Nilai pemimpin berdasarkan rekod prestasi

Nilai pemimpin berdasarkan rekod prestasi

RADZI JIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAMANYA dipetik Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin agar kekal menjawat jawatan Naib Presiden. Nampak sebagai satu kelebihan, namun DATUK DR. RADZI JIDIN tidak memandang ia sebagai jalan pintas atau mengambil ringan mengenai pemilihan parti.

Dalam pertemuan dengan wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan ASLINDA NASIR serta dibantu jurufoto, AMIR KHALID, beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya itu tetap turun berkempen di seluruh negara dengan ‘menawarkan’ rekod prestasinya sepanjang menjawat jawatan kanan itu.


ADA KELEBIHAN TETAPI TIDAK BOLEH SELESA
Sebagai naib presiden yang disebut presiden untuk melihat kami berdua (bersama Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee) kekal dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu diberi tempat sebagai seorang lagi naib presiden, saya secara peribadi merasakan ia satu penghormatan serta tanda kepercayaan presiden bahawa masih ada banyak ruang untuk kami terus memberi sumbangan kepada parti. Ini khususnya untuk mengukuh dan menyediakan parti bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Mengimbau ketika bertanding Parlimen Putrajaya dalam PRU15, jangkaan pada waktu itu kalah dan lawan saya akan menang mudah. Tetapi yang berlaku sebaliknya. Sebab itu kita perlu usahakan yang terbaik dalam setiap pertandingan dan tidak boleh memandang rendah kepada mana-mana pihak yang bertanding.

Saya selalu berseloroh dengan sahabat, apabila masuk pertandingan, 100 peratus yang pasti kalau tidak menang, kita kalah. Tetapi dalam proses itulah kita ikhtiar yang terbaik. Dalam tempoh yang ada ini saya sampaikan kepada perwakilan tentang apa yang sudah saya laksanakan sewaktu memegang amanah selaku naib presiden.

Pun begitu, perwakilan mempunyai penilaian yang tersendiri. Oleh itu, amat penting untuk memberikan penjelasan dengan sebaiknya tentang komitmen serta rekod prestasi saya sepanjang menjadi naib presiden parti. Begitu juga dengan visi, pendekatan dan ikhtiar saya untuk pastikan parti ini semakin kukuh, kuat serta bersedia dalam menghadapi PRU akan datang.

Sudah tentu dalam konteks pertandingan, walau di peringkat apa sekali pun, kita tidak boleh sesekali merasa selesa atau terlalu yakin dapat menang dengan mudah.

Oleh itu, saya luangkan masa untuk bertemu perwakilan yang melibatkan kepimpinan parti di semua peringkat. Ini termasuklah melalui program Jelajah Solidariti Bersatu bermula dari Negeri Sembilan ke Melaka, Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan seterusnya Perak serta seluruh negara.

Saya gunakan kesempatan ini untuk menjelaskan kepada perwakilan dan sahabat-sahabat kepimpinan di semua peringkat tentang apa ikhtiar yang telah dilaksanakan serta rekod prestasi sepanjang saya memegang jawatan naib presiden.

 

WALAUPUN mempunyai kelebihan kerana nama di sebut Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk kekal sebagai Naib Presiden, namun kuasa penentu tetap pada perwakilan yang akan mengundi.

 

TIADA JAMINAN KEDUDUKAN SELAMAT
Parti ini amat menghormati presiden dan kita tahu ahli-ahli parti juga cukup hormat kepada beliau. Sedikit sebanyak apa yang disebut presiden memberi gambaran jelas kepada ahli dan perwakilan. Namun begitu, sebagaimana saya cakapkan, saya tidak boleh ambil mudah dan berasa selesa.

Mungkin saya ada sedikit kelebihan kerana berpengalaman sebagai Menteri Kanan Pendidikan dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, selain rekod prestasi perkhidmatan kepada parti. Sepanjang menjadi naib presiden, banyak tanggungjawab besar dan sukar yang saya pegang untuk membantu parti. Contohnya, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Calon bermula PRU15 dan Pengerusi Jawatankuasa Manifesto bermula sejak PRN Sabah pada 2020.

REKOD PRESTASI
Apabila bercakap tentang memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Calon bermula PRU15, umumnya nampak mudah. Tetapi hakikatnya apabila membuat penilaian, kita mahukan yang terbaik. Tentunya ada keputusan yang dibuat menggembirakan sesetengah pihak namun tidak menggembirakan sesetengah pihak yang lain. Apa yang paling penting, setiap keputusan itu dibuat selepas perbincangan serta pertimbangan yang mendalam dan objektif.

Sebagai pengerusi, saya mengambil tanggungjawab untuk menjelaskan keputusan jawatankuasa, bukan sahaja kepada mereka yang terpilih tetapi dalam keadaan tertentu kepada mereka yang tidak terpilih.

Sebagai Pengerusi Jawatanakuasa Manifesto, saya dipertanggungjawabkan menyediakan tawaran atau manifesto bagi PRN Sabah, kemudian masih kekal menyediakan manifesto PRN Melaka, Johor, dan PRU15. Bagi PRN enam negeri pula, saya memberikan tumpuan dalam menyediakan tawaran untuk PRN di negeri Selangor. Ini untuk memastikan PN, termasuklah Bersatu, dapat memberikan tawaran yang terbaik bagi pengundi Selangor seterusnya mendapat sebanyak mungkin kerusi.

Selaku Penyelaras Bersatu bagi PRN Selangor, saya membantu dan bekerjasama rapat dengan Pengerusi PN Selangor dan Pengerusi Bersatu Selangor bagi memastikan prestasi yang terbaik bagi PN dan Bersatu. Alhamdulillah, kita berjaya memperoleh 22 kerusi. Dari jumlah itu, 12 kerusi milik Bersatu. Kita cuma kekurangan tujuh kerusi lagi untuk membentuk kerajaan di Selangor. Di tujuh kerusi ini, kalau dikira, hanya melibatkan sekitar 15,000 undi sahaja.

Sebab itu, saya membentangkan rekod prestasi sepanjang menjawat jawatan sebagai naib presiden sebagai rujukan kepada ahli parti dan perwakilan.

Selain itu, menyentuh tentang rekod prestasi, saya satu-satunya ketua bahagian yang menyumbang dua kerusi Parlimen. Saya Ketua Bahagian Bersatu Ketereh sejak 2017 dan jika ikutkan keselesaan, saya lebih selesa bertanding di Ketereh, kerana itulah kampung saya dan terdapat ramai keluarga dan rakan-rakan di sana. Tetapi memikirkan bahawa adalah amat penting untuk seorang pemimpin kanan parti bertanding di Parlimen Putrajaya bagi memberi gambaran kepada rakyat bahawa PN yakin akan dapat membentuk kerajaan Pusat selepas PRU15, maka saya memohon kepada kepimpinan parti untuk membenarkan saya bertanding di Putrajaya. Saya ketika itu menetap di Putrajaya bermula 2018.

Untuk melawan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bukan sesuatu yang mudah kerana beliau mempunyai rekod yang lama di sana.

Apabila merujuk kepada kepimpinan, awalnya ramai yang tidak setuju kerana ia kerusi yang amat sukar. Saya menjelaskan, bahawa memandangkan semua pemimpin kanan parti sudah ada kerusi masing-masing, saya selaku naib presiden perlu membantu parti merampas kerusi yang sukar.

Sementara di Ketereh pula, antara blok undi terbesar bagi Barisan Nasional (BN) dalam Parlimen tersebut adalah undi daripada kem tentera, iaitu Kem Desa Pahlawan serta bekas tentera. Jadi, apabila saya membuat analisa, antara pendekatan untuk membolehkan kita memecahkan penguasaan BN di Ketereh adalah dengan menawarkan seorang bekas tentera yang dihormati sebagai calon. Maka nama Mejar Jeneral (B) Datuk Khlir Mohd, Noor dicadangkan kepada parti.

Alhamdulillah, selepas keputusan PRU15, PN yang diwakili calon Bersatu berjaya merampas kerusi Parlimen Putrajaya dan Ketereh daripada BN. Ia memberi kelebihan kepada Bersatu, daripada dapat satu kerusi di Ketereh, kita dapat kerusi Parlimen di Ketereh dan Putrajaya.

Sebab itu apabila bercakap tentang sumbangan dan usaha untuk memperkukuhkan parti, saya mempunyai pengalaman dan bersedia untuk terus berkhidmat kepada parti atas kapasiti selaku naib presiden.

BUKA RUANG KEPADA ANAK MUDA
Saya sentiasa memberi penekanan kepada sahabat-sahabat untuk memastikan hubungan parti bersama anak-anak muda sentiasa rapat. Kita perlu mempunyai satu jaringan yang meluas.

Sebab itu, selepas PRN Melaka, saya bawa cadangan kepada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) supaya menubuhkan Srikandi Muda bagi membolehkan anak muda wanita mempunyai tempat khusus dalam Bersatu.

Kita juga ada Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) untuk anak muda lelaki. Pendekatan ini penting untuk memastikan Bersatu sentiasa dekat dengan generasi muda. Ini membolehkan mereka memahami dan menghayati perjuangan parti ini.

Jika diperhatikan, sewaktu Muhyiddin mentadbir kerajaan, kita boleh lihat rekod baik prestasi Kerajaan PN. Kita dapat lihat bagaimana PN masuk sebagai sebuah kerajaan tanpa sebarang janji atau manifesto tetapi apabila rakyat dalam kesusahan, kita ikhtiar dengan mencari pendekatan terbaik walaupun ketika itu berlaku tiga krisis serentak iaitu kesihatan (Covid-19), ekonomi dan politik.

Kerana itu, rakyat secara keseluruhannya terutama orang Melayu melihat Bersatu menjadi platform yang terbaik.

BERSATU BUKAN UNTUK MELAYU-ISLAM SAHAJA
Kita tahu bahawa kekuatan parti ini dalam kalangan pengundi Melayu. Namun begitu, kita juga tahu, antara perkara yang perlu diambil perhatian penting adalah pengaruh atau penerimaan pengundi bukan Melayu, sebab itu kita ada Sayap Bersekutu.

Kita sebuah parti yang inklusif, kita bawa Bersekutu bersama untuk pastikan pandangan mereka didengar. Walaupun kita ada (bukan Melayu) tetapi masih belum mencukupi, kerana itu kita akan tingkatkan sokongan. Apa yang penting perlu sedarkan pengundi khususnya bukan Melayu yang kita sebenarnya mempunyai kemampuan untuk mentadbir negara dan rekod prestasi kita jelas.

Semasa Covid-19, tanpa mengira kaum menerima bantuan. Kita lihat daripada setiap sudut, kita rangkumkan semua orang.

Cuma apa yang berlaku adalah apabila sesetengah pihak cuba menggambarkan kita tidak peduli kepada orang lain atau bangsa lain. Ini merupakan strategi politik lawan kita, itu biasa. Sebab itu, kita perlu mengambil ruang untuk menjelaskan bahawa kita ini sebuah parti yang inklusif, mengambil berat tentang semua kaum dalam memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang jauh lebih hebat berbanding pada hari ini. Kita tahu asas kita Melayu, namun begitu kita ambil kira seluruh rakyat Malaysia.

Apabila berada dalam kerajaan, saya terlibat secara langsung dalam menyediakan Wawasan Kemakmuran Bersama yang membawa semangat untuk melihat seluruh rakyat merasai atau menikmati kemakmuran negara. Pada masa sama, ada kelompok tertentu yang kita perlu beri perhatian dengan mengambil kira faktor atau penglibatan mereka dalam ekonomi dan sebagainya.

Jadi, kita perlukan jaringan yang lebih luas kerana pihak lawan menakut-menakutkan rakyat dengan pelbagai sentimen. Bagaimana kita mahu lawan propaganda yang telah, sedang dan akan mereka laksanakan? Jadi, sebagai pemimpin parti, kita perlu mengambil jalan dengan memberikan penjelasan kepada kumpulan yang lebih besar tentang keadaan sebenar. Saya yakin, dengan ikhtiar berterusan, penjelasan yang menyeluruh serta rekod prestasi yang ada, Bersatu dan PN akan mendapat sokongan dan dukungan rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum.

 


 

RADZI Jidin ketika ditemu bual wartawan Utusan Malaysia, Aqilah Mior Kamarulbaid dan Aslinda Nasir di Parlimen, baru-baru ini.

 

SUARA BEKAS MENTERI PENDIDIKAN

Secara umumnya sebagai seorang yang pernah berada dalam sistem, saya melihat dan melalui sendiri bagaimana setiap keputusan dibuat. Jadi, apa jua keputusan yang ingin dibuat tidak boleh sekadar mahu bercakap, tidak boleh ikut apa yang terlintas atau jika rasa mahu bercakap tentang sesuatu polisi, terus bercakap.

Contoh mengenai pengambilan guru bahasa Inggeris dari Singapura, terus bercakap. Sebaliknya setiap perkara itu perlu diteliti dengan penuh cermat. Sebab itu sebagai contoh sewaktu kita membuat keputusan untuk mengambil 18,702 guru semasa Covid-19, saya bertanya berapa ramai guru yang diperlukan, saya minta nombor yang spesifik mengikut bidang. Saya tanya bagaimana pendekatan pengambilan seorang guru?

Apa yang berlaku, kita mengalami masalah kekurangan bekalan guru. Jadi, saya cabar mereka kerana mustahil tiada bekalan guru yang mencukupi sedangkan apabila saya bertanya ibu, ayah yang anaknya habis belajar, masih tidak mendapat tempat.

Sejak dahulu, sekiranya seseorang siswazah itu keluar, daripada institusi pengajian tinggi (IPT), katakan ada Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Fizik). Jika ikutkan, perlu tunggu kekosongan guru Fizik di sekolah.

Isu utamanya salah padan. Jadi, guru Fizik tadi, semasa di universiti, pastinya turut belajar cabang lain seperti Matematik. Jika ada kekosongan untuk subjek Matematik, kenapa tidak boleh mohon?

Sejak itu, kita buat keputusan supaya buat senarai ijazah sarjana muda dan nyatakan subjek apa yang dibelajar. Dengan cara ini, kita dapat mengurangkan isu kekurangan bekalan guru.

Seterusnya bagaimana kedudukan guru di sekolah? Katakan dihantar ke Kelatan sebagai guru Pendidikan Islam tetapi disebabkan ramai sangat guru subjek tersebut, dia diminta mengajar Pendidikan Jasmani dan sudah mengajar selama tujuh tahun. Seorang yang hebat bermain bola dan sebagainya. Adakah dalam rekod kementerian guru ini akan terus jadi guru Pendidikan Islam sedangkan mengajar Pendidikan Jasmani? Jadi, mengapa tidak dalam rekod guru itu selain Pendidikan Islam, dia juga mengajar Pendidikan Jasmani.

Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) memberitahu sebelum ini jumlah pengambilan sebanyak 15,500 guru setahun.

Saya beritahu kepada pihak SPP, maklumkan kepada kami apakah sebab jadi begini. Jawapan mereka pertama sebab tidak cukup orang untuk interviu, tidak cukup infra seperti komputer riba sampai kita memenuhi hampir semua permasalahan mereka. Kita atasi masalah itu.
Kemudian saya tanya Kementerian Kewangan untuk mengambil bakal guru-guru ini. Apabila tiada halangan, baru saya teruskan pengambilan.

Nampak, proses dalam Kementerian Pendidikan tidak boleh ikut terlintas. Dasar memerlukan proses yang cukup teliti.

KONSISTEN
Satu lagi kita perlu ada asas, kita tidak boleh flip flop (tidak konsisten) hanya kerana takut tidak popular di bawah. Ini kerana kita ada lebih 10,000 buah sekolah. Apa-apa pun keputusan kita sama ada yang baik atau tidak, orang luar tetap dan boleh ulas tetapi kita ada pilihan kerana mempunyai akses kepada maklumat. Jadi apabila mahu membuat sesuatu, kita perlu pastikan setiap keputusan ada asas.

Sebab itu semasa Covid-19, saya tutup sekolah, orang marah. Bila buka orang marah juga, bila buat periksa orang marah, bila tidak buat pun dimarah. Tetapi ada saya meroyan?

Sebab kita tahu di luar sana, ada lima juta pelajar ini ada ayah, mak, abang, kakak, makcik, atuk, nenek, semua orang terlibat dengan kementerian. Sebab itu, kita tidak boleh beremosi, sikit-sikit melenting sebaliknya bersikap tenang-tenang sahaja. Apa yang paling penting setiap keputusan perlu ada asas.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN