PERSPEKTIF liberalisme dan realisme adalah dua perkara penting dalam memahami serta menjelaskan perkembangan politik mahupun hubungan antarabangsa. Apa yang berlaku antara Israel dan Palestin serta konflik yang semakin meluas di rantau Asia Barat dapat dilihat daripada lensa dua perspektif utama.
Perspektif liberalisme meletakkan organisasi dan undang-undang antarabangsa memainkan peranan penting dalam hubungan berkenaan. Manakala dari sudut realisme pula tidak melihat organisasi dan undang-undang antarabangsa itu paling utama dan penting.
Bagi perspektif realisme, aktor paling penting adalah negara dan kuasa yang dimilikinya. Negara adalah kuasa tertinggi dalam sistem antarabangsa. Apa yang lebih penting adalah kuasa politik dan ketenteraan yang dimiliki oleh sesebuah negara itu. Kerana itu tidak semua negara mempunyai kedudukan dan peranan sama dalam sistem antarabangsa, maka hanya kuasa-kuasa besar utama yang dianggap paling penting mempunyai peranan utama.
Berapa banyak bilangan kuasa besar utama akan menentukan struktur antarabangsa yang akan terbentuk. Struktur multipolar, bipolar, unipolar dan tripolar merujuk kepada berapa jumlah bilangan kuasa besar yang wujud dalam sesuatu tempoh masa tertentu dalam sistem antarabangsa.
Negara yang mempunyai kuasa besar, kuat pengaruh politik serta ketenteraannya mempunyai pengaruh besar dalam sebarang keputusan antarabangsa. Aktor bukan negara seperti organisasi-organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi perspektif ini tidak penting.
Perspektif liberalisme menekankan peranan organisasi dan undang-undang antarabangsa dalam menyelesaikan konflik serta menjamin keselamatan membina kestabilan antarabangsa. Matlamat dan Piagam PBB jelas menyatakan hal ini dalam Artikel 1 dan Artikel 2. Bahkan dalam Artikel 2(4) dengan jelas menyatakan larangan penyelesaian menggunakan kuasa tentera; “Semua ahli hendaklah mempertahankan hubungan antarabangsa daripada ancaman atau penggunaan kekerasan terhadap integriti wilayah atau kemerdekaan politik mana-mana negara, atau dalam apa-apa cara lain yang tidak konsisten dengan tujuan PBB.”
Dalam menjelaskan hal ini perbezaan antara politik antarabangsa yang bersifat anarki tidak sama dengan struktur politik kebangsaan. Organisasi antarabangsa bukan kerajaan dunia boleh mengenakan peraturan sebagai kuasa pusat dalam sesebuah negara. Politik dunia tiada kuasa pusat, yang menentukan perjalanan adalah kuasa besar/negara yang berpengaruh.
KONFLIK ISRAEL, PALESTIN
Konflik yang berlarutan lebih setahun dan tiada apa-apa yang dilakukan dengan berkesan oleh organisasi antarabangsa. Pembunuhan dan tindakan kejam ke atas rakyat awam Palestin berlarutan tanpa pembelaan yang sehingga kini melebihi 40,000 orang. Kekejaman Israel ini merebak ke Lubnan mulai awal Oktober, lalu dengan jumlah kematian mencecah 300 orang.
Walaupun sejak sehari dua ini pihak Amerika Syarikat (AS) dan Great Britain menyebut akan menyekat bantuan tentera dan menyarankan agar Israel menghentikan keganasan terhadap penduduk Gaza dan Lubnan. Namun, adakah saranan dan kenyataan AS dan Great Britain ini benar-benar berasas atau hanya sekadar gimik politik semata-mata?
Saya melihat asas yang selari dengan peraturan organisasi antarabangsa dan asas undang-undang tidak jelas dalam hal ini. Kenyataan Setiausaha Negara AS dan Setiausaha luarnya tiada yang bermakna. Kalau benar ia perlu melalui peraturan Perhimpunan Agung dan Majlis Keselamatan PBB. Anggota perhimpunan Agung banyak kali menyuarakan sokongan dua pertiga bagi menghentikan serangan ganas Bangkitkan resolusi dan bawa kepada Majlis Keselamatan.
Kalau benar AS dan Great Britain ikhlas, dua buah negara kuasa anggota tetap Majlis Keselamatan ini menyokong resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) bagi menamatkan perang di Gaza dan rantau Asia Barat. Apa yang berlaku adalah AS selalunya menentang resolusi gencatan senjata dan menyokong Israel. Sokongan dua pertiga majlis perhimpunan tidak membawa apa-apa makna, andainya hanya sebuah anggota tetap majlis keselamatan menentang (yang biasa menentang tentang isu konflik Israel-Palestin hanya AS). Gimik politik berbeza dengan proses membuat keputusan mengikut saluran organisasi iaitu keputusan majlis keselamatan bersifat ‘terikat’.
PENGAJARAN
Peperangan antara Israel-Palestin dan konflik di Asia Barat berpanjangan kerana kedua-dua belah pihak tidak mempunyai imbangan kuasa yang seimbang. Kuasa negara yang menyokong Israel mempunyai kuasa politik dan ketenteraan yang kuat serta kedudukan kukuh dalam struktur organisasi antarabangsa yang ada sekarang (iaitu AS dan Great Britain).
Di pihak Palestin tiada kuasa yang benar-benar kuat yang menyokongnya. Keseimbangan kuasa tidak berlaku antara dua pihak. Pihak yang kuat menghentam Palestin tanpa pembelaan. Setahun lebih penindasan dilakukan, tiada pembelaan kecuali serangan lebih 180 peluru berpandu Iran ke atas Israel pada 1 Oktober lalu.
Dalam membina kestabilan jangka panjang di rantau Asia Barat, keseimbangan kuasa perlu dirancang. Kuasa-kuasa yang kuat seperti Republik Islam Iran perlu dibina dan dirancang dengan lebih tersusun.
Bilangan kuasa yang kuat seperti Iran perlu dibangunkan dengan lebih besar. Apabila negara yang mempunyai senjata nuklear dan pertahanan yang kuat terbentuk, akan memungkinkan keseimbangan kuasa.
Bila ini berlaku kedua-dua belah pihak tidak akan membuat keputusan mudah dan akan lebih membuat perkiraan dengan lebih teliti.
Pembentukan kuasa yang kuat pro-Palestin perlu perancangan yang benar-benar teliti. Bila keseimbangan ini terbentuk, kestabilan akan berlaku. Undang-undang dan organisasi antarabangsa yang ada sekarang tidak menjamin keamanan dan kestabilan kerana kuasa besar yang ada sekarang ‘bertindak memihak’ selain tidak meletakkan keselamatan mahupun kestabilan sejagat sebagai matlamat utama.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Kluster Pembangunan dan Etnografi, Institut Kajian Orang Asli Borneo, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu.










