Jangan sesekali manipulasi perlembagaan negara

Jangan sesekali manipulasi perlembagaan negara

PERLEMBAGAAN adalah perkara luhur yang bukan sahaja perlu dipatuhi tetapi kedaulatan negara yang wajib dilindungi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KENYATAAN bahawa kita pula mesti berpegang teguh kepada Perlembagaan Persekutuan oleh pihak sama yang sebelum ini mencadangkan agar tidak terlalu terikat kepadanya, bukan sahaja amat mengelirukan. Juga hipokrit sekali.

Ini kerana dalam tempoh singkat sahaja keyakinan kepada perundangan tertinggi negara boleh bersifat putaran 180 darjah, iaitu berpusing ke arah yang sangat bertentangan.

Ia amat mengelirukan sebab pihak berkenaan didapati tidak boleh berfikir dengan baik, apatah lagi waras. Justeru membingungkan banyak pihak.

Manakala ia hipokrit sekali kerana pihak tersebut berpura-pura mempunyai piawai moral tinggi, sedangkan hakikatnya tiada langsung padanya. Sebetulnya dalam hal ini, pihak terbabit sengaja berubah-ubah pendirian untuk disesuaikan dengan kehendak dan hajatnya.

Pada kali ini, Perlembagaan Persekutuan dipujinya kerana didakwa menekankan kemajmukan masyarakat, selain mementingkan kesatuan dalam kepelbagaian.

Sebenarnya dua perkara ini tidak disentuh pun secara tersurat dalam mana-mana perkara di dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia mungkin boleh diandaikan sebegitu secara tersirat pada beberapa perkara. Antaranya Perkara 3, 152 dan 153. Apa-apa jua, Malaysia khususnya Semenanjung adalah negara Melayu-Islam. Ini jelas termaktub pada tiga perkara itu, selain Perkara 160.

Dalam pada ini, kemajmukan masyarakat harus diingati adalah hasilan kebaikan hati etnik Melayu selaku penduduk asal, untuk membenarkan etnik bukan Melayu yang sendiri meminta untuk mahu terus tinggal di negara bernama Tanah Melayu. Manakala kesatuan dalam kepelbagaian adalah pemangkin untuk penyatupaduan utuh melalui dasar integrasi yang diangkat untuk proses pembentukan negara bangsa kita.

Dua perkara, iaitu kemajmukan masyarakat dan kesatuan dalam kepelbagiaan, sebenarnya sengaja didakwa pihak terbabit sebagai termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini kerana peranan utama mana-mana perlembagaan negara adalah untuk memberi perlindungan kepada rakyatnya.

Perlindungan ini adalah untuk memastikan hak dan keistimewaan rakyat selalu dipelihara dengan sebaik-baiknya.

Dengan ini, Perlembagaan Persekutuan kini mahu dianggap penting dan wajib disanjungi sebagai ketinggian sistem perundangan negara. Ini sangat bercanggah dengan cadangan sebelum ini untuk tidak terlalu terikat selain ia tidak boleh terlalu ketat kerana dunia banyak berubah akhir-akhir ini.

Selain sikap mementingkan diri apabila perundangan tertinggi negara itu didapati memihak kepada etnik bukan Melayu, pihak terbabit sebenarnya oportunis, iaitu menggunakan kesempatan yang ada untuk memperoleh keuntungan bagi diri dan kelompoknya.

Sehubungan ini, oportunisme yang selari dengan filsafat peribahasa Melayu ‘menahan lukah di penggentingan’ dan ‘menangguk di air keruh’, iaitu mencari kesempatan dengan membelakangkan moraliti, bukan sesekali sifat yang baik. Sebaliknya ia perbuatan sangat jijik kerana bersifat eksplotasi, tidak berprinsip selain tidak bertimbang rasa.

Lebih teruk lagi ialah sifat buruk ini mahu dikaitkan dengan kemajmukan masyarakat dan kesatuan dalam kepelbagaian, yang sudah tentu sama sekali tidak sesuai. Ini kerana selain sangat tidak ikhlas, ia mempunyai kesan sangat buruk. Antaranya, melanggar nilai murni pada tingkah laku baik lagi mulia. Ini dapat dilihat pada perbuatan yang langsung tidak mempedulikan etika dan akibat bakal menyusul nanti.

PERKARA 160
Amat malang sekali setelah sekian lama menetap di negara ini yang mereka sendiri datangi, etnik bukan Melayu, misalnya Cina, masih tidak dapat memahami bahawa ia bumi Melayu-Islam. Dalam pada ini, mereka bukan sahaja tidak mahu mengikuti resam di mana bumi pijak di situ langit dijunjung. Juga mahu mencabar taraf itu dengan mengatakannya sebagai negara majmuk yang didakwa termaktub dalam perlembagaan negara.

Dalam hal ini, Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 160 yang memberi takrifan kepada sejumlah perkara, ikut memaknai etnisiti Melayu.

Dengan maksud yang begitu jelas, Perkara 160 sesungguhnya mempunyai dampak mustahak lagi utama kepada etnik Melayu selain agama Islam di negara ini. Ia tidak lain tidak bukan bahawa negara ini adalah bumi Melayu-Islam.

Dalam pada itu, bahagian tiga Perlembagaan Persekutuan, mulai Perkara 14 sehingga 31, adalah berkenaan dengan kewargnegaraan yang tidak dapat dinafikan lebih ditujukan kepada etnik bukan Melayu. Antara yang dimaktubkan ialah pemerolehannya dengan cara penguatkuasaan perundangan secara automatik dan kaedah pendaftaran melalui permohonan daripada penduduk kita sendiri.

Ikut termaktub ialah ketamatan kewarganegaraan. Ini boleh berlaku apabila seseorang itu didapati tidak lagi setia kepada negara ini melalui perbuatannya.

Antaranya memerangi kepentingan negara dengan melakukan perkara yang akan memudaratkannya, sama ada melalui ucapan atau tindakannya.

Perlembagaan adalah perkara luhur. Justeru ia tidak boleh sesekali diperlaku dengan sewenang-wenangnya. Ini kerana bukan sahaja ia kedaulatan undang- undang yang harus dipatuhi, juga kedaulatan negara yang wajib dilindungi.

Oleh itu, ia sama sekali tidak wajar dimanipulasikan oleh sesiapa sahaja dalam apa-apa jua cara, seperti yang cuba dilakukan itu.-UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN