkongsi pendekatan diambil oleh pihaknya serta cabaran dan langkah-langkah dalam usaha melindungi habitat haiwan liar ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


STATISTIK TERKINI HIDUPAN LIAR DIANCAM KEPUPUSAN

Menurut data terkini yang dikumpulkan Perhilitan, spesies seperti badak sumbu, tenggiling, Harimau Malaya, gajah, penyu dan orang utan berada dalam senarai haiwan yang diancam kepupusan.

Hidupan liar lain yang turut dikategorikan semakin diancam kepupusan adalah tenggiling, banteng, tapir, seladang, rusa sambar, siamang dan harimau kumbang.

Tinjauan Kebangsaan Harimau Pertama (1st NTS) sejak 2016 mendapati populasi Harimau Malaya kurang daripada 150 ekor dan ia dijangka pupus jika tiada tindakan drastik diambil segera manakala harimau dahan dan buaya tembaga terus menjadi mangsa utama penyeludupan haram.

Tapir Malaya pula dianggarkan lebih daripada 700 ekor yang dikemas kini melalui hasil cerapan data, aduan konflik hidupan liar dan data perangkap kamera program 1st NTS pada 2020.
Anggaran populasi bagi gajah Asia di Semenanjung pula adalah antara 1,220 hingga 1,677 ekor manakala populasi di Sabah dianggarkan antara 1,000 hingga 1,680 ekor (populası gajah tidak terdapat di Sarawak).

NEGERI KRITIKAL

Kawasan-kawasan seperti di Kedah dan Perak dilihat sebagai kritikal. Selalunya, pembangunan yang tidak terkawal seperti pembinaan empangan, pembalakan haram dan perladangan akan memberi tekanan hebat kepada habitat haiwan liar.

KESAN JANGKA PANJANG

Perhilitan memandang serius sebarang pembukaan habitat hidupan liar yang tidak terkawal kerana boleh memberi beberapa kesan negatif terhadap populasi dan ekosistem hidupan liar.

Antaranya peningkatan mendadak konflik hidupan liar-manusia yang berlaku apabila habitat hidupan liar dibuka.

Hidupan liar terpaksa memasuki penempatan manusia untuk mencari makanan atau kawasan rayau yang membawa kepada konflik yang boleh mengakibatkan ketakutan, kerugian, kematian melibatkan manusia dan hidupan liar.

Selain itu, kesan lain adalah kehilangan habitat. Hidupan liar amat bergantung kepada habitat yang mampan sebagai tempat tinggal, kawasan untuk mencari makan dan pembiakan populasi.

Terakhirnya, fragmentasi habitat. Perkara ini berlaku apabila habitat dibahagikan kepada kelompok yang lebih kecil dan terpencil. Ini boleh mengganggu pergerakan, keupayaan hidupan liar untuk mencari makanan, pasangan dan habitat menjadi kurang sesuai. Ia juga boleh meningkatkan risiko pengasingan genetik dan mengurangkan kepelbagaian biodiversiti.

KAJIAN IMPAK HIDUPAN LIAR

Untuk sebarang pembangunan di kawasan-kawasan melibatkan atau berhampiran habitat hidupan liar, Perhilitan akan mengesyorkan penggerak projek untuk menjalankan Kajian Impak Hidupan Liar (WIS) untuk mengenal pasti spesies hidupan liar yang bakal terjejas di kawasan berkenaan secara spesifik.

Setelah keputusan kajian diperoleh, Pelan Pengurusan Hidupan Liar (WMP) akan menggariskan semua perancangan berkenaan kaedah mitigasi yang bersesuaian secara spesifik di kawasan yang bakal dibangunkan itu agar hidupan liar akan terus mendapat perhatian pihak penggerak projek pembangunan.

Pelaksanaan WMP juga memerlukan kerjasama banyak pihak bagi memastikan langkah-langkah mitigasi yang dirancang benar-benar mengurangkan impak terhadap hidupan liar yang hidup bersama di penempatan manusia.

UNDANG-UNDANG

Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686) bertujuan untuk memelihara dan memulihara hidupan liar di Semenanjung.

Perhilitan juga melaksanakan pindaan kepada Akta 716 iaitu Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022 (Akta A1646) di mana sebanyak 44 seksyen telah dikuatkuasakan mulai 1 Februari 2023 untuk memastikan pesalah jenayah hidupan liar dikenakan hukuman yang lebih berat.

Pindaan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) antara lain menyaksikan hukuman denda maksimum dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta bagi pesalah di bawah akta itu, manakala peningkatan hukuman penjara maksimum dari 10 tahun dinaikkan kepada 15 tahun untuk pesalah di bawah akta tersebut.

Penguatkuasaan undang-undang di kawasan perlindungan hidupan liar Jabatan seperti pelaksanaan Akta Taman Negara 1980 (Akta 226), Enakmen Taman Negara Pahang 1939, Enakmen Taman Negara Terengganu 1939, dan Enakmen Taman Negara Kelantan 1938 adalah bertujuan memastikan habitat hidupan liar ini kekal terpelihara.

Kerajaan turut mengambil langkah tegas dalam membanteras penyeludupan Harimau Malaya ke luar negara. Usaha ini melibatkan kerjasama erat antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memerangi jenayah pemerdagangan organ harimau, terutama melalui laluan darat.

LANGKAH STRATEGIK KEKAL KEPELBAGAIAN SPESIS

Sebagai agensi yang mempunyai kuasa secara langsung untuk pemuliharaan kawasan-kawasan perlindungan seperti taman negara, rizab hidupan liar dan kawasan konservasi yang lain, Perhilitan akan meneruskan pemuliharaan hidupan liar secara in-situ yang akan menjadi warisan negara yang tidak ternilai.

Perhilitan akan lakukan penyelidikan saintifik dan pemantauan berkala ke atas populasi spesies hidupan liar di habitat semula jadi untuk memahami trend populasi selain merancang langkah-langkah pemuliharaan yang sesuai pada masa hadapan.

Perhilitan juga akan laksanakan pengkayaan habitat. Penanaman semula pokok atau rumput yang menjadi sumber makanan hidupan liar dan pembinaan kawasan jenut tiruan membantu mengembalikan fungsi habitat yang merosot untuk menjadi habitat mampan kepada spesies hidupan liar.

Malah, juga akan membina koridor hidupan liar untuk menyambungkan habitat yang terfragmentasi dan membantu membolehkan menghubungkan pergerakan spesies di antara kawasan habitat yang masih ada.

Seterusnya meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang kepentingan kepelbagaian hidupan liar dan perlindungan habitat semula jadi.

Terakhir, kerjasama antara agensi dalam negara mahupun diperingkat antarabangsa dalam pemuliharaan kepelbagaian hidupan liar melalui perjanjian dan program bersama membantu jabatan ini melindungi hidupan liar mengikut kaedah dan cara yang terkini secara holistik.

Kerjasama berterusan dari pelbagai pihak termasuk kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), masyarakat tempatan dan individu amat penting bagi mengekalkan kepelbagaian spesies hidupan liar bagi generasi akan datang.

RANCANGAN

Perhilitan merupakan agensi teknikal yang terlibat secara langsung dan akan memberi kerjasama sepenuhnya. Rancangan untuk menghubungkan semula habitat-habitat yang telah terpisah diterajui agensi PLAN Malaysia.

Melalui program central forest spine (CFS) iaitu program atau aktiviti yang akan menggabungkan kompleks hutan yang terdiri daripada kawasan hutan simpanan kekal, hutan tanah kerajaan, taman negara, taman negeri, Rizab Hidupan Liar dan sebahagian tanah pertanian serta kawasan tepu bina yang menjadi tulang belakang bagi Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) di Semenanjung Malaysia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN